‘Wilayah Sejahtera’ gagasan untuk warga Ibu Negara

- Advertisement -

BANDAR TUN RAZAK: Pertelagahan sesama sendiri parti-parti komponen PH telah menyebabkan pentadbiran negara dan rakyat terabai, sekali gus menjadi iktibar supaya kesatuan parti bukan kerajaan diperkuatkan menerusi Muafakat Nasional.

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Azhar Yahya berkata, bahkan juga di Ibu Negara yang sudah begitu banyak pembangunan dari segi duniawi ini terus ketinggalan memberi perhatian kepada elemen manusiawi selaku penghuninya.

“Kita boleh lihat, Menteri Wilayah lebih fokus isu pembangunan Kampung Baru daripada menangani masalah sosial yang begitu membimbangkan di Chow Kit. Tidak sedarkah beliau bahawa masyarakat di Wilayah ini begitu sibuk mengukuhkan kewangan kerana bebanan hidup?

“Akibatnya timbul masalah keluarga. Namun pentadbiran Wilayah lebih sibuk melayan tauke-tauke besar sehingga ramai rakyat dibiarkan menjadi mangsa Kapitalis dan Konglomerat,” ujarnya pada Ceramah Muafakat Nasional, di sini kelmarin dahulu.

Sehubungan itu menurutnya, Muafakat Nasional bertekad memenangi lapan kerusi Parlimen dalam Wilayah Persekutuan pada PRU15 nanti dengan membawa gagasan ‘Wilayah Sejahtera’ yang berasaskan Islam.

Menurutnya, kekuatan tersebut sedang dibina apatah lagi kejayaan Penyatuan Ummah telah membawa kepada perubahan Umno meminda Perlembagaan parti itu dengan meletakkan Islam sebagai asas perjuangan.

Dengan itu katanya, menguatkan lagi persamaan perjuangan antara PAS dan Umno yang semestinya ia dipertahankan, malah kedua pihak telah menggalakkan lagi usaha-usaha di pelbagai peringkat dalam menjayakan agenda berkenaan.

“Seperti Himpunan Wanita Muafakat Nasional pada 16 Februari nanti. Juga lawatan oleh MIC Wilayah ke Pejabat PAS Wilayah. Kita juga mengukuhkan jaringan persahabatan bersama MCA dan KIMMA dan pihak yang mahu bersama kita.

“Kini ketumbukan kita sangat ditakuti oleh PH. Apatah lagi kita buktikan gelombang Penyatuan Ummah di PWTC yang lalu, selain kemampuan ditunjukkan dari pemerintahan Islam di Kelantan dan Terengganu yang turut meraikan kebebasan beragama,” ujarnya.

Beliau yakin kekuatan Muafakat Nasional bakal menjatuhkan PH seterusnya mendaulatkan Islam dan menjaga kebajikan rakyat berbilang kaum setelah kemenangan PH lalu semata-mata kerana penipuan dan fitnah. – HARAKAHDAILY 4/2/2020

- Advertisement -