Pendirian disiplin organisasi, bukan perangi penuntut ilmu

- Advertisement -

SAYA mengikuti dengan teliti perkembangan yang berlaku di Mesir. Mesir sangat sentimental untuk saya. Ketika bergelar mahasiswa dahulu kami gemar melibatkan diri dengan isu-isu ilmiah. Malah Al-Azhar sentiasa memperbaharui silibus pengajian dengan mengekalkan tujahan pengajian turath. Kuliyah Shariah pernah menerima subjek baru seperti Qadhaya Mu’asirah ketika banyak isu-isu baharu muncul dalam perkembangan dunia moden. Itu sekadar suatu contoh. Sebenarnya banyak juga perkara boleh dikongsi tentang Al-Azhar. Dipayungi Al-Azhar walau seketika cuma suatu yang sangat disyukuri.

Perkembangan semasa, agak gawat seketika setelah Ketua Dewan Ulamak PAS mengeluarkan kenyataan berkenaan Ruwaq Jawi. Sebenarnya perkara ini dalam organisasi adalah biasa. Ruwaq Jawi tidak diiktiraf oleh PAS menurut kenyataan tersebut. Ertinya ia tiada sebarang ikatan secara langsung dengan PAS. Memadailah difahami begitu. Saya rasa pendukung Ruwaq Jawi pun tidak mahu dikaitkan dengan politik kepartian. Hairannya kenapa sebahagian gawat dan kenapa menganggap PAS memerangi penuntut ilmu?

PAS bukan parti yang maksum. Pemimpinnya juga tidak maksum. Tetapi acuan pentadbiran dan perjuangannya dibina secara kolektif. Sebab itu PAS memartabatkan institusi ulamak dengan Majlis Syura Ulamak. Ia sebagai pemandu arah dalam pelbagai dasar utama parti. Kenyataan YB Ketua DUPP bukan suara peribadi beliau seorang tetapi mewakili dewan. Ia turut mewakili PAS kerana hubungan secara langsung bumi Al-Azhar dan peranan DUPP.

Ketika disebut PAS bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah, ia sangat mengguris. Ia juga satu tuduhan nakal. Kalau isu salaf dan khalaf itu dijadikan medan perdebatan, sampai bila pun ia akan berlarutan tanpa noktah penamat. Lihat sahaja karya hebat nukilan Prof Dr. Yusuf Al-Qaradhawi dan juga karya Asy-Syahid Syeikh Al-Buthi.

Sebagai sebuah organisasi besar, kepelbagaian itu wujud dan bukan suatu perkara mudah untuk menanggani kepelbagaian aliran. Tokoh utama PAS seperti Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang awal 80-an menggunakan pengajian kitab klasik seperti Al-Jawahir As-Saniyyah karangan al-‘Allamah al-‘Arif al-Rabbani al-Syaikh Daud bin ‘Abdullah al-Fathani dan kitab Matlaul Badrain karangan al-‘Allamah Syaikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathani. Malah pernah juga mengajar kitab Maalim Fi Thoriq karangan Syed Qutb.

Justeru, yang terlibat dalam perjuangan seperti PAS, asolah perjuangannya diadun dengan pengalaman pahit manis dan asam garam. Ia diperturunkan secara organisasi antara kepimpinan dahulu dan sekarang. Bukan serkap jarang mengikut selera individu. Panduannya kekal dengan Al-Quran dan Sunnah. Semangatnya dibina secara kolektif. Sebab itu dalam penentuan dasar utama ia dimainkan peranan oleh Majlis Syura Ulamak. Dalam bahasa Usul Fiqh, semangat Ijtihad Jamaiey diperkenalkan.

Saya kini akui agak kurang terlibat dalam bidang kajian akademik kerana masa lebih banyak bergelumang dengan masyarakat. Kalaupun berada di pentas kuliah, pengajian kita disesuaikan dengan penerimaan laras bahasa dan laras fikir masyarakat kampung. Sukar untuk berbicara khilaf itu dan ini, qaul itu dan ini.

Rakan-rakan saya di Mesir dan adik-adik di sana ketika saya melawat setahun dua ini juga dilihat memiliki pengajian tersendiri. Ada yang mengikuti kelas bersama Syeikh pensyarah Al-Azhar juga. Ada juga syeikh yang dijemput mengajar di rumah BKAN. Ia hidup dan makin subur. Dibandingkan dengan dahulu yang penuh dengan kekangan kerajaan Mesir.

Dahulu, walaupun hidup dengan kekangan di bawah rejim Husni Mubarak waktu itu, kesuburan budaya ilmu kekal wujud. Diskusi ilmiah sentiasa subur di bawah penganjuran PMRAM atau BKAN. Perkembangan ekonomi Islam yang mula rancak awal 90-an menjadikan lokasi Dewan Solah Kamil di Madinah Nasr antara tempat himpunan mahasiswa Malaysia berdiskusi. Malah pernah PMRAM anjurkan tuisyen untuk beberapa subjek kritikal dengan membawa tutor Universiti Al-Azhar sendiri ke asrama anak negeri. Tokoh cendekiawan Mesir dalam bidang ekonomi seperti Dr Hussein Syehatah, Syeikh Abdul Hamid Ghazali antara tokoh undangan yang sering dijemput untuk bertukar fikiran. Itu cerita lama. Cukup hairan apabila ada yang hentam PMRAM menjadi agen PAS.

Pilihan untuk bersama PAS adalah pilihan peribadi dan atas keyakinan perjuangan yang diangkat PAS. Bukan kerana taksub kepada Tuan Guru Presiden atau Almarhum Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz mahupun Almarhum Tuan Guru Haji Fadzil Noor. Ramai juga kepimpinannya memilih wadah yang lain.

PAS respons ketika mendapat maklumat perjuangannya lari dari landasan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Kritikan keras terhadap tokoh Ikhwan Al-Muslimin yang berjuang sehingga ke titisan darah terakhir juga amat mengguris. Itu juga bukan bererti tokoh-tokoh tersebut di taqdis kan. Hanya memerlukan sedikit keadilan.

Contohi tokoh ilmuan seperti yang ditunjukkan oleh Syeikh Solah al-Khalidi dalam mengupas hasil karya Syed Qutb. Mendalami juga zaman yang dilalui oleh kedua tokoh ini.

Bagi yang masih menuntut ilmu, gigihlah menuntut ilmu di mana jua. Isi juga dalam diri dengan pengalaman berorganisasi kerana gelanggang di Malaysia nanti bukan sahaja dalam dunia akademik, di masjid surau, di sekolah dan di jabatan, malah termasuk dalam urusan pentadbiran kerajaan.

Saya percaya kenyataan Ketua Dewan Ulamak PAS adalah kenyataan mewakili parti. Bukan bermusuh dengan penuntut ilmu tetapi penegasan organisasi. Kalau kita memahami disiplin berorganisasi, ia satu perkara biasa. Saya menerima dan patuh dan mengambil sudut pandang positif.

Semoga PAS terus dipelihara dan cabaran perjuangannya masa kini mampu difahami oleh abna’ al-harakah dengan baik.

Salam Zohor…

Kredit gambar: KPKM. Ketika kunjungan ke Mesir tempoh hari.

HISHAMUDDIN ABDUL KARIM – HARAKAHDAILY 30/1/2020

- Advertisement -
- Advertisement -