Islam dan akal

- Advertisement -

AKAL tempat taklifan

Akal merupakan anugerah terpenting bagi manusia yang membezakan manusia dengan haiwan khususnya. Akal merupakan tempat daya berfikir manusia dan merupakan ‘mesin’ menyerap dan menganalisis data.

Sebab itu tanggungjawab agama atau taklifan digantung pada akal yang waras dan mencapai umur yang baligh.

Kaedah menyebutkan:

- Advertisement -


العقل منوط بالتكاليف

“Akal tempat bergantung taklifan-taklifan.”


Maksud di atas ialah tanpa akal yang waras seseorang terlepas dari tanggungjawab agama dan dosa pahala ke atasnya.

Ini dapat difahami lagi menerusi hadith dari Sayidatina Aisyah meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:


رفع القلم عن ثلاث: عن النائم حتى يستيقظ، وعن الصغير حتى يكبر، وعن المجنون حتى يعقل أو يفيق

“Diangkat qalam (taklifan iaitu tidak dikira berdosa) dari 3 golongan iaitu orang yang tidur sehingga terjaga, dari kanak-kanak sehingga ia besar (capai usia baligh) dan gila sehingga ia berakal atau sedar kembali.”

(Riwayat at-Tirmizi dan an-Nasa’i)


Sehubungan itu, hebatnya manusia itu dikurniakan akal sehingga mampu mengatasi makhluk lain yang lebih besar dari saiznya kerana kebolehan dan kemampuan akal memperolehi ilmu dan mengembangkan pengetahuan sehingga mencapai kemajuan teknologi semasa.

Akal termasuk Dharuriyatul Khams

Dalam disiplin ilmu Maqasid al-Syariah yang membicarakan berkenaan tujuan sesuatu pensyariatan, dinyatakan bahawa dharuriyatul khams iaitu keperluan asas manusia antaranya ialah memelihara akal.

Ini kerana tanpa akal, manusia tiadalah keistimewaan mereka. Begitu juga, tanpa akal yang waras menjadikan manusia boleh jadi lebih teruk dari nilai kebinatangan.

Sehubungan memelihara akal ini mestilah dari dua aspek iaitu:

(1) Membina
(2) Mempertahankannya

Dari sudut membina akal ialah ditetapkan oleh syarak bahawa kewajipan menuntut ilmu. Akal yang disirami dengan ilmu menjadi seseorang itu lebih rasional dan mengenali sesuatu. Manusia itu selalunya bermusuh dengan apa yang mereka jahil.

Lantaran itu, Allah mengangkat darjat orang yang berilmu serta menyatakan secara jelas perbezaan antara mereka yang berilmu dengan mereka yang tidak berilmu.

Firman Allah S.W.T:


قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَالَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ ۗ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُولُو الْأَلْبَابِ

“Katakanlah lagi (kepadanya): “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.”


(az-Zumar: 9)


Manakala memelihara akal dari sudut mempertahankannya ialah dengan pengharaman arak serta apa sahaja yang mempunyai illah kepada pengharaman arak iaitu memabukkan.

Ini kerana arak dan apa jua jenis yang memabukkan akan menyebabkan akal tidak sempurna dan menghilangkan pertimbangan rasional dan kewarasan. Ia mengundang musibah dan bahana malapetaka. Tidak sekadar dirinya malah melibatkan masyarakat di luar.

Arak tidak sekadar diharamkan malah peminumannya jika sabit kesalahan maka termasuk dalam kategori jenayah hudud yang ditetapkan kadar hukumannya sebanyak 40 kali sebatan.

Hadith dari Ibn Umar meriwayatkan sesungguhnya Rasulullah S.A.W bersabda:


كُلُّ مُسْكِرٍ خَمْرٌ، وَكُلُّ مُسْكِرٍ حَرَامٌ.

“Setiap yang memabukkan tersebut dikira arak dan setiap yang memabukkan itu dihukum haram.”

(Riwayat Muslim)


Akal mesti dipandu agama

Sehebat-hebat akal namun ia tidak boleh dibiarkan tanpa panduan agama. Ini kerana akal yang tidak menuruti panduan agama maka secara langsung ia menuruti hawa nafsu.

Akal tidak boleh dibiarkan operasi ‘sendiri’ melainkan dengan bimbingan agama dam petunjuk yang dibawakan oleh Rasulullah S.A.W. Inilah jalan selamat yang membawa manusia menggunakan akalnya mengenai hakikat kehidupan dan penciptaan dirinya.

Sehubungan itu, proses keilmuan ialah membawa manusia mengenali