PPSMI: Tun nak tengok ‘respons’ – Presiden PAS

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyifatkan isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa  Inggeris (PPSMI) yang dikaitkan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad masih perlu disiasat.

Menurutnya, isu tersebut sudah menjadi perkara yang berulang-ulang di mana kenyataan dilaporkan media tersebut tidak diketahui kerasmiannya, apatah lagi dalam keadaan Tun sedang didesak berundur maka pelbagai berita disiarkan.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan syarahan khas di Konvensyen Wanita Muda Se-Malaysia membawa tajuk “Bicara Ini Demi Perpaduan” di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, pagi tadi.

“Kadang-kadang Tun pun ada dia punya langkah dia sendiri. Dia buat kenyataan itu nak tengok respons orang macam mana. Saya baca Tun ini bukan baca yang tersurat saja, yang tersirat pun ada juga,” jawabnya kepada media.

Kata Ahli Parlimen Marang itu, perkara berkaitan sudahpun mempunyai kajian yang sepatutnya dirujuk termasuk Penyata Rahman Talib, Tun Rahman Yakub, Tun Razak dan lain-lain lagi di mana sepatutnya belajar menerusi hal itu.

Ditanya isu gesaan permohonan maaf dari G25, Tuan Guru menegaskan bahawa beliau bercakap mewakili umat Islam dan seharusnya kumpulan tersebut yang seharusnya memohon maaf kepada umat Islam. – HARAKAHDAILY 1/2/2020

- Advertisement -
- Advertisement -