Silakan keluar, bukan berlakon ugut

- Advertisement -

BADAN Perhubungan PAS Negeri Sembilan (BPPN9) menyokong penuh desakan PAS Pusat agar DAP tidak hanya tahu mengugut untuk keluar Pakatan Harapan (PH) jika Sijil UEC tidak diiktiraf.

Sebaiknya, DAP perlu keluar dari Pakatan Harapan kerana parti itu nampak sudah tidak sehaluan dengan PH, malah banyak membantah pendirian Perdana Menteri khasnya.

Kami juga berpendirian, Kerajaan Persekutuan tidak perlu mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang jelas bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, dan Dasar Pendidikan Negara.

Bagi BPPN9, sikap DAP itu antara contoh bagaimana parti yang dilabel rakyat sebagai parti Cauvinis itu mula menunjukkan sikap pengkhianat besar kepada negara.

Selaras dengan ugutan untuk keluar daripada kerajaan PH seperti yang dinyatakan sendiri oleh pemimpin DAP dalam laporan Oriental Daily Malaysia dan kemudiannya dipetik oleh portal Malaysiakini, walaupun pemimpin tersebut kemudian menafikan dan menyalahkan kononnya portal itu mengambil kenyataannya dalam konteks yang salah.

Jika kedua-dua portal itu silap dalam melaporkan kenyataan itu, maka kami juga mencabar agar pemimpin DAP itu mengambil tindakan undang-undang ke atas dua akhbar terbabit.

Pendirian DAP selama ini jelas untuk mendesak kerajaan mengiktiraf UEC, dan ia adalah pengkhianatan besar kepada Dasar Pendidikan Kebangsaan, bercanggah dengan Akta Pendidikan 1996 dan melebarkan jurang perkauman di Malaysia.

Kami sekali lagi mencabar DAP tidak hanya mengugut, dan nanti kemudiannya U-Turn dengan kenyataannya, maka jika kerajaan tidak mengiktiraf UEC sila keluar dari PH Dan buktikan ia bukan omongan kosong semata.

Kenyataan bersama:

HAJI RAFIEI MUSTAPHA
Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan

BADZLI BAKAR
Ketua Penerangan PAS Negeri Sembilan – HARAKAHDAILY 31/1/2020

- Advertisement -
- Advertisement -