Pelan Damai: Khianat US terhadap Palestin

- Advertisement -

PELAN Damai Asia Barat yang diberi jolokan ‘Deal Of The Century’ oleh Amerika Syarikat dan Rejim Israel ketika pengumuman bersama oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Perdana Menteri Rejim Israel Benjamin Netanyahu di Rumah Putih beberapa hari lalu ditentang hebat oleh majoriti Dunia Islam namun disokong kuat oleh sekutu rapat Amerika Syarikat dan negara haram Israel. Sejak pengumuman tersebut, bandar – bandar utama di Asia Barat termasuk di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat dipenuhi oleh ribuan pendokong kuat Palestin yang mengadakan demonstrasi menentang pelan damai tersebut yang disifatkan tidak adil dan mahu menghapuskan Palestin dari peta dunia.

Rata – rata pemimpin utama Dunia Islam mengutuk pelan damai tersebut yang jelas menghalalkan tindakan Rejim Israel sebelum ini sejak dari perang Arab – Israel 1948. Pelan damai itu juga jelas menolak segala Resolusi PBB yang telah diluluskan sebelum ini yang ternyata menampakkan sikap sebenar Amerika Syarikat terhadap masa depan rantau Asia Barat. Sebaliknya dalam pelan damai tersebut tidak nampak kesungguhan Amerika Syarikat dan Rejim Israel mahukan perdamaian dan yang paling utama sebuah negara Palestin yang dijanjikan sebaliknya jika diteliti negara Palestin yang dijanjikan masih lagi kabur dan tiada asas kukuh dalam pelan damai tersebut.

Jika diteliti ucapan ketika pengumuman tersebut baik dari Donald Trump mahupun Benjamin Netanyahu, tumpuannya adalah penghargaan yang amat besar terhadap penasihat Rumah Putih yang juga menantu kepada Donald Trump Jared Kushner, arkitek pelan damai tersebut. Beliau seorang Yahudi dan pendokong kuat ideologi Zionism serta keluarganya adalah di antara penyumbang terbesar kepada Israel. Ucapan Benjamin Netanyahu juga secara jelas menunjukkan bahawa pelan damai tersebut adalah hasil daripada aspirasi serta perspektif Israel terhadap masa depan Israel di rantau Asia Barat yang langsung mengenepikan Palestin dan rakyatnya.

Syarat – syarat utama dalam pelan damai tersebut jelas tidak memberi pilihan kepada Palestin dan rakyatnya selain dari mengikuti apa yang tertulis di dalamnya. Hampir kesemua syarat – syarat utama dalam pelan damai tersebut memberikan keuntungan besar kepada Rejim Israel kerana pelan damai tersebut adalah kehendak Rejim Israel selama ini. Namun ada di kalangan negara Dunia Islam yang mendapat manfaat dari pelan damai tersebut yang sudah tentunya sekutu kuat Amerika Syarikat seperti Mesir. Lebih mengecewakan lagi terdapat negara Dunia Islam yang hadir ketika pengumuman tersebut seolah – olah seperti menyokong pelan damai tersebut.

Syarat Pelan Damai usaha untuk menghapuskan Palestin

Selepas pengumuman pelan damai Asia Barat oleh Donald Trump, ramai penganalisa politik dunia mahupun yang pakar mengenai situasi di Asia Barat skeptikal mahupun ragu – ragu yang pelan tersebut akan berjaya. Malah terdapat penganalisa politik yang menyamakan pelan damai tersebut dengan sistem Apartheid yang berlaku di Afrika Selatan tidak lama dulu. Namun ramai penganalisa politik antarabangsa setuju bahawa pelan damai tersebut akan gagal kerana mengenepikan Palestin serta mampu menghangatkan lagi konflik di Asia Barat.

Selepas perang Arab – Israel 1948 dan seterusnya beberapa perang lagi, wilayah Palestin semakin mengecil akibat daripada tindakan Rejim Israel menawan serta merampas tanah milik rakyat Palestin. Rumah kediaman dirobohkan, premis perniagaan dirampas, kebun – kebun dimusnahkan dan tanah milik rakyat Palestin dirampas. Majoriti tanah tersebut dibina penempatan haram untuk rakyat Israel dan kebun yang dirampas diserahkan kepada penduduk haram Israel untuk diusahakan.

