Kerjasama tidak belakangi dasar parti

- Advertisement -

RANTAU PANJANG: Sebarang keputusan yang dibuat dalam Muafakat Nasional antara PAS dan Umno akan dirujuk kepada parti masing-masing terlebih dahulu.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, langkah itu membuktikan kerjasama tersebut tidak membelakangkan pendirian serta dasar kedua-dua parti terbabit.

“Apa sahaja keputusan dalam Muafakat Nasional akan dibawa kepada parti, seperti kita (PAS) bawa kepada Jawatankuasa PAS Pusat dan jika perlu bawa kepada Majlis Syura Ulamak PAS.

“Begitu juga Umno, mereka akan bawa kepada Majlis Tertinggi atau BN untuk dibincang. Dan apabila setuju dibawa semula kepada Jawatankuasa Induk baru kita buat keputusan bersama,” katanya pada ceramah Muafakat Nasional di Pusat Tarbiyah Rantau Panjang di sini semalam.

Hadir sama Ketua Pemuda Umno Malaysia, Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Yang Dipertua PAS Rantau Panjang Abdul Fatah Haron serta Ketua Umno Bahagian itu, Akbar Salim dan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff.

Pada Jumaat lepas Naib Presiden Umno, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob dilapor berkata, Umno dan PAS tidak menolak kemungkinan membincang pembahagian kerusi PRU15 lebih awal. – HARAKAHDAILY 3/2/2020

- Advertisement -
- Advertisement -