PH ‘u-turn’ Akta Antiberita Tidak Benar

- Advertisement -

KOTA BHARU: Keghairahan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) memansuh Akta Antiberita Tidak Benar akhirnya seperti menjadi senjata makan diri.

Timbalan Presiden PAS Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, selepas berdepan penyebaran berita berkaitan isu koronavirus di sosial media kerajaan baru sedar keperluan akta tersebut.

Katanya keadaan itu nampak celaru setelah kerajaan berdepan dengan penyebaran isu coronavirus di media sosial.

“Sebelum ini Kerajaan PH berulang kali menyebut tiada keperluan akta tersebut kerana sudah memadai undang-undang sedia ada bagi menangani isu tersebut.

“Namun semalam ada menteri menyebut mungkin menilai semula Akta Antiberita Tidak benar yang dimansuhkan tahun lepas,” katanya pada kuliah di Medan Ilmu hari ini.

Semalam Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilapor berkata, kerajaan mungkin akan menilai semula Akta Antiberita Tidak Benar untuk dikuatkuasakan semula jika ada keperluan.

Bagaimanapun kenyataan itu bertentangan pula dengan pendirian pemimpin DAP.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo antara lain menyebut peruntukan undang-undang sedia ada boleh digunakan ke atas mana-mana pihak yang bertindak menyebar maklumat dan berita tidak benar. – HARAKAHDAILY 31/1/2020

- Advertisement -
- Advertisement -