‘Mak Nyah’ persenda Tanah Suci, bertaubatlah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Hassan menyeru supaya ‘Mak Nyah’ yang mengerjakan Umrah di Tanah Suci dengan berpakaian (ihram) perempuan supaya bertaubat di atas perbuatan tercela itu.

Katanya, perbuatan itu sangat bertentangan dengan syarak apabila seorang lelaki menyerupai perempuan seterusnya pergi menunaikan Umrah dalam keadaan menyerupai perempuan.

”Pergi ke Tanah Suci dalam keadaan sedemikian sepertinya satu perbuatan menghina agama dan menghina kesucian Tanah Suci tempat (kelahiran) Nabi Muhammad S.A.W serta tempat umat Islam mengerjakan Umrah dan Haji. ‘Saya menyeru dan menasihati supaya kembali kepada Islam dengan cara yang betul, mengamal syariat dengan cara betul dan bertaubat kepada Allah S.W.T.

”Perbuatan seorang lelaki berpakaian perempuan adalah salah dan sangat dicela oleh syarak. Kenapa saya kata perbuatan itu salah, sebab memang jelas larangannya dalam Islam seperti mana hadis Rasulullah S.A.W bersabda; “Laknat Rasulullah ke atas lelaki yang menyerupai perempuan dan laknat Rasulullah ke atas perempuan menyerupai lelaki”.

- Advertisement -

“Kerana bertentangan dengan fitrah asal kejadian manusia,” katanya sewaktu Majlis Pembacaan Kitab Riadhus Solehin di Masjid Solahudin Al Ayyubi Indera Mahkota, semalam.

Beliau menegaskan tidak boleh mengubah ciptaan Allah, sedangkan manusia merupakan sebaik-baik kejadian, termasuk tidak boleh saling menyerupai walaupun ia dalam lakonan sekalipun kerana itu satu tindakan mempersendakan ciptaan Allah.

Beliau turut memetik hadis Rasulullah S.A.W yang mengarahkan supaya golongan berkenaan tidak boleh bawa masuk ke dalam rumah dan tidak boleh dilayan kerana ia dibimbangi akan menjadi contoh kepada masyarakat.

”Saya mengharapkan semoga mereka (Mak Nyah) dapat petunjuk daripada Allah sebab apabila dia pergi untuk menunaikan umrah maknanya mudahan ada sekelumit iman dalam hatinya. Rasa mahu beragama itu masih ada, mudahanya supaya Allah memberi petunjuk kepadanya,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 6/2/2020

- Advertisement -