Nie Ching gagal kemuka laporan DLP, PPSMI

- Advertisement -

TELAH didedahkan sebelum ini mengenai kegagalan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengeluarkan laporan kajian terperinci pelaksanaan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) walaupun Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menyebut di Parlimen, bagi menjawab soalan Ahli Parlimen PKR Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, pada 16 Julai 2019 bahawa kajian terperinci ini sedang dibuat oleh KPM waktu itu.

- Advertisement -

Sebenarnya, bukan sahaja laporan kajian terperinci pelaksanaan semula PPSMI ini yang gagal dikeluarkan oleh KPM, malah lebih teruk lagi Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching, juga gagal menunaikan janji untuk membentangkan kajian impak Dual Language Programme (DLP) yang lebih komprehensif  pada Januari 2019.

Janji ini dibuat oleh Teo Nie Ching di Parlimen, bagi menjawab soalan Ahli Parlimen BN Parit Sulong, Dato’ Dr. Noraini Ahmad, pada 26 November 2018, di mana kata-kata Teo Nie Ching yang tercatat di dalam Penyata Rasmi Parlimen adalah “KPM sedang menjalankan kajian impak DLP yang lebih komprehensif. Dapatan kajian dijangka akan diperoleh dan dibentangkan pada Januari 2019.”

Dalam kemelut pelaksanaan semula PPSMI beberapa hari ini, Teo Nie Ching dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, menyebut mengenai pemerkasaan DLP sebagai alternatif kepada pelaksanaan semula PPSMI. Begitupun, bagaimana kita boleh tahu keberkesanan DLP bila laporan kajian impaknya tiada?

Eloklah jika Teo Nie Ching digugurkan dari jawatan sebagai Timbalan Menteri Pendidikan kerana terbukti beliau gagal menunaikan janji dan mengabaikan terus tugas dalam isu kajian impak DLP dan PPSMI ini.

DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF – HARAKAHDAILY 2/2/2020

- Advertisement -