PAS urus isu pekerja, pengguna ikut acuan Islam

- Advertisement -

KOTA BHARU: PAS selaku Harakah Islamiyah telah menggerakkan kepedulian sosial yang tinggi terhadap masyarakat dalam menyampaikan mesej bahawa Islam adalah cara hidup syumul, kata Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah.

- Advertisement -

Menurutnya, walaupun didaftarkan sebagai parti politik, tetapi PAS tidak menjadikan agama berada dalam konteks yang sempit, malah sejak penubuhannya telah memperjuangkan Islam tanpa dipisahkan dari hal ehwal kehidupan masyarakat.

Kerana itu ujarnya, di dalam PAS diwujudkan pelbagai lajnah untuk melaksanakan tuntutan zaman, namun usaha tersebut perlu terus diperluaskan dalam membantu memberi imej positif parti terhadap seluruh masyarakat hingga diyakini sekalian rakyat.

Jelasnya, lajnah-lajnah yang digerakkan dengan pelbagai peranan akan memperlihatkan kemampuan PAS untuk memimpin dan memerintah sebagai kerajaan dan menjadi inklusif untuk semua, bukan semata-mata ahli sendiri.

Beliau memberi suntikan semangat dan memandu fokus para peserta ketika merasmikan Permukiman Lajnah Pekerja dan Kepenggunaan PAS Pusat yang diadakan di ‘Bandaraya Membangun Bersama Islam’, di sini kelmarin.

Katanya, isu pekerja dan kepenggunaan adalah sangat penting serta dekat dengan masyarakat sebagaimana di Barat ianya sangat besar hingga menjadi gerakan kuat seperti di United Kingdom yang membawa kepada penubuhan Parti Buruh.

Pun begitu ujarnya, usaha PAS sama sekali tidak menyerupai perjuangan Parti Buruh atau seperti kesatuan sekerja di Barat yang lebih membawa ideologi Liberalisme atau Sosialisme termasuk juga mengangkat agenda Negara Bangsa.

PAS tegas beliau yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan, tidak akan terperangkap dengan cara perjuangan sedemikian, sebaliknya mahu menggembleng kekuatan membentuk gelombang rakyat mengikut asas Islam.

Terdahulu, para peserta permukiman diketuai sendiri Pengerusi Lajnah Pekerja dan Kepenggunaan PAS Pusat, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff ini menerima aluan daripada Ahli Parlimen Kota Bharu, Dato’ Takiyuddin Hassan.

Para peserta telah mengikuti pembentangan berkaitan pekerja dan penggunaan disampaikan Pegawai Penguatkuasa PERKESO Kelantan, Mohd Fauzi Mohammed dan Pegawai Penyelidik Persatuan Pengguna Pulau Pinang, Azizan Osman.

Turut membentang adalah EXCO Kerajaan Negeri Kelantan, Dato’ Mumtaz Md Nawi, manakala sesi merangka pelan strategik lajnah telah dikendalikan oleh wakil Lajnah Pemerkasaan Parti PAS Pusat, Dr Mohd Hanif Yaacob.

Turut serta adalah Ahli Parlimen Sik dan Kuala Krai, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman dan, Ustaz Abdul Latiff Abdul Rahman serta Ahli Dewan Negara, Senator Ustazah Asmak Husin dan ADUN Beserah, Andansura Rabu serta ADUN Guchil, Hilmi Abdullah dan mantan ADUN Kijang, Wan Ubaidillah Wan Omar. – HARAKAHDAILY 31/1/2020

- Advertisement -