Islam perlu dilaksana menyeluruh bersama ‘tajdid’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Islam bukan sahaja perlu dilaksanakan secara menyeluruh, tetapi juga dengan islah dan tajdid, demikian seru Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

- Advertisement -

Beliau mengemukakan contoh pemberian bantuan kepada fakir miskin dengan nilai tertentu hanya bersifat sementara, sedangkan zakat dan wakaf mesti digunakan untuk menjana ekonomi umat Islam.

Cadangnya, negeri yang mempunyai zakat banyak boleh membuat industri dengan dikumpulkan orang miskin diberikan saham dan gaji di mana setelah itu mampu membebaskan mereka dari kemiskinan.

Dengan cara itu katanya, dapat mengurangkan masalah kemiskinan dari masa ke semasa, sedangkan dengan pemberian wang semata-mata menjadi penyelesaian yang lambat, bahkan bertambah dengan kemunculan orang miskin baharu.

Perkara itu dikemukakannya pada Syarahan Perdana ‘Pemetaan Baharu Dunia’ sempena 3 Dekad Pentadbiran Membangun Bersama Islam Negeri Kelantan di Dewan Besar Kompleks Islam Darulnaim, Lundang, Kota Bharu, semalam.

Beliau memetik teladan Khalifah Umar Abdul Aziz yang dengan ijtihad mewujudkan bahagian kesembilan dalam pembahagian zakat yakni kepada golongan memerlukan.

Para ulamak juga serunya, perlu sedar dan memahami dalam perkara tajdid ini sebagaimana pembahagian rakyat sebagaimana menurut pandangan para ulamak mazhab.

Jelasnya, Imam Syafie hanya meletakkan dalam kalangan bukan-Islam hanya Yahudi, Kristian dan Majusi sebagai rakyat, sedangkan Imam Abu Hanifah turut memasukkan Hindu dan Buddha.

“Dalam masalah politik, kita kena fleksibel. Contoh, kita terima demokrasi pilihan raya, (tetapi) tak ada dalam kitab (mengenai) demokrasi ini. (Tapi) Bukan semua tak ada dalam kitab itu Nabi tak buat. Contohnya bila Nabi nak hantar surat kepada Raja-raja, lalu Sahabat kata, ya Rasulullah, Raja-raja ini kalau tak ada rubber stamp, dia tak terima surat.

“Lalu Nabi suruh buat rubber stamp. Buat khatam. Khatam ini hat orang kafir buat, Nabi pakai, supaya surat itu jadi rasmi. Bukan semua orang kafir, kita tolak belaka. Ini kena faham, ini ada dalam bab Siyasah Syariah. Kita kena sedar, kena faham.

“Contohnya ada perkara pembaharuan, Saidina Uthman buat sembahyang Jumaat bang (azan) dua kali. Sebelum itu bang sembahyang Jumaat sekali saja. Zaman Nabi bang sekali, zaman Abu Bakar bang sekali, zaman Umar bang sekali. Bang sekali orang tak mari ke masjid lagi, kosong lagi masjid. Saidina Uthman suruh bang dua kali. Ini Saidina Uthman buat pembaharuan dalam bang untuk membuatkan orang datang ke masjid.

“Ini kena faham. Ini termasuk dalam Siyasah Syariah. Dalam bab ibadat pun ada Siyasah Syariah. Ada tak dalam syarat Haji buat pasport? Tak ada syarat Haji buat pasport. Ambil visa ada tak? Dah, pergi Makkah begitu saja (ikut) kitab sangat? Ini termasuk dalam Siyasah Syariah untuk nak jaga keselamatan, kena pakai pasport, pakai visa. Ini kena faham,” perjelasnya.

Tajdid itu ceritanya termasuk membuat senarai kira-kira terhadap wang negara zaman Saidina Umar dan skim gaji Tadwinud Dawawin dan Takhsimul ‘Atha’ di mana pandangan ulamak yang pelbagai bukan perbalahan, tetapi kerana mengikut waqi’ masyarakat. – HARAKAHDAILY 6/2/2020

- Advertisement -