PM baca Quran, akui Islam solusi segala masalah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dengan mukjizat al-Quran, orang Islam berjaya membina tamadun yang hebat mendahului 1,000 tahun daripada Barat, malah mengislamkan ilmu dari Rom, Parsi, China dan lain-lain.

- Advertisement -

Bahkan orang Islam telah memajukan sains dan teknologi, termasuk yang pertama membuat bank, mengadakan cek, membina empangan, hospital, hotel dan lain-lain lagi lalu diikuti pelbagai tamadun.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, namun Barat yang terpengaruh dengan Tamadun Islam sekadar mengambil ilmu duniawi, tetapi meninggalkan agama.

Lalu katanya, sains dan teknologi dibangunkan lebih mengarah kepada kerosakan dan kehancuran dunia hari ini sepertimana penghasilan ganja menjadi makanan dan senjata untuk membunuh.

Beliau mengupas demikian pada Majlis Perasmian Pembukaan Sekolah Rendah Islam Darul Quran (SRIDQ) di Kampung Rhu Muda, Marang, kelmarin.

Sehubungan itu tegasnya, peranan pendidikan Islam untuk mengilmukan sangat penting, malah beliau sentiasa menyebut mengenai bidang ini di Parlimen sebagai kepentingan pembangunan manusia.

Malah ceritanya, ketika pertemuan terakhir beliau bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini banyak bercakap mengenai Islam dan peranan Islam yang mesti diketahui

“Saya jumpa PM bukan minta projek, nak kontrak itu ini. Dan PM mengaku, sekarang dia baca Quran. Tujuh lapan kali habis dia baca terjemahan Quran, dalam bahasa Inggeris, dalam bahasa Melayu. Saya tak sebut dalam ceramah lain. Ini kali yang pertama saya sebut.

“Dia baca Quran terjemahan, dan dia dapati bahawa Islam boleh menyelesaikan semua masalah. Dia mengaku. Ini pengakuan dibuat. Sudah banyak orang buat pengakuan ini.

“Dengan sebab itu kita mesti memberi keyakinan kepada pendidikan Islam ini. Apalagi amalan pendidikan ini merupakan amal jariah yang pahalanya berpanjangan walaupun kita sudah mati,” ujarnya merangsang motivasi.

Jelasnya, jariah ilmu bukan sahaja kebaikan yang memberi manfaat, bahkan pahalanya berpanjangan hingga Akhirat, malah menjadi makanan akal paling penting berbanding suapan di mulut.

Terdahulu kupasnya, menuntut ilmu adalah fardu ain kepada setiap Muslim lelaki dan perempuan dan tanpa mengira status diri iaitulah ilmu tauhid, ibadah dan syariah, diikuti ilmu fardu kifayah untuk urusan hidup.

Kerana jelasnya, apabila Allah S.W.T menyebut mengenal al-Qalam, Ia menjadikan ilmu sebagai agenda untuk manusia sesuai sifatnya yang mempunyai jasad, roh, akal dan nafsu di mana ia dikawal dengan iman dan akal.

Turut ditegaskannya kepentingan ilmu, dengan mengajak melihat pengajaran terhadap kemusnahan manusia kerana tidak meletakkan kehidupan berasas ilmu sebagaimana diajar dalam Islam.

“Sehingga ada orang yang banyak hartanya, yang cantik rupa parasnya, senang hidupnya, (tetapi) bunuh diri kerana tak ada makanan akal dan roh yang cukup. Ada orang kaya di Barat, hartanya banyak, anak lari habis, tinggal anjing kawan dengan dia, anjing peliharaan dia.

“Disebut dalam media banyak ceritanya bagaimana, ada orang kaya, tulis surat wasiat untuk anjing, bukan untuk anak dia. Anak dia tinggal dia. Ini semua kerana mengabaikan ilmu dan pendidikan ini.

“Dengan sebab itu, agenda ilmu pendidikan ini sangat penting bagi kita. Mesti kita tumpu sokongan sungguh-sungguh dan letak keluarga kita sungguh-sungguh dalam ilmu dan pendidikan ini,” serunya. – HARAKAHDAILY 8/2/2020

- Advertisement -