LGE akan bertembung dengan Tun M?

SEMALAM Teo Nie Ching menyebut Tun Dr Mahathir tidak membincangkan pelaksanaan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dalam mesyuarat Kementerian Pendidikan pada Khamis lalu.

Advertisement

Hari ini Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, pula mempertikaikan sama ada Tun Dr Mahathir menyebut mengenai PPSMI.

Kata Lim Guan Eng, beliau tidak fikir Tun Dr Mahathir bercakap mengenai PPSMI, sebaliknya beliau percaya Tun Dr Mahathir hanya bercakap mengenai Program Dwi Bahasa (DLP).

Kata Lim Guan Eng, DLP adalah secara sukarela dan ibu bapa mempunyai pilihan, dan beliau setuju jika DLP diperkukuhkan.

Bukankah ini sekali gus memberi gambaran bahawa Lim Guan Eng juga tidak setuju dengan pelaksanaan semula PPSMI?

Bayangkan apa bakal berlaku jika Tun Dr Mahathir benar-benar mahu melaksanakan semula PPSMI dalam keadaan Lim Guan Eng menentangnya.

Hati saya berat menyatakan Tun Dr Mahathir benar-benar mahu melaksanakan semula PPSMI kerana tiga sebab berikut:

(1) Dalam mesyuarat Kementerian Pendidikan tersebut, Tun Dr Mahathir jelas menyebut “kita akan menggunakan Bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik”.

(2) Dalam sidang Dewan Rakyat pada 16 Julai 2019, Tun Dr Mahathir telah mengumumkan “Kementerian Pendidikan sedang mengkaji secara terperinci pelaksanaan semula PPSMI”.

(3) Menjelang PRU 14, pada 28 Februari dan 2 Mac 2018, Tun Dr Mahathir telah mengumumkan bahawa PPSMI akan dilaksanakan semula jika PH menang dalam PRU 14.

Akan bertembungkah Tun Dr Mahathir dan Lim Guan Eng dalam isu PPSMI ini?

DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF – HARAKAHDAILY 1/2/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.