Pinda Akta 333 Mac ini

- Advertisement -

SAYA minta YB Menteri Pengangkutan tidak lagi menangguhkan pembentangan RUU pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), sebaliknya membentangkannya  pada sesi mesyuarat Dewan Rakyat bulan Mac ini. Tindakan melengahkan pindaan menunjukkan sejauhmana tahap keseriusan menteri untuk menyelesaikan masalah ini. Sewajarnya ini adalah masa yang terbaik untuk mendapatkan pandangan awam berhubung langkah preventif dan hukuman lebih berat yang harus dikenakan ke atas pemandu mabuk yang melanggar orang awam sehingga cedera dan mati.

- Advertisement -

Desakan daripada ahli-ahli Dewan Rakyat untuk meminda Akta 333 sejak bulan Mac 2019. Namun, alasan yang diberikan oleh menteri ialah masih di peringkat kajian. Oleh itu, menteri harus bentangkan hasil kajian termasuk mengadakan ‘townhall’ bersama pemegang taruh bagi mematangkan pindaan ini. Rakyat mahu supaya Seksyen 41, 44 dan 45 Akta 333 dipinda supaya hukuman lebih keras dikenakan kepada pemandu mabuk. Malah, had semasa yang menentukan kadar alkohol dalam nafas, darah dan air kencing sepertimana yang ditetapkan dalam Seksyen 45G juga harus dipinda.

Rakyat kesal kematian orang awam yang dilanggar pemandu mabuk seolah-olah tidak mendapat pembelaan sewajarnya. Pada 23 Januari 2020 lalu, seorang penunggang motosikal maut dirempuh pemandu mabuk. Sebelum itu, 17 Januari, sepasang suami isteri juga dilanggar pemandu mabuk dan isterinya mati. Seorang penerbit Sukan SEA juga maut dilanggar pemandu mabuk bulan Disember tahun lalu. Sebulan sebelum itu, seorang staf CIMB juga maut dirempuh pemandu mabuk di Lebuh Raya KESAS. Adakah pendakwaan telah dibuat? Apakah ganti rugi yang telah diberikan kepada keluarga mangsa?

Saya minta Menteri Pengangkutan segera membentangkan pindaan Akta 333 dan menawarkan solusi yang komprehensif untuk melarang sekeras-kerasnya memandu kenderaan kerana ia terbukti memberi kesan buruk kepada orang awam. Perkara ini sangat serius dan tiada kompromi lagi.

Sekian, terima kasih.

AHMAD MARZUK SHAARY
Ahli Parlimen Pengkalan Chepa 
12 Jamadil Akhir 1441 | 6 Februari 2020 – HARAKAHDAILY 6/2/2020

- Advertisement -