DHPP Pulau Pinang sumbang kerusi roda

- Advertisement -

GEORGE TOWN: Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Pulau Pinang telah mengadakan sumbangan kerusi roda kepada golongan warga emas, sakit dan Orang Kelainan Upaya (OKU) dalam kunjungan pada 5 Februari lalu dan berakhir semalam.

- Advertisement -

Inisiatif ini sebagai mengorak langkah lebih aktif dalam melaksanakan gerak kerja di lapangan selepas pelancaran semula DHPP yang telah diadakan di Restoran Makanan Laut D’Sampan, Batu Uban, Gelugor tengah bulan lalu.

Lawatan tersebut sebagai usaha menyantuni golongan memerlukan atas keprihatinan serta perhatian terhadap nasib mereka dengan harapan sumbangan tersebut meringankan beban atau urusan harian para penerima kerusi roda.

Ziarah ini diketuai sendiri oleh Pengerusi DHPP Pulau Pinang, K Jayaraman dengan turut membawa mesej bahawa perjuangan PAS sama sekali tidak mengamalkan diskriminasi perkauman sebagaimana ditohmah oleh mereka yang bimbang pengaruhnya.

“PAS tidak memilih kaum dan agama untuk dibantu dan dihulurkan sumbangan,” ujarnya semasa mengadakan serahan kerusi roda tersebut bersama Ketua DHPP Kawasan Batu Kawan, S Kumar pada 5 Februari lalu.

Usaha tersebut juga menurut Jayaraman, dibuat atas rasa perikemanusiaan dan ianya sangat bertepatan dengan slogan ‘PAS For All’ yang sering dilaungkan serta menjadi kebanggaan ahli-ahli DHPP.

Manakala Timbalan Pengerusi DHPP Pulau Pinang, Steven Koh mengetuai serahan sumbangan termasuk menggantikan kepada yang baharu juga kepada warga emas, pesakit dan OKU di Gelugor dan Jelutong pada kelmarin dan semalam.

Lawatannya itu dijayakan bersama aktivis-aktivis NGO tempatan di mana mereka berhasrat dengan sumbangan kerusi roda kepada golongan terpinggir itu akan meringankan kesusahan ditanggung oleh penerima.

Steven turut menegaskan perkara sama bahawa DHPP sebagai sayap PAS sama sekali bukan membawa agenda rasis tetapi berusaha menghulurkan sumbangan kepada setiap lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama.

Menurut beliau juga, masyarakat dari kaum Tionghua dan India turut memberi maklum balas positif dari usaha dibuat itu dan menghargai inisiatif DHPP dalam membantu golongan memerlukan. – HARAKAHDAILY 8/2/2020

- Advertisement -