Celik virus

- Advertisement -

ISU PENULARAN jangkitan Koronavirus baru (2019-nCoV) menjadi topik hangat di seluruh dunia. Berita dari sumber yang pelbagai adakalanya mengelirukan warga maya dan warga realiti.

Apakah itu virus?

Virus adalah ejen berjangkit yang sangat halus. Ejen ini bergantung penuh kepada perumah (host) untuk berfungsi dan membiak.

Perumah kepada virus termasuklah manusia, binatang, tumbuhan dan bakteria. 

Bagaimana virus tersebar?

(A) Jangkitan manusia kepada manusia. Contohnya melalui:

Cecair badan: Merangkumi air liur, lendir dan sebagainya yang dirembeskan sewaktu pesakit batuk, bersin, malahan bercakap dan bernafas.

Sentuhan: Menyentuh permukaan yang tercemar dengan virus seperti tombol pintu dan butang lif kemudian menyentuh mata, mulut dan hidung. 

(B) Penyebaran virus dari haiwan kepada manusia. Ia boleh berlaku melalui:

Udara: Seperti penyebaran Virus Influenza.

Cecair badan: Seperti air liur anjing yang boleh mengandungi Virus Rabies.

Daging dan makanan laut yang tidak dikendali dan dimasak secara selamat  boleh menyebarkan jangkitan seperti Virus Hepatitis dan Norovirus.

(C) Vektor: Seperti nyamuk Aedes Aegypti yang menjadi vektor penyebaran Virus Denggi, Chikungunya dan Zika.

Bagaimana virus menjangkiti perumah?

Kita ambil contoh Virus Respiratory Syncytial (RSV) yang biasanya menjangkiti anak-anak berusia 2 tahun dan ke bawah. Apabila virus ini berjaya memasuki sistem pernafasan, ia akan bercantum dengan reseptor seperti CX3CR1 yang wujud di permukaan sel paru-paru manusia.

Reseptor ialah komponen sel perumah yang dikenalpasti oleh virus yang membolehkan jangkitan berlaku. 

Percantuman virus dan reseptor ini membolehkan virus menyuntik kod genetiknya ke dalam sel. Bermula dari saat ini, virus akan menggunapakai sel yang dijangkitinya sebagai kilang pengeluar virus-virus baru. Virus-virus baru ini kemudiannya menjangkiti sel-sel yang lain. 

Ada apa dengan 2019-nCoV? 


Setakat artikel ini ditulis, angka kematian melibatkan jangkitan virus 2019-nCoV telah meningkat kepada 425 orang di China dan satu kematian baru di luar negara China, iaitu di Filipina. Jumlah kes yang disahkan mencecah lebih 20,000 kes, serta melibatkan lebih 24 buah negara di seluruh dunia, termasuk Malaysia.

Jangkitan pertama yang dipercayai bermula di pasar Huanan (Huanan South China Seafood Market) di Wuhan dilaporkan pada 31 Disember 2019. 

Seperti jangkitan Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS-CoV) pesakit menunjukkan gejala penyakit Pneumonia termasuk demam, batuk dan sesak nafas. 

Terkini, saintis melaporkan pesakit berupaya menyebarkan virus walaupun sebelum gejala jangkitan dapat dikesan. Gejala jangkitan virus 2019-nCoV biasanya mengambil masa antara sehari sehingga 14 hari sebelum kelihatan. Hal ini merumitkan lagi proses mengenalpasti pesakit bagi tujuan kuarantin. 

Walaupun pasar Huanan dikenali sebagai pasar  menjual makanan laut, tetapi ia juga menjual haiwan liar termasuk kelawar, ular, burung dan musang.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan kewujudan virus ini dalam sampel persekitaran yang diambil di pasar Huanan. Bagaimanapun, sehingga ke hari ini masih belum dapat dikenalpasti haiwan yang berpotensi menjadi penyebar.

Berdasarkan corak jangkitan dan angka kematian, kemungkinan besar virus ini menyebabkan jangkitan yang lebih parah kepada warga emas (berusia 60 tahun dan ke atas) terutamanya yang mengalami masalah kesihatan seperti tekanan darah tinggi, kencing manis, masalah buah pinggang dan jantung.

Kini, telah terbukti virus ini bukan sekadar berupaya tersebar melalui haiwan kepada manusia tetapi juga melalui jangkitan manusia kepada manusia seperti yang ditakuti.

Pada 30 Januari, WHO telah mengisytiharkan jangkitan virus 2019-nCoV sebagai darurat kesihatan sedunia. 

Apakah langkah pencegahan?

Elakkan terdedah kepada persekitaran dan pesakit yang dijangkiti virus. Basuh tangan menggunakan air dan sabun sekurang-kurangnya selama 20 saat, dengan kerap.

Jika tiada air dan sabun, guna sanitizer yang berasaskan alkohol. 

Elakkan menyentuh mata, mulut dan hidung dengan anggota badan yang terdedah kepada virus.

Gunakan tisu (bukan sapu tangan) sewaktu bersin dan batuk. Buang tisu setelah digunakan ke dalam tong sampah.

Amalkan kebersihan diri dan persekitaran seperti yang dituntut oleh Islam.

Makan makanan yang dihalalkan oleh Allah. Pastikan makanan ini dikendali dan dimasak dengan cara yang selamat (halalan thayyiban).

Amalkan gaya hidup aktif dan sihat. Elakkan tekanan (stress) yang boleh melemahkan sistem pertahanan badan (immune system).

Pencerahan ringkas ini diharap dapat membantu kita untuk lebih memahami isu jangkitan virus 2019-nCoV. Seterusnya memangkin kesungguhan kita untuk lebih mendalami ilmu Allah yang luas. Dengan kefahaman yang betul kita dapat mengeluarkan kenyataan yang jelas dan berhikmah serta merendah diri dengan kekuasaan Allah yang berupaya menghantar sehalus-halus makhluk sebagai ujian yang boleh memusnahkan manusia. 

Nota: Penulisan ini mengguna pakai bahasa yang mudah dengan mengurangkan istilah saintifik bagi membantu kefahaman masyarakat terbanyak. – Fakta terkini telah ditambah dari artikel asal.

DR. HANI’AH ABDULLAH
Anti-infective Virologist
Alderley Park, UK

Penulis berpengalaman di dalam penyelidikan virus di pusat pengajian tinggi di UK selama lebih 10 tahun. Kini berkhidmat di dalam industri penyelidikan anti-viral sejak 2016.

Rujukan utama:

Gralinski, L E and Menachery, V D. Viruses 2020, 12, 135
https://www.cdc.gov/coronavirus/about/prevention.html

WHO – Novel Coronavirus (2019-nCoV) Situation Report – 12
https://www.bbc.co.uk/news/health-51048366

Jabatan MusMedik (Muslimat Medical Team)
Dewan Muslimat PAS Malaysia

Kredit: Kelab PAS UK – HARAKAHDAILY 4/2/2020

- Advertisement -
- Advertisement -