Wajarkah ‘kerajaan pintu belakang’?

- Advertisement -

ADA yang bertanya saya, adakah wajar ditubuhkan ‘kerajaan pintu belakang’? Sebelum menjawab persoalan itu, perlu dijelaskan dahulu, apa yang dimaksudkan dengan ‘kerajaan pintu belakang’.

Istilah ‘kerajaan pintu belakang’ digunakan bagi menggambarkan penubuhan kerajaan bukan melalui cara biasa.

Kebiasaannya kerajaan ditubuhkan oleh gabungan parti yang memenangi pilihan raya. Pemimpin utama akan dinamakan sebagai Perdana Menteri, dan parti-parti yang menang akan menghantar pemimpin mereka untuk memegang jawatan dalam kabinet. Ini cara biasa berlaku selepas pilihan raya umum. Perdana Menteri dan kabinet memegang jawatan sehingga Parlimen dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya umum berikutnya. Hal ini disebut dalam Perkara 43(2) Perlembagaan Persekutuan.

Dalam tempoh itu, boleh berlaku pertukaran Perdana Menteri melalui peletakan jawatan secara sukarela bila-bila masa sahaja. Bila berlaku kekosongan, proses pelantikan Perdana Menteri akan berlaku serupa seperti selepas pilihan raya umum iaitu Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri.

Dalam tempoh itu juga boleh berlaku perubahan atau rombakan anggota kabinet tanpa melibatkan perubahan Perdana Menteri. Proses begini pernah berlaku dan ia tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Bahkan Perlembagaan juga membenarkan pertukaran Perdana Menteri atau perubahan kerajaan akibat kehilangan sokongan majoriti. Kaedahnya disebut dalam Perkara 43(4) Perlembagaan. Walau pun perubahan kerajaan begini belum pernah berlaku di peringkat Persekutuan, ia pernah terjadi di negeri-negeri Terengganu, Kelantan dan Perak.

Selama ia tidak bercanggah dengan Perlembagaan, ia dianggap sah dan berkuatkuasa.

Bila bercakap tentang istilah ‘kerajaan pintu belakang’ ia sebenarnya digunakan bagi menggambarkan elemen negatif dalam penubuhan kerajaan itu. Bila anda menjadi tetamu, anda masuk pintu hadapan. Kalau anda masuk pintu belakang, maka ada sesuatu yang tidak kena!

Jadi, apa masalahnya dengan ‘kerajaan pintu belakang’ kalau penubuhan kerajaan itu tidak bercanggah dengan Perlembagaan?

Pertamanya, ia mungkin bermasalah dari sudut moral politik khususnya jika dikaitkan dengan mandat rakyat. Rakyat memberikan mandat kepada gabungan kerajaan melalui undi sewaktu pilihan raya umum. Perubahan tampuk pemerintahan akan diterima sebagai wajar jika ada bukti jelas bahawa rakyat telah berubah fikiran dan menerima baik perubahan itu.

Keduanya, ia pasti bermasalah jika perubahan tampuk kerajaan mempunyai elemen rasuah. Dalam situasi perubahan gabungan politik, atau kes lompat parti yang mengakibatkan perubahan kerajaan, jika ia berlaku kerana rasuah, maka ia tidak wajar disokong. Rasuah boleh berlaku sama ada dalam bentuk wang sogokan, janji jawatan, janji untuk membebaskan dari tuduhan mahkamah, atau seumpamanya. Kadangkala ia boleh juga berlaku melalui ugutan dan paksaan.

Oleh itu, perubahan tampuk kerajaan melalui perubahan gabungan parti, atau perubahan sokongan parti, tidak semesti perlu dipandang negatif. Jika ia selari dengan perubahan sokongan rakyat, dan dijamin tidak ada unsur rasuah dan ugutan maka ia adalah sebahagian dari proses demokrasi yang sah.

Oleh itu, istilah ‘kerajaan pintu belakang’ perlu dikhususkan kepada penubuhan kerajaan melalui perubahan sokongan politik yang mengenepikan mandat rakyat dan ditubuhkan atas dasar rasuah demi kepentingan orang-orang politik. Atas istilah yang khusus itu, kita wajar menolak ‘kerajaan pintu belakang’.

MUHAMMAD FATHI YUSOF
Gombak, Selangor
Februari 2020 – HARAKAHDAILY 5/2/2020

- Advertisement -
- Advertisement -