Sekat karya anak seni tindakan kuno

- Advertisement -

TINDAKAN menyekat karya seni yang berlaku di era pemerintahan Pakatan Harapan (PH) dilihat lebih buruk berbanding kerajaan terdahulu. Walaupun kerajaan lalu turut mendapat kecaman terbuka oleh warga seni, namun mereka masih dapat berkarya tanpa halangan politik.

- Advertisement -

Namun, malang terjadi buat pelawak tanah air, Pak Ya dan Ropie yang dilarang pihak Majlis Bandaraya Shah Alam untuk membuat persembahan dan rakaman program “Sepahtu Reunion Live”. Ia bukan sahaja memperlihatkan pihak tertentu ‘takut pada bayang-bayang sendiri’, bahkan rupanya sangat sensitif berjiwa kerdil.

Malah, isu ini telah menimbulkan ‘kemarahan’ dan rasa ‘meluat’ netizen yang percaya hal ini berpunca daripada persembahan kumpulan Rare pada malam Final Maharaja Lawak Mega 2019 lalu. Babak komedi menggunakan penapis air untuk menapis kadar neutral dan kadar kandungan pH air rupanya ditanggapi menikam pihak tertentu?

Nyata tindakan pihak berkaitan dilihat sangat tidak matang kerana melarang dua orang artis tersebut untuk berkarya di atas pentas seni mereka, selain telah menutup pintu rezeki mereka. Dalam suasana yang menekan kehidupan rakyat terutama ekonomi dan sara hidup, pihak berwajib seharusnya memberi solusi kepada permasalahan rakyat.

Bukannya menambahkan beban kepada seluruh masyarakat termasuk golongan seni yang mencari rezeki dalam bidang ini. Kerana golongan seni sebenarnya banyak memberikan sumbangan kepada negara melalui karya seni mereka dalam membangunkan masyarakat.

Mereka berkarya hingga memperoleh anugerah di luar negara yang menjulang nama Malaysia, maka tidak seharusnya bakat dan karya mereka dipadam hanya kerana mengeluarkan lawak yang menyedarkan masyarakat. Jika situasi ini berterusan dan mereka terus dihalang daripada mencari rezeki, maka hakikat Malaysia Baharu yang penuh dengan kebebasan bersuara dalam menyampaikan pandangan ini hanyalah dengan retorik dan janji kosong.

Sedangkan bakat seni adalah anugerah Allah S.W.T kepada seseorang sama ada dimiliki sejak kecil atau digilap mewarisi ilmu yang sering menjadi perhatian masyarakat umum. Anak seni yang bertanggungjawab dan komited dengan menjadikannya kerjaya utama atau sampingan wajar dihormati setiap karya dan idea kreativiti mereka, malah ada yang turut mengandungi unsur dakwah atau beri kesedaran kepada semua.

Dalam suasana masyarakat yang semakin matang, mereka mampu menilai segala tindak tanduk yang dilihat mencabar keharmanion dan jati diri negara ini. Kerajaan perlu mengambil langkah bijak dalam mengawal masyarakat minda terbuka, bukannya bertindak menghalang mereka daripada bekerja dan mencari rezeki.

Tindakan menghalang mana-mana pihak yang dilihat tidak mempunyai aliran pemikiran yang sama dengan pihak kerajaan merupakan taktik lapuk yang sudah ketinggalan zaman. Taktik tersebut hanya dilakukan oleh Kerajaan Komunis China dalam menghentikan apa sahaja perkara yang berlainan dengan pihak mereka. Adakah kerajaan hari ini mahu digelar Kerajaan Komunis kerana tindakan tersebut ?

Justeru, kami berharap pihak berkenaan hendaklah berlaku adil dan tidak membuat sekatan termasuklah menyalahgunakan peruntukan undang-undang. Sepatutnya Malaysia Baharu yang diidamkan sewajar menghargai kepelbagaian pandangan dalam seni.

HAFEZ SABRI
Pengarah
Jabatan Seni, Budaya dan Sukan (DACS)
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 2/2/2020

- Advertisement -