Langgar titah Sultan, bersikap ‘pilih bulu’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kontroversi tarian naga dan bakar mercun yang dihadiri orang politik semasa meraikan Tahun Baharu Cina di Surau al-Qomar di Taman Pengkalan Utama, Ipoh masih dirasai kehangatannya.

Lebih-lebih lagi surau tersebut berada di kawasan DUN Tebing Tinggi yang diwakili seorang EXCO Kerajaan Negeri Perak daripada DAP iaitu Dr Abdul Aziz Bari.

Naib Ketua Pemuda PAS Perak, Ustaz Mohd Zahid Abu Bakar berkata, sambutan di surau dengan kehadiran tetamu khas orang politik, Dr Aziz dan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh adalah keterlaluan.

Menurutnya, tindakan ini adalah melanggar titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, sedangkan Aziz Bari dan Wong merupakan pimpinan bagi parti politik di negeri itu.

- Advertisement -
Naib Ketua Pemuda PAS Perak, Mohd Zahid Abu Bakar

“Tindakan tersebut dilihat sebagai melampau dan tidak menghormati titah Paduka Seri Sultan Perak. Semua ahli politik sepatutnya akur dengan titah Sultan Perak supaya tidak dianjurkan program bermotif politik di rumah Allah.

“Sehubungan itu, Pemuda PAS Perak menggesa pihak EXCO berkaitan jangan bersikap ‘pilih bulu’ dalam menyelesaikan masalah ini, sebaliknya tegas agar premis ibadah bersih dari campur tangan politik.

“Sikap acuh tak acuh EXCO berkaitan akan menatijahkan perkara sama berulang, bahkan barangkali lebih dahsyat daripada apa yang terjadi.

“Kejadian tersebut bukan sahaja melanggar titah Baginda Sultan, bahkan menimbulkan rasa kurang senang sesetengah penduduk terutamanya dari kalangan umat Islam,” kata Mohd Zahid dalam satu kenyataan kepada HarakahDaily, di sini.

Exco Agama, Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan Perak, Asmuni Awi sebelum ini melarang pelancaran Buy Muslim First (BMF)di sebuah masjid di negeri Perak.

Menurut Asmuni walaupun pelancaran BMF anjuran sebuah NGO, namun ia terpaksa dihentikan kerana turut melibatkan pemimpin dari parti politik tertentu.

Asmuni menekankan dalam konteks masjid dan surau, aktiviti yang melibatkan ahli politik atau didalangi oleh parti politik dilarang sama sekali seperti yang dititahkan oleh Sultan Perak. – HARAKAHDAILY 6/2/2020

- Advertisement -