Polis mesti tingkat kecekapan siasat ahli politik

- Advertisement -

PAS mengucapkan tahniah kepada Polis Diraja Malaysia kerana berjaya mencapai penurunan Jenayah indeks di seluruh negara turun 7.5 peratus sepanjang tahun 2019.

Namun, PAS bimbang kejayaan membanggakan ini tidak dapat mengatasi persepsi buruk yang timbul terhadap pasukan polis ekoran kegagalan menunjukkan kecekapan yang sama di dalam menyelesaikan siasatan terhadap kes-kes yang melibatkan para ahli politik, terutamanya ahli politik Pakatan Harapan.

Contohnya, antara kes-kes siasatan yang masih tertunggak sehingga hari ini:

(i) Siasatan ke atas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, P Ramasamy yang didakwa mempunyai hubungan dengan kumpulan pemberontak Sri Lanka, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE). Laporan polis telah dibuat pada Julai 2018, dan siasatan masih tidak dapat diselesaikan sehingga hari ini.

(ii) Siasatan terhadap ujian dadah ke atas serbuan pesta dadah yang melibatkan seorang Adun di Puchong pada 12 Januari lalu. Difahamkan, polis masih menunggu ujian patologi berhubung sampel air kencing yang diperoleh dari tangkapan kes dadah tersebut. Ujian air kencing tidak sepatutnya mengambil masa yang lama. Perkara yang sama turut berlaku ketika anak Menteri Pertahanan ditahan kerana kes dadah. Ini menyebabkan rakyat mula mempersoalkan apakah situasi yang sama akan berlaku jika melibatkan orang awam?

(iii) Siasatan berhubung dakwaan Pesuruhjaya SPRM berhubung dakwaan plot untuk menyasarkan dirinya susulan pendedahan audio klip kes 1MDB.

Ekoran kegagalan membawa kes ke peringkat pendakwaan di dalam isu video Sandakan dan juga isu akaun bersumpah gangguan seksual, imej polis telah tercalar teruk.

Kini, apabila ada isu yang melibatkan bukti media seperti gambar, audio mahupun video seperti kes samun, kesalahan trafik dan pergaduhan, pihak polis sendiri menghadapi tekanan dipandang serong oleh rakyat dilihat ketika mengendalikan bukti-bukti kes tersebut. Apakah apabila melibatkan orang awam, polis boleh mengecam suspek meskipun gambar kabur?

Dan jika ada orang awam yang dicabul dan membuat akaun bersumpah, apakah suspek akan dilepaskan begitu sahaja hanya kerana kes itu sudah setahun berlaku jika suspek itu adalah orang awam? Begitulah persoalan yang sedang bermain di minda rakyat.

Polis diminta meningkatkan kecekapan di dalam siasatan melibatkan ahli politik. Jangan pamerkan kelemahan dengan pelbagai kenyataan yang menjatuhkan kredibiliti pasukan polis semata-mata demi mempertahankan imej atau maruah ahli politik yang melakukan kesalahan. Mempertahankan negara dan maruah pasukan polis daripada terus dicemari permainan ahli politik kotor menjadi tanggungjawab semua anggota polis.

Selamat berkhidmat untuk negara dan rakyat.

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Timbalan Presiden PAS – HARAKAHDAILY 30/1/2020

- Advertisement -
- Advertisement -