Tamadun Islam naungi dunia, asas peradaban lain

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Islam lebih dahulu berjaya mendirikan tamadun dan mewujudkan masyarakat Madani ketika hal tersebut masih menjadi impian ahli-ahli falsafah dan para pemikir Barat.

Ahli Parlimen Marang, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, Piagam Madinah yang termeterai di bawah kepimpinan Rasulullah S.A.W telah menyatukan manusia pelbagai bangsa dan agama.

Hebatnya kesatuan tersebut hurai beliau, kerana naluri dan fitrah semulajadi manusia yang mesti berhubungan antara satu sama lain dan bermasyarakat dengan saling memerlukan dan bergantungan.

Terangnya, keperluan duniawi menyebabkan manusia bermasyarakat dengan saling menghimpunkan dan membahagi-bahagikan kerja dan kebolehan menjadikan ianya berlaku di bandar dan seperti satu keluarga.

- Advertisement -

Beliau berucap pada Konvensyen Wanita Muda Se-Malaysia membawa tajuk “Bicara Ini Demi Perpaduan” anjuran Kerajaan Negeri Terengganu dan ADUN Wanita Terengganu di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, pagi tadi.

Ketika sama menurutnya, penindasan dan penyelewengan yang berlaku dalam ajaran lain menyebabkan pengikutnya bosan, lalu cenderung bernaung di bawah pemerintahan Islam hingga ada menganut agama ini.

Kerana itu jelasnya, di zaman keemasan Tamadun Islam, agama ini telah sampai hingga ke Nusantara Timur, Barat China, Pantai Barat Afrika, Utara Sepanyol dan Selatan Afrika Tengah, termasuk Asia Tengah hingga ke Moscow.

Menurut Presiden PAS itu, kejayaan tersebut disebabkan empat perkara prinsip iaitu beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, selain adanya konsep takwa dan keadilan untuk semua.

Antara dikupas beliau adalah kepatuhan kepada hukum atau undang-undang ditetapkan tanpa mengira identiti seseorang sehingga hal itu diperakui Maharaja China sebagai kehebatan yang tidak boleh ditentang.

Bahkan kata Tuan Guru, pemerintahan China mengadakan pula hubungan diplomatik dengan pemerintahan Islam ketika itu di mana masjid terawal di China iaitu di Beijing dibina dalam tahun 8 Hijrah yakni ketika Rasulullah masih hidup.

Malah orang bukan-Islam merasa rela berada di bawah pemerintahan Islam, kecuali mereka yang berpecah dan menuruti hasutan Yahudi atas kedengkiannya kepada agama ini.

Namun katanya, apabila umat Islam meninggalkan ajaran agama Islam yang sebenar, mereka menjadi lemah, lalu menjadi mangsa penjajah-penjajah dan ketinggalan dengan kejahilan.

Pun begitu menurutnya, umat Islam tetap bertahan dan bangkit kerana kuatnya kesedaran dari ajaran agama Islam yang menunjukkan jati diri biarpun berada dalam keadaan lemah secara fizikal.

Barat pula ceritanya, membina tamadun dengan mengambil segala ilmu yang berasal darpada Islam, tetapi mereka berada dalam keadaan sangat celaru dan kacau bilau kerana memisahkan agama daripada pemerintahan.

Serangan pemikiran sama juga menurut beliau, cuba dihadapkan Barat menerusi peranan para Orientalis mereka terhadap umat Islam hingga urusan agama dihadkan kepada perkara tertentu berasingan dari pemerintahan.

Sehubungan itu, beliau menyeru untuk kembali menyedari pentingnya tanggungjawab dan peranan serta keterlibatan dalam politik pemerintahan dan berpecah hingga hilang kekuatan. – HARAKAHDAILY 1/2/2020

- Advertisement -