Pemimpin dambaan ummat

- Advertisement -

ANTARA 7 golongan yang dijanjikan naungan Arasy Allah di akhirat nanti adalah pemimpin yang adil. Bahkan ianya disebutkan sebagai golongan yang pertama.

Mengapa? Barangkali disebabkan untuk mendapatkan sosok tokoh pemimpin yang adil itu terlalu sukar.

Ketika perbincangan para Sahabat R.A untuk mencari pengganti bagi Saidina Umar Al Khattab R.A, antara nama yang disebut-sebut adalah anaknya iaitu Abdullah bin Umar. Tidak dinafikan akan kelayakannya, tetapi jawab Umar, tidak sekali-kali untuk ahli keluargaku menjadi khalifah, cukuplah hanya aku! Ini kerana kekhuatiran beliau akan beratnya amanah dan dosa yang akan dipikul di akhirat kelak.

Mengapa begitu sukar menjadi atau mendapatkan pemimpin yang adil?

(1) Kerana politik realiti tidak sama dengan politik angan-angan.

(2) Kerana ia tempat tertumpunya segala kemewahan dan kesenangan yang tidak pernah dibayangkan.

(3) Kesenangan yang diperolehi boleh mengubah seseorang menjadi zalim kerana sifat tamak dan berkepentingan.

(4) Dan kerana sayangkan agama dan ummat sudah bertukar kepada sayangkan dunia dan diri sendiri.

Ketahuilah, kekuasaan itu hanya sedikit daripada pemberian Allah Taala;

- Advertisement -


“Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

(‘Āli `Imrān: 26)


MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN
29 Januari 2020 – HARAKAHDAILY 29/1/2020

- Advertisement -