Peralihan kuasa: Jangan sampai terperangkap

- Advertisement -

ANWAR sudah tidak sabar mahu jadi PM.

Cakap-cakap politik yang kononnya Tun tidak akan serahkan jawatan PM ke beliau atas sebab-sebab yang Tun sahaja ketahui mula merimas dan melemaskan Anwar.

Tambah bila sampai ke pengetahuan Anwar bahawa Tun sedang berunding dengan pihak-pihak luar PH demi memperkukuhkan kuasa politik Melayu Islam, Anwar panik.

Kalau tidak jadi PM selewat Mei 2020 ini sampai bila-bila beliau tidak akan berpeluang lagi.

DAP sedar sejak duduk dalam kerajaan berketuakan Tun banyak agenda mereka terbantut dan dihalang. Pilihan Raya Kerajaan Tempatan satu cara memperteguhkan lagi kuasa dan suara politik DAP khususnya di kawasan perbandaran ditolak Tun.

Pengiktirafan sijil UEC juga masih ditangguhkan Tun sedang mereka dipaksa pula menerima pembelajaran Jawi.

Ternyata Tun penghalang pelaksanaan Malaysian Malaysia yang diperjuangkan DAP.

Kerana itu DAP tiada cinta lagi pada Tun. Kini masanya untuk tamatkan riwayat politik Tun kerana bagi DAP Anwar lah nanti harapan mereka.

Anwar bukan Tun. Anwar lebih Liberal dan sentiasa lunak pada tuntutan DAP demi survival beliau. Anwar seorang Machiavillian.

Lantas Tun perlu disepak keluar dan Anwar dinobat segera sebagai PM.

DAP sedang bersungguh melancarkan gerakan ini dengan bantuan perkakas mereka PAN dan didukung puak PKR yang pro Anwar.

Orang Melayu khususnya PAS dan Umno jangan tidak nampak perkara dan bahaya ini.

Jika Tun dipaksa turun kita berhadapan dengan mudarat yang sangat besar. Si kaduk yang naik junjung akan punya PM yang sanggup menari ikut rentak mereka.

Kerana itu survey Merdeka Centre yang terbaru menunjukkan majoriti rakyat bukan Melayu mahukan Anwar naik sebagai PM sedangkan cuma 13 peratus Melayu yang berselera pada Anwar.

Kuasa politik Melayu jangan terperangkap dengan gerakan ini. Jangan kerana marahkan pijat habis kelambu hangus terbakar.

Bincang dan muhasabah dengan sebaik-baiknya perkara ini kerana ia melibatkan nasib dan masa depan agama dan bangsa kita.

Siapa yang terlalu ghairah mahu Anwar sebagai PM dan mengapa?

Semoga Allah S.W.T memandu pimpinan kita untuk membuat keputusan terbaik jangan sampai tergadai maruah dan harga diri kita buat selama-lamanya.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 2/2/2020

- Advertisement -
- Advertisement -