Usah cabar Allah untuk datangkan azab

- Advertisement -

AL-QURAN merakamkan sikap umat terdahulu yang gemar mencabar Tuhan supaya menurunkan azab kepada mereka dengan segera. Apabila seringkali kegagalan mereka bertegang leher dengan para Rasul, termasuklah Baginda Muhammad saw lalu mereka mendatangkan cabaran. Selain daripada meminta Nabi Muhammad saw membuktikan adanya syurga, neraka, kehidupan selepas kematian, begitu juga azab dan seksa.

Beberapa sikap mereka ini direkodkan oleh Al-Quran dalam ayat-ayat berikut:

- Advertisement -

(1)

“Dan mereka meminta kepadamu (wahai Muhammad) menyegerakan kedatangan azab, padahal Allah tidak sekali-kali akan memungkiri janjiNya; dan (katakanlah kepada mereka): sesungguhnya satu hari dari hari-hari azab di sisi Tuhanmu adalah menyamai seribu tahun dari yang kamu hitung.”

(Al-Ĥaj: 47)



(2)

“Dan (ingatlah) ketika mereka (kaum musyrik Makkah) berkata: “Wahai tuhan kami! Jika betul (Al-Quran) itu ialah yang benar dari sisimu, maka hujanilah kami dengan batu dari langit, atau datangkanlah kepada kami azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”

(Al-‘Anfāl: 32)

(3)

“Dan mereka pula berkata (secara mengejek-ejek): ” Wahai Tuhan kami! Segerakanlah azab yang ditetapkan untuk kami, sebelum datangnya hari hitungan amal (yang dikatakan oleh Muhammad itu).”

(Şād: 16)

(4)

“Dan mereka meminta kepadamu menyegerakan kedatangan azab (yang dijanjikan); dan kalau tidaklah kerana adanya tempoh yang telah ditetapkan, tentulah azab itu akan datang menimpa mereka; dan azab itu tetap akan datang menimpa mereka secara mengejut, sedang mereka tidak menyedarinya.”

(Al-Ankabūt: 53)

(5)

“Mereka meminta kepadamu menyegerakan kedatangan azab itu, padahal sesungguhnya neraka Jahannam tetap akan meliputi orang-orang yang kafir.”

(Al-Ankabūt: 54)


Elakkan mengikut Sunnah buruk golongan terdahulu

Selayaknya umat Islam mengambil serius akan penekanan al-Quran ini. Usahlah kita melakukan perbuatan seperti golongan terdahulu yang dengan kejahilan mereka ditambah dengan kesombongan untuk mengikuti ajaran yang benar. Seandainya kita jahil, maka rendahkan hati untuk mempelajari agama dengan orang yang berkelayakan, kemudian elakkan juga sikap lebih kuah dari sudu supaya pembelajaran itu berakhir dengan praktikal kebaikan bukan pula menyombong diri.

Allah juga memperli golongan ini dengan firmanNya:

“Pada hari azab itu menyelubungi mereka dari sebelah atas mereka dan dari bawah kaki mereka; dan (malaikat yang melakukannya) akan berkata kepada mereka: “Rasalah kamu (balasan) apa yang kamu telah kerjakan”.”

(Al-Ankabūt: 55)


“(Lalu dikatakan kepada mereka: “Oleh sebab kelalaian kamu) maka rasalah azab seksa kerana kamu melupai pertemuan hari kamu ini. Sesungguhnya Kami pun tidak hiraukan keselamatan kamu lagi; dan (dengan yang demikian) rasalah azab yang kekal dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan”.”

(As-Sajdah: 14)


Mati mengejut petanda akhir zaman

Kematian mengejut merupakan di antara tanda-tanda hampirnya berlaku kiamat. Rasulullah S.A.W bersabda:

مِن اقْتِرَابِ السَّاعَةِ…. وَأَنْ يَظْهَرَ مَوْتُ الْفُجَاءَةِ

“Sesungguhnya di antara tanda-tanda hari Kiamat adalah…munculnya kematian mengejut.”

(Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Saghir)



Daripada Aisyah R.A, beliau berkata: Aku bertanya pada Rasulullah S.A.W berkenaan kematian mengejut. Lalu Baginda bersabda:

رَاحَةٌ لِلْمُؤْمِنِ ، وَأَخْذَةُ أَسَفٍ لِلْفَاجِرِ

“(Mati mengejut) adalah suatu kesenangan bagi seorang mukmin dan penyesalan bagi orang derhaka.”

(Riwayat Imam Ahmad)

Ia tidak diragukan lagi bahawa Allah taala menguji umat akhir zaman dengan banyak perkara yang tidak pernah berlaku pada zaman sebelum ini diantaranya mati secara mengejut.

Kita tidak mahu kematian kita berada dalam keadaan yang tidak baik, ditambah pula dengan sikap mencabar Tuhan, dikhuatiri kita tidak lagi berpeluang kembali pada Allah taala. Ketahuilah, bala yang didatangkan oleh Allah itu bertujuan untuk memberi peringatan buat kita, jangan pula kita langsung tidak merasakan apa-apa daripada bala yang sedang menimpa kita.

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10221352379178627&id=1222987424

Ya Allah, matikanlah kami dengan kematian yang baik, dan janganlah tamatkan nyawa kami dalam keadaan yang buruk. amin

MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN
07 Februari 2020 – HARAKAHDAILY 7/2/2020

- Advertisement -