Kesemua tindakan tersebut mendapat kecaman dunia dan PBB telah mengeluarkan resolusi mengutuk tindakan tersebut dan menggesa Rejim Israel mematuhi undang – undang antarabangsa. Resolusi Majlis Keselamatan PBB seperti Resolusi 2334 mengutuk tindakan Rejim Israel yang melanggar Undang – undang Antarabangsa di mana penjajah tidak dibenarkan membina penempatan untuk rakyatnya di kawasan yang dijajah bersamaan dengan apa yang termaktub dalam Konvensyen Geneva yang ke empat. Dengan pelan damai terbaru tajaan Amerika Syarikat ini, kesemua wilayah jajahan tersebut adalah hak mutlak Israel dan perlu diiktiraf dunia dalam masa sama melanggar semua Undang – undang Antarabangsa.

Baitul Muqaddis akan kekal sebagai ibu negara Israel sebagaimana yang diumumkan Donald Trump pada Disember 2017 dan perlu diiktiraf oleh dunia. Pelan damai tersebut juga menjelaskan bahawa wilayah Palestin yang baharu tidak termasuk bandar lama Baitul Muqaddis di mana terletaknya Masjidil Aqsa. Jika pihak berkuasa Palestin bersetuju dengan pelan damai tersebut, sebuah kawasan di Timur Baitul Muqaddis akan diserahkan untuk dijadikan ibu negara Palestin.

Pihak berkuasa Palestin pula diwajibkan membubarkan unit tenteranya dan segala soal berkenaan keselamatan akan diambil alih oleh Rejim Israel. Segala pos kawalan dan sempadan samada di antara Israel – Palestin mahupun sempadan antarabangsa akan berada dibawah kawalan Rejim Israel. Rejim Israel akan kekal sepertimana sekarang berkenaan operasinya terhadap rakyat Palestin. Hamas dan Jihad Islami perlu dibubarkan serta dilucutkan senjata mereka.

Rakyat Palestin yang telah meninggalkan tanah air mereka atau dikategorikan sebagai pelarian tidak dibenarkan pulang ke tanah warga Palestin yang dirampas jika pelan damai ini diterima. Mereka tidak ada hak sama sekali untuk pulang dan menuntut tanah tersebut. Warga Palestin yang dikategorikan sebagai pelarian juga akan hilang status pelariannya dan agensi yang membantu pelarian Palestin perlu dihentikan operasi dan ditutup.

Rejim Israel dan Amerika Syarikat akan menyemak semula silibus pelajaran dan buku – buku pembelajaran sekolah – sekolah di Palestin. Segala pembelajaran yang berkaitan dengan asal usul Palestin dan kebencian terhadap Rejim Israel akan diolah semula bersesuai dengan kehendak Rejim Israel dan Amerika Syarikat.

Bukit Golan dan Lembah Jordan akan menjadi milik Rejim Israel. Kedua – dua kawasan yang menjadi pertikaian diantara Jordan – Israel dan Syria – Israel akan dimasukkan ke dalam wilayah Israel seperti yang tertera dalam pelan damai tersebut. Pelan damai ini sebenarnya adalah satu taktik perluasan kuasa dan pengaruh Rejim Israel ke atas Palestin dan negara di sekelilingnya.

Bagi menggantikan tanah yang dirampas samada di Tebing Barat mahupun Semenanjung Gaza, Rejim Israel akan menetapkan sebuah kawasan yang majoritinya gurun di sempadan Mesir – Palestin sebagai sebahagian daripada sebuah negara Palestin. Namun begitu tidak dijelaskan bagaimana ia akan berlaku dan prosesnya, sebaliknya hanya gambaran serta jika Rejim Israel mahupun Amerika Syarikat berpuas hati dengan penerimaan Palestin dan rakyatnya akan pelan damai tersebut.

Namun rata – rata penganalisa politik antarabangsa berpendapat pengumuman pelan damai di saat ini sebenarnya adalah untuk meraih sokongan pengundi untuk pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat dan Pilihan Raya Umum Israel yang kedua – duanya akan berlaku tahun ini. Pelan damai ini juga adalah untuk mengalihkan tumpuan besar dunia terutamanya rakyat Amerika Syarikat dan Israel akan skandal yang melanda Donald Trump dan Benjamin Netanyahu.

Ketika ini sedang berlangsung perbicaraan salah guna kuasa Donald Trump di Senat Amerika Syarikat manakala Benjamin Netanyahu pula sedang berdepan dengan tuduhan rasuah dan salah guna kuasa yang baru sahaja difailkan di Mahkamah oleh Peguam Negara Israel. Kedua – dua kes ini mendapat liputan meluas media antarabangsa dan akibat kes ini, sokongan terhadap Donald Trump mahupun Benjamin Netanyahu dilihat menurun dan mampu menamatkan karier politik mereka. Maka oleh itu pengumuman pelan damai Asia Barat tajaan Amerika Syarikat di saat ini adalah dilihat sebagai usaha untuk menyelamatkan karier politik Donald Trump mahupun Benjamin Netanyahu.

Melihat kepada antara syarat – syarat utama yang diberikan kepada Pihak Berkuasa Palestin dan rakyatnya, baik Rejim Israel mahupun Amerika Syarikat sebenarnya tiada niat langsung untuk berdamai tetapi realitinya adalah untuk menguatkan cengkaman Rejim Israel ke atas Palestin serta meluaskan pengaruhnya di Asia Barat dengan bantuan Amerika Syarikat. Di sebalik semua ini, hakikatnya terdapat muslihat besar yang sedang diusahakan oleh Rejim Israel dengan bantuan Amerika Syarikat.

Pertembungan Amerika Syarikat dan Iran saat ini telah menimbulkan pelbagai spekulasi mengenai rantau Asia Barat dan masa depannya. Rantaian dari pertembungan ini, masa depan Syria, Yemen, Iraq, Lubnan, Libya dan yang paling utama Palestin mempunyai hubung kait besar dengan pertembungan ini. Di sebalik konflik yang melanda negara – negara terbabit, terdapat satu negara sebenarnya yang memainkan peranan besar di belakang tabir iaitu Rejim Israel. Amerika Syarikat walaupun nampak gagah sebagai kuasa besar dunia sebenarnya hanyalah tangan ghaib Israel dan Zionis untuk mencapai cita – citanya samada di Asia Barat mahupun dunia memandangkan Amerika Syarikat berada dibawah telunjuk Israel.

Palestin dan Deal Of The Century adalah langkah permulaan namun seterusnya adalah penguasaan Asia Barat untuk melengkapkan agenda atau pelan ulung Rejim Israel iaitu Greater Israel atau Israel Raya.

Rahsia di sebalik ‘Deal of the Century’

Israel sebenarnya bervisi besar selepas berjaya menjajah Palestin pada perang Arab Israel 1948. Theodore Herzl, bapa Zionism yang juga pengasas pertubuhan Zionis sedunia telah melakarkan pelan ‘Greater Israel’ , sebuah negara agung Zionis Israel yang meliputi Iraq, Syria, Lubnan, Jordan, sebahagian daripada Mesir dan Arab Saudi. Gambaran negara agung Israel ini adalah imaginasi kerajaan zaman Nabi Sulaiman A.S oleh Zionis yang sebenarnya langsung tidak sama dan benar natijahnya . Untuk mencapai Greater Israel, strategis Yahudi mencipta Yinon Plan iaitu pelan penguasaan Rejim Israel di Asia Barat, seterusnya Afrika Utara mahupun Dunia. Yinon Plan juga adalah kesinambungan pelan penguasaan British untuk rantau Asia Barat dan penubuhan sebuah negara Yahudi yang dikenali sebagai Deklarasi Belfour pada 1917.

Pelan damai Asia Barat yang diusahakan oleh Jared Kushner, penasihat Rumah Putih yang juga menantu kepada Donald Trump sebenarnya adalah sebahagian daripada pelan asal Greater Israel. Malah Benjamin Netanyahu awal lagi telah memasukkan pelan Greater Israel dalam manisfesto Parti Likud untuk pilihan raya pada March 2020. Pelan Greater Israel juga adalah sebahagian daripada polisi luar Amerika Syarikat.

Maka sebab itulah apabila Donald Trump membuat keputusan untuk berundur daripada sempadan Turki – Syria malah berundur daripada Iraq, beliau menerima kecaman hebat daripada politikus Amerika Syarikat baik Demokrat mahupun Republikan. Malah kumpulan besar pelobi Yahudi dan Israel turut mengancam untuk tidak menyokong Trump jika beliau berbuat demikian. Maka di atas alasan itulah selain daripada menyelamatkan karier politiknya, Donald Trump mengambil keputusan untuk menyerang dan membunuh Qasim Soleimani seterusnya mengekalkan tentera dan penguasaannya ke atas Iraq.

Keputusan Donald Trump untuk memindahkan Kedutaan Amerika Syarikat ke Baitul Muqaddis serta mengisytiharkan Baitul Muqaddis sebagai ibu negara Israel adalah semata- mata untuk mencetuskan ketidakstabilan di rantau Asia Barat. Maka dengan ketidakstabilan tersebut Donald Trump dan Benjamin Netanyahu akan dapat menjalankan pelan Greater Israel dengan lebih berkesan hasil campurtangan Amerika Syarikat di rantau terbabit.

Jika melihat daripada keadaan sekarang dengan segala krisis yang berlaku di rantau Asia Barat, bermula dengan pengepungan Semenanjung Gaza 2007, penaklukan Iraq 2003, perang Lubnan 2006, perang Libya 2011 dan perang yang masih berlangsung di Yemen, Syria dan Iraq berserta dengan kemelut kuasa yang berlaku di Arab Saudi, maka kita akan jelas nampak sebenarnya ia adalah sebahagian daripada Yinon Plan untuk mencapai Greater Israel di mana Rejim Israel dengan bantuan Amerika Syarikat memainkan peranan besar untuk mencapai matlamat tersebut.

Strategi Yinon Plan untuk projek Greater Israel terdiri daripada beberapa fasa. Fasa yang sedang berlaku sekarang ialah untuk melemahkan serta memecahbelahkan kesatuan negara rantau Asia Barat sebagai sebahagian daripada pelan peluasan kuasa Amerika Syarikat – Israel dengan bantuan Nato dan Arab Saudi. Berkenaan dengan hubungan baik Israel – Arab Saudi, ia bermanfaat kepada Israel untuk mengembangkan pengaruhnya di Asia Barat dan mendepani pengaruh Iran. Tidak dapat dinafikan, Greater Israel adalah bersamaan dengan pelan perluasan kuasa imperealisme Amerika Syarikat di Asia Barat.

Rancangan pelan Greater Israel adalah sebuah wilayah Israel yang bemula dari lembah Sungai Nil hingga ke Sungai Furat. Seabad yang lalu, pertubuhan Zionist sedunia telah melakar pelan sebuah negara agung Israel atau Greater Israel yang merangkumi:

(i) Palestin (Bahagian Bandar Lama atau Bersejarah)
(ii) Utara Lubnan sehingga ke Sidon dan Sungai Latani
(iii) Bukit Golan, Lembah Hauran dan Deraa di Syria
(iv) Penguasaan ke atas laluan keretapi Hijaz dari Deera ke Amman, Jordan termasuk Teluk Aqaba

Namun pelan terbaru yang dilakar untuk Greater Israel, selain daripada negara atau kawasan yang termasuk dalam pelan asal yang bermula dari Sungai Nil di Barat hingga ke Sungai Furat di Timur, ia kini termasuk keseluruhan Palestin, Lubnan, Barat Syria dan Selatan Turki.

Yinon Plan adalah pelan strategik Israel untuk menjadi kuasa besar Asia Barat. Untuk itu, Israel perlu mengubah geopolitik Asia Barat dengan kaedah “ balkanization “ iaitu memecahkan negara – negara Arab di Asia Barat kepada negara – negara kecil dan lemah. Namun untuk melakukan perkara tersebut, strategis Zionis dan Israel berpendapat Iraq adalah halangan utama kepada perkara tersebut. Jika Iraq dapat ditumpaskan maka akan mudah Israel memecahkan negara – negara di Asia Barat kepada negara-negara kecil dan lemah.

Pelan untuk Iraq oleh strategis Zionis ialah untuk memecahkan Iraq kepada tiga negara kecil, satu untuk Kurdish, satu untuk penganut mazhab Syiah dan satu untuk Sunni. Permulaan pelan tersebut ialah ketika perang Iran – Iraq sebagaimana yang dirancang dalam Yinon Plan.

Majalah Atlantic pada 2008 dan jurnal terbitan tentera Amerika Syarikat pada 2006 kedua – duanya telah memperincikan peta Asia Barat yang mengikuti pelan Greater Israel. Selain daripada memecahkan Iraq, tercatat juga dalam pelan tersebut untuk memecahkan Lubnan, Mesir dan Syria. Perincian terbaru Yinon Plan turut memasukkan Iran, Turki, Pakistan dan Somalia untuk dipecahkan menjadi negara lemah dan kecil.

Dalam perincian terbaru Yinon Plan, Afrika Utara perlu dipecahkan kesatuannya juga negara kepada negara – negara kecil bermula dengan Mesir, Sudan, Libya kemudian seterusnya keseluruhan Afrika Utara. Untuk merealisasikan Greater Israel, negara – negara Arab dan negara di Afrika Utara perlu dipecahkan kepada negara – negara kecil yang kemudian akan menjadi negara proksi samada untuk Israel mahupun Amerika Syarikat.

Berdasarkan keadaan sekarang, perang di Syria dan Iraq adalah sebahagian daripada proses Greater Israel iaitu perluasan kawasan Israel. Maka apabila ISIS dan An Nusra yang dibiayai oleh Amerika Syarikat dan Israel tewas kepada tentera Syria dengan bantuan Iran dan Rusia, ia merupakan tamparan hebat buat Israel dan Amerika Syarikat. Malah kehadiran Rusia di Asia Barat langsung membantutkan perancangan Israel dan Amerika Syarikat.

Maka serangan dan pembunuhan Qasim Soleimani adalah perancangan teliti Amerika Syarikat dan Israel untuk merealisasikan impian Greater Israel namun hampir terbantut akibat campur tangan Iran dengan sokongan Rusia dan Turki. Maka inilah sebenarnya apa yang berlaku di Asia Barat dan juga Afrika Utara. Mustahil semuanya kebetulan namun jika diperhalusi secara mendalam, akan jelaslah pelan Rejim Israel dan Amerika Syarikat dalam merealisasikan pelan Greater Israel melalui Yinon Plan.

Jika Dunia Islam terutamanya masih leka dengan habuan dunia dan kuasa yang ada ditangan mereka, mereka bukan sahaja akan kehilangan kuasa malah akan hilang segala-galanya. Sejarah tidak pernah menipu namun Dunia Islam kerap kali ditipu dengan mudah hasil umpanan keduniaan seperti kekuasaan dan kekayaan. Sekarang mungkin Dunia Islam masih bersenang lenang tapi apabila ditipu dan hilang segala – galanya, ianya sudah terlambat.

Masih belum terlambat untuk Dunia Islam kembali bersatu padu dan membina kembali kekuatan demi perpaduan dan kesatuan Dunia Islam. Musuh Islam tidak akan berdiam diri selagimana kehendak dan cita – cita mereka tidak tercapai. Sebelum terlambat, Dunia Islam harus sedar masa depan dan nasib mereka akan pudar dan gelap selama – lamanya jika keadaan berterusan begini. Cukup sudah Dunia Islam diperhambakan serta diperkuda untuk kepentingan musuh Islam.

Kuatkan kesatuan dan jadikan Islam sebagai sandaran serta asas kesepakatan. Insyaallah, Dunia Islam akan kembali gemilang dan terbilang.

YB MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lujnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.
ADUN Batu Burok. – HARAKAHDAILY 3/2/2020

- Advertisement -
- Advertisement -