Syarat ketat ‘ancam’ pesakit dialisis

- Advertisement -

PRODUKTIVITI negara sangat dijayakan oleh peranan para pekerja selaku tulang belakang yang memberikan khudrat tenaga, kemahiran dan kepakaran dalam menjana sesuatu pencapaian. Kerana itu, memiliki tahap kesihatan terbaik adalah penting bagi membolehkan seseorang pekerja terus mencurah khidmat dengan prestasi tertinggi.

- Advertisement -

Manakala bagi majikan pula mempunyai tanggungjawab dalam memberi perhatian dan keprihatinan ke arah memastikan pekerja sentiasa sihat untuk menjalankan tugas asasinya. Maka kemudahan berkaitan dan sewajarnya perlu diberikan kerana pekerja berkenaan telah menjadi sebahagian tuntutan ke arah mencapai matlamat organisasi.

Pentingnya hubungan dalam organisasi, telah diibaratkan Islam seperti bangunan. Bahkan lebih dekat dari itu adalah persaudaraan yakni seumpama tubuh badan; di mana jika ada anggota mendapat sakit, maka seluruh jasad turut merasai kesannya. Malah, menjadi fardhu kifayah menyantuni dan membantu mereka yang sedang sakit.

Apatah lagi yang sedang diuji dengan sakit kronik, keperluan untuk ditolong adakalanya begitu mendesak dan mencemaskan kerana merisikokan keadaan lebih teruk. Termasuk ke atas mereka yang mengidap penyakit buah pinggang dengan memerlukan dialisis tetap. Mereka tidak hanya terbeban oleh lemahnya tubuh badan, bahkan juga aspek kewangan.

Secara purata caj bayaran sekali dialisis adalah RM200, di mana pesakit biasanya memerlukan tiga kali rawatan seminggu tidak termasuk kos suntikan ubat tambah darah. Tetapi lebih berat dari tanggungan ini, apabila PERKESO meminda syarat terbaharu melibatkan pesakit dialisis. Kelayakannya terhad pada jumlah dan tempoh caruman tertentu.

Kami melihat ianya kejutan sangat menggemparkan terutama bagi pesakit dan keluarga mereka serta sesiapa sahaja yang dekat dengan golongan ini. Keperitan sedia ditanggung kini boleh dianggap satu ancaman baharu, setelah pula mereka turut membiayai sebahagian kecil kos lainnya. Ini oleh memberi kesan kepada semangat dan kehidupan mereka.

Sedangkan, hal kesihatan ini di dalam Islam termasuk perkara dharuriyyat yang sewajibnya menjadi antara keutamaan dan perhatian penting pihak pemegang kuasa yakni kerajaan. Bahkan sewajarnya, kerajaan hari ini memberikan ‘harapan’ sepertimana dikenalkan. Kemudahan pada aspek ini adalah kebajikan dan ikhtiar yang selaras tujuan penubuhan PERKESO.

Islam menuntut dipermudahkan dan jangan disusahkan dalam perkara kebaikan dengan amat wajar sekali golongan seperti inilah dibantu kerajaan. Apatah lagi turut terkesan dalam hal ini adalah orang disekeliling pesakit terutama keluarga mereka yang setidaknya menanggung kos pengangkutan, keperluan cuti dan seumpama.

Oleh itu kami menasihatkan pihak kerajaan agar mempertimbangkan keputusan tersebut dengan mengembalikan semula kemudahan buat pesakit dialisis di bawah PERKESO. Cukuplah kemungkiran janji yang menjadi titik hitam buat Kerajaan PH, jangan pula ditambah lagi seperti ini di mana memungkinkan PH digelar pemerintah ‘zalim’.

“Islam Memimpin Perpaduan”

YB DATO’ HAJAH SITI ZAILAH MOHD YUSOFF
Pengerusi
Lajnah Pekerja dan Kepenggunaan PAS Pusat
Ahli Parlimen Rantau Panjang – HARAKAHDAILY 2/2/2020

- Advertisement -