Islam akan jadi dasar, ulamak boleh ketuai

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Islam yang akan menjadi dasar pemerintahan diletakkan oleh PAS dan Umno bakal membawa pentadbiran negara ke tahap lebih baik berbanding semasa BN dahulu dan PH ketika ini bersama azam tidak mengulangi kesilapan dan kelemahan lalu.

- Advertisement -

Optimistik dan komitmen tersebut diungkapkan Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah semasa berucap pada Ceramah Muafakat Nasional Wilayah Persekutuan di Bandar Tun Razak, di sini kelmarin dahulu.

Jelasnya, dengan Islam sebagai dasar pemerintahan, ia akan menguatkan untuk PAS dan Umno seiringan di mana Umno juga baru-baru ini telah mengubah Perlembagaan parti dengan meletakkan Islam sebagai asas dan dasar perjuangannya.

“Jadi kita (PAS) dengan Umno ini, jadi sekali (bersama) dah dari segi perjuangannya. Dan kita harap insya-Allah dasar ini boleh kita kukuhkan pada masa akan datang. Dan apabila bercakap mengenai Islam, kita bukan nak gaduh dengan orang lain.

“Sebab DAP bila PAS pakat dengan Umno, dia tuduh kita akan tekan, menzalimi orang bukan-Islam. Semua ini tuduhan dan DAP menggunakan senjata ini untuk menakut-nakutkan bukan-Islam terhadap PAS dan Umno. Inilah antara faktor DAP boleh menang pilihan raya,” ujarnya.

Menurutnya, gabungan atas dasar Islam akan memberi kekuatan besar ditambah Umno dan PAS mempunyai pengalaman mentadbir masing-masing selama selama 60 dan 30 tahun dengan berdepan segala sepak terajang dan kemahiran.

Bahkan PAS katanya, terdahulu telah memerintah Kelantan selama 18 tahun sebelum kalah 12 tahun dan kembali memenangi pada tahun 1990 di mana sejak itu menyusun pentadbiran berasaskan prinsip-prinsip Islam.

Cerita beliau yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan, walaupun berdepan kesukaran, tekanan dan gugatan, tetapi PAS mampu membuktikan kepada masyarakat menerusi pemerintahan Kerajaan Negeri Kelantan bahawa Islam boleh beroperasi.

Perincinya, sejak tahun 1990 itu, Kelantan telah membawa perubahan paradigma apabila tegas meletakkan dasar yang diperkenalkan sebagai “Membangun Bersama Islam” bersama prinsip ubudiyyah, mas’uliyyah dan itqan.

“Dulu orang tidak fikir bahawa Islam ini boleh menjadi dasar negara, tidak boleh beroperasi dalam negara moden dan dalam masyarakat majmuk seperti tanah air kita. Tetapi PAS buktikan 30 tahun Islam boleh menjadi dasar dan diterima baik masyarakat termasuk bukan-Islam.

“Kedua bila kita letak ulamak sebagai Menteri Besar. Orang tidak pernah fikir ulamak boleh kerana anggap hanya pandai mengajar agama, duduk dalam masjid bercakap feqah sahaja. Tetapi kita lantik Almarhum Tok Guru (Dato’) Nik (Abdul) Aziz (Nik Mat) tahun 1990 sebagai MB.

“Kita buktikan ulamak mampu jadi ketua negara dan pengganti Tok Guru Nik Aziz hari ini pun seorang ulamak lulusan Universiti Al-Azhar. Semua ini boleh menjawab keraguan dan tuduhan kepada ulamak,” hujahnya.

Bahkan yakini Dato’ Amar, dasar Islam dan gabungan pengalaman PAS-Umno akan menjadikan pemerintahan contohnya di Selangor jauh lebih baik berbanding sedang diterajui PH ketika ini kerana negeri itu mempunyai segala kemudahan. – HARAKAHDAILY 4/2/2020

- Advertisement -