Sajat: Mujahid dan K’jaan PH patut disalahkan

RAKYAT negara ini dari semua peringkat kini heboh berbicara mengenai tindakan usahawan kosmetik, Muhammad Sajad Kamaruzzaman atau Nur Sajat yang berpakaian menyerupai wanita ketika berada di Tanah Suci, Makkah untuk mengerjakan umrah pada 2 Februari lalu.

Dari kaca tv, radio, masjid-masjid dan di mana-mana pentas ceramah, para penceramah agama tidak ketinggalan turut menyentuh isu tersebut lantaran kedudukannya sebagai suatu tindakan yang amat mengaibkan umat Islam dan negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal agama, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof tidak ketinggalan memberikan ulasannya. Seperti orang lain, Mujahid turut mengutuk keras tindakan usahawan kosmetik itu.

Sememangnya tindakan Nur Sajat itu perlu dikutuk. Walaupun mengerjakan umrah, tetapi beliau jelas melanggar tiga perkara iaitu tidak patuh dan taat kepada Allah, tidak taat kepada peraturan yang ditetapkan dan tidak mengikut fitrah yang ditetapkan oleh Allah.

Umrah bila cukup syaratnya memang sah seperti tutup aurat dan tawaf dalam keadaan tutup aurat. Bukti yang menunjukkan beliau tidak salah pula menurut Nur Sajat kerana Tuhan tidak turunkan bala kepadanya ketika tawaf malah dia dapat mengerjakan umrah dengan baik.

Namun beliau tidak faham, Allah tidak turunkan bala kepadanya itu bukan bukti tindakan beliau itu betul, tetapi sebab Allah kasihan kepadanya kerana Allah sememangnya bersifat Maha Pengasih dan Maha Penyayang, sehingga masih diberikan peluang kepadanya untuk bertaubat.

Selain itu, balasan Allah yang menanti untuknya sememangnya sudah ada dan amat keras jika tidak bertaubat. Jika dia terus berdegil, tunggulah balasan Allah ke atasnya bila tiba masanya nanti. Ketika itu, tahulah dia betapa pedih dan sengsaranya dengan azab Allah yang sudah tidak dapat dielakkan lagi.

Dalam masa yang, isunya bukan soal itu. Isunya juga bukan soal umrah yang dikerjakan itu sah atau tidak, tetapi isunya, tengoklah umrah yang dia kerjakan itu. Kalau tindakannya itu di luar tabie, sudah tentu tidak mendapat keredhaan Allah kerana beliau sememangnya sudah tiada elemen Ubudiah.

Namun, beliau yang ternyata amat jahil berpura-pura pula alim. Segala teguran baik oleh umat Islam lain kepadanya selama ini langsung tidak mahu didengarnya. Sudahnya, dalam keadaan itulah beliau pergi ke Makkah untuk mengerjakan umrah, sehingga imej Malaysia terjejas teruk di Arab Saudi dan di seluruh dunia kini kerananya.

Bagaimanapun, seluruh rakyat Malaysia tidak seharusnya meletakkan kesalahan itu kepada Nur Sajat sahaja. Sebaliknya, Dr Mujahid juga tidak terlepas sehingga menyebabkan beliau berani bertindak sejauh itu.

Sehingga kini, tindakan Mujahid daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH) selaku menteri yang menjaga hal ehwal agama terhadap golongan Lesbian, Gay, Biseksual, dan Transeksual (LGBT) ternyata amat lembut dan tidak berkesan.

Sejak memegang portfolio itu, Mujahid amat keberatan untuk menggunakan undang-undang, tetapi hanya dengan menggunakan konsep dakwah untuk menangani isu LGBT di negara ini. 

Di samping itu, Mujahid juga melarang pihak-pihak berwajib dan orang ramai melakukan serbuan dan tangkapan ke atas mereka yang terlibat dengan aktiviti LGBT dan perzinaan jika aktiviti-aktiviti itu dilakukan oleh mereka bukan di tempat terbuka, tetapi di tempat tertutup seperti di premis-premis persendirian.

Tindakan Mujahid itu seolah-olah memberi peluang luas kepada mereka yang ingin melakukan perzinaan dan mereka yang terlibat dengan LGBT untuk melakukan aktiviti-aktiviti mereka dengan bebas kerana ia seolah-olah bermaksud jika mahu lakukan, lakukanlah asalkan bukan di tempat terbuka.

Dengan tindakan seperti itu, golongan LGBT dan pelaku-pelaku perzinaan ternyata mendapat lesen besar untuk terus bergelumang dengan maksiat. Sedangkan isu perzinaan dan LGBT ternyata tidak boleh dicegah dan diatasi dengan pendekatan dakwah sahaja, melainkan mesti disertai dengan tindakan dan penguatkuasaan undang-undang.

Jika hanya menggunakan pendekatan dakwah, mereka hanya mampu ketawa sahaja, sehingga menyebabkan mereka tidak sedar mengenai kesalahan yang berlarutan dalam hidup mereka. 

Seperti Nur Sajat. Setelah membuang alat kelamin lelakinya tetapi tetap tiada larangan dan tindakan dari segi undang-undang, akhirnya dia sanggup pula mengerjakan umrah di Tanah Suci, Makkah dengan imej perempuan walaupun dia tetap lelaki.

Di sinilah letaknya titik mula kepada Mujahid dan kerajaan PH untuk merenung dengan lebih jauh mengenai kesilapan mereka sendiri. Jika tiada perubahan baik yang dilakukan dalam menangani isu perzinaan dan LGBT selepas ini, dibimbangi keadaan yang lebih teruk daripada itu akan berlaku di negara ini nanti.

AZIZ MUDA
7 Februari 2020 – HARAKAHDAILY 7/2/2020

Advertisement