Anwar bangkitkan kembali isu kafir-mengkafir

- Advertisement -

DI PAGI hari lagi sudah keluar laporan dalam portal berita Sinar Harian mengenai Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengingatkan pemimpin Islam supaya jangan mudah menjatuhkan hukum.

Menggunakan kunjungan beliau bersama Allahyarham Ustaz Fadzil Noor ke dunia Arab, iaitu ke Arab Saudi, Kuwait dan Mesir, pada tahun 1976, membabitkan pertemuan dengan pejuang dan ulama terkenal Lubnan.

Kata Datuk Seri Anwar, dalam pertemuan itu ada ditekankan peringatan tentang kerosakan badan Islam kerana tokoh Islam yang terlalu obsesi dan angkuh, cepat menghukum orang mengkafirkan orang.

Tambah Datuk Seri Anwar, kemudian selepas 30 tahun, kelemahan parti Islam itu ternyata berlaku dan berpunca daripada sikap yang sedemikian, iaitu pemimpin yang cepat menghukum.

Tidak diketahui mengapa secara tiba-tiba sahaja Datuk Seri Anwar menimbulkan kembali isu kafir-mengkafir yang sudah lama mati ini, tetapi Allahyarham Tok Guru Nik Aziz pernah menjawab isu ini dahulu.

Jika Datuk Seri Anwar menggunakan dunia Arab untuk menghentam PAS, maka Allahyarham Tok Guru Nik Aziz juga menggunakan dunia Arab juga, khususnya Kerajaan Arab Saudi, untuk membela PAS.

Kita ikuti sepenuhnya tulisan Allahyarham Tok Guru Nik Aziz bertajuk ‘Fatwa Kafir-Mengkafir Di Tanah Suci’ yang dikeluarkan pada 29 September 1983 ini.

Fatwa kafir-mengkafir di tanah suci

Satu pandangan yang amat menarik di Tanah Suci dalam musim haji baru lepas (1403H/1983M) ialah pembahagian risalah perkara-perkara yang membatalkan Islam secara besar-besaran oleh pihak Kerajaan Saudi melalui Jabatan Penyelidikan Ilmiah, Fatwa, Dakwah dan Kepimpinan.

Risalah ini dikembarkan bersama risalah mengenai ibadat haji dan telah dibahagi-bahagikan kepada sesiapa sahaja yang melintasi pintu keluar Lapangan Terbang Jeddah. Terjemahan dibuat ke dalam bahasa-bahasa besar dunia, termasuk bahasa Indonesia (Malaysia). Risalah ini pernah diterjemah oleh Ustaz Hassan Saleh, Dekan Fakulti Usuluddin wal Ijtima’ Nilam Puri, dua tahun lepas dan menimbulkan kekecohan yang sengaja dibuat-buat oleh setengah kalangan. Saya kata sengaja dibuat-buat kerana kandungan risalah ini bertentangan dengan nafsu amarah golongan-golongan tertentu yang merasa tidak sesuai dengan rancangan-rancangan yang telah dulu diatur dan tidak selesa hidup bila terdapat mana-mana hukum Tuhan yang tidak selaras dengan kemahuannya.

Maka cara yang paling mudah bagi orang-orang seperti ini sejak zaman-berzaman ialah buat bising, menuduh orang lain memecah-belahkan perpaduan dan menimbulkan huru-hara konon, bahkan sampai ke peringkat menuduh bekerjasama dengan komunis di samping mengenakan tekanan-tekanan dan penindasan-penindasan yang akibatnya timbul masam muka dan retak hubungan sesama sendiri.

Risalah ini hanya menerangkan sebab-sebab tertentu mengapa Islam seseorang itu terbatal, tegasnya jadi kafir. Yang dengan sendirinya terlucut semua sekali hak-haknya sebagai seorang Islam. Dengan erti kalau nikah kahwin yang sudah diijab-kabul itu pun boleh terbatal dengan sebab-sebab tertentu walaupun sudah beranak-pinak. Atau kalau ibadat sembahyang puasa pun boleh terbatal walaupun lengkap dengan syarat rukunnya sekiranya berlaku sebab-sebab tertentu. Maka begitulah keadaan dengan ucapan dua kalimah syahadat kita boleh terbatal dan terbalik menjadi kafir sekiranya berlaku sebab-sebab tertentu.

Risalah ini hanya tolong menerangkan sebahagian dari sebab-sebab itu memandangkan dunia hari ini banyak kedapatan orang-orang Islam yang langsung tidak mempelajari agamanya, kecuali sekadar Fatihah Tahiyyat untuk sembahyang. Banyak yang tahu serba ilmu kecuali ilmu agamanya sendiri, kebetulan orang-orang yang berkeadaan begini berpeluang memegang tampuk pemerintahan negara dan membuat polisi untuk rakyat. Bahkan akhir-akhir ini berita orang Islam tak tahu mandi junub pun kerap-kali dipaparkan dalam surat khabar yang dengan sendiri hidup dalam keadaan kotor dan cemar terus-menerus bersama syaitan siang malam. Apa nak kata? Adakah salah hukum?

Di sini saya perturunkan sebahagian kandungan risalah tersebut sebagai contoh, iaitu:

(1) Barang siapa mengiktikadkan bahawa petunjuk yang lain dari petunjuk yang dibawa oleh Nabi S.A.W lebih sempurna daripada petunjuk Nabi atau hukum buatan manusia lebih bagus daripada hukum Nabi seperti orang-orang yang mengutamakan hukum taghut daripada hukum Nabi S.A.W maka ia adalah kafir. Termasuk dalam hal ini adalah perkara berikut:

(a) Iktikad bahawa sistem-sistem dan undang-undang buatan manusia lebih utama daripada hukum syariat Islam atau sistem Islam tidak layak dilaksanakan lagi dalam kurun kedua puluh atau Islam menyebabkan kemunduran umat Islam.

(b) Atau menganggap bahawa Islam itu hanya terhad kepada perkara-perkara berkait dengan hubungan peribadi seseorang dengan Tuhannya sahaja tanpa dimasukkan perkara-perkara yang berkait dengan lain-lain urusan.

(c) Berpendapat bahawa pelaksanaan hukum-hukum Allah dalam umpama potong tangan pencuri atau rejam penzina muhsan tidak sesuai lagi di zaman sekarang.

(d) Iktikad bahawa harus dijalankan hukum-hukum selain daripada hukum-hukum yang diturunkan oleh Allah dalam bidang-bidang mu’amalah, syariah atau hukum hudud (hukum keseksaan yang telah ditetapkan kadarnya dalam al-Qur’an dan al-Sunnah) atau sebagainya walaupun ia tidak menganggap bahawa hukum-hukum itu lebih baik dan utama daripada hukum-hukum syara’. Kerana iktikad yang demikian bererti ia telah mengharuskan perkara yang diharamkan oleh Allah mengikut ijma’. Dan setiap orang yang mengharuskan apa yang diharamkan oleh Allah daripada perkara-perkara yang diketahui haramnya dalam agama seperti zina, arak, riba dan menjalankan hukum-hukum selain daripada hukum Allah maka yang mengharuskannya adalah kafir mengikut ijma’.

(2) Barang siapa benci kepada sesuatu yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. kerana perkara itu disyara’kan, walaupun ia mengerjakannya, sesungguhnya kafir ia, kerana Firman Allah yang bermaksud:

- Advertisement -


“Yang demikian itu adalah disebabkan mereka bencikan apa yang diturunkan oleh Allah, maka Allah mensia-siakan segala amalan mereka.”

(Muhammad: 9)


(3) Barang siapa mempersenda-sendakan sesuatu daripada agama Rasulullah S.A.W atau mengenai pahala atau seksa maka sesungguhnya kafir ia, kerana Firman Allah yang bermaksud:


“Katakanlah: Apakah kamu telah mempersenda-sendakan Allah, ayat-ayat-Nya dan juga Rasul-Nya, dan tak usahlah lagi kamu pohon ampun, kerana sesungguhnya kamu telah kafir selepas kamu beriman.”

(al-Taubah: 65-66)


(4) Sihir. Setengah daripadanya ialah pembenci, ertinya memaling kasih sayang seorang suami terhadap isterinya kepada benci. Di antara sihir juga pengasih, iaitu menarik seseorang supaya mengasihi sesuatu yang tidak menggemarinya dengan menggunakan cara syaitan. Maka barang siapa melakukannya atau meredhainya kafir ia, kerana Firman Allah yang bermaksud:


“Dan kedua-duanya (Harut dan Marut) tidak mengajar sesiapa sehingga mereka terlebih dahulu berkata: Sesungguhnya kami ini fitnah (karut) maka janganlah engkau jadi kafir.”


(5) Memberi sokongan kepada orang-orang musyrikin dan membantu mereka dalam menentang orang-orang Islam, kerana Firman Allah yang bermaksud:


“Dan barang siapa menghulurkan tali persahabatan memberi kerjasama atau membantu mereka di antara kamu, maka adalah ia termasuk ke dalam golongan mereka, bahawa sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada golongan orang-orang zalim.”

(al-Ma’idah: 51)


(6) Barang siapa mengiktikadkan bahawa tidak menjadi salah (ada kelapangan) bagi sebahagian daripada manusia keluar daripada syariat Islam, maka orang yang mengiktikadkan itu adalah kafir, kerana Firman Allah yang bermaksud:


“Barang siapa yang menentukan selain daripada Islam sebagai agama (cara hidup) maka tidak diterima daripadanya dan di hari akhirat nanti termasuk ke dalam golongan orang-orang yang rugi.”

(al-Imran: 85)


(7) Menolak serta melepas diri dari agama Allah secara menyeluruh atau daripada sebahagian yang tidak sah Islamnya melainkan dengannya tanpa mempelajarinya dan tidak mengerjakannya.

(a) Firman Allah yang bermaksud:

“Dan siapakah lagi orang terlebih zalim daripada orang-orang yang bila diberi nasihat dengan ayat-ayat Tuhan kemudian ia berpaling lari melepaskan diri daripadanya. Bahawa kami mengambil tindak balas terhadap orang-orang yang membuat salah itu.”

(al-Sajadah: 22)


(b)


“Dan orang-orang kafir itu ialah yang berpaling lari dari peringatan (nasihat) yang diberi kepada mereka.”

(al-Haf: 5)


Dalam semua pembatal-pembatal ini tidak ada bezanya di antara yang bergurau senda dan yang melakukan dengan sungguh-sungguh dan juga yang takut melainkan yang kena paksa.

Sekarang setelah anda baca sendiri sebahagian dari kandungan risalah ini, adakah anda fikir pihak Jabatan Penyelidikan Ilmiah, Fatwa, Dakwah dan Kepimpinan Arab Saudi ini bertujuan memecah-belahkan masyarakat Islam atau menimbulkan huru-hara? Atau anda merasa syukur kepada Allah kerana adanya orang yang sanggup menyebar risalah ini secara sukarela walaupun terpaksa menghabiskan harta-benda dan masanya yang berharga kerana khidmat kepada agama Allah semata-mata?

Sebenarnya tidak ada siapa yang mahu jadi kafir dan tidak ada siapa yang gatal mulut mengeluarkan fatwa kafir-mengkafir, tapi siapa sahaja yang melibatkan diri dengan sebab-musabab yang menjadikan dia kafir, maka kafirlah dia walaupun tidak ada siapa yang mengeluarkan fatwa kafir ke atasnya. Sepertimana penyakit, memang tidak ada siapa yang mahu sakit dan tidak ada doktor yang gatal mulut menuduh pesakit-pesakitnya terkena sakit itu, tapi siapa saja yang dihinggap kuman-kuman tertentu, maka berpenyakitlah ia walaupun tidak ada doktor yang mengiktiraf dia sakit.

Wahai Tuhan, tunjuklah kaumku kerana mereka itu masih tak tahu.

DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF – HARAKAHDAILY 3/2/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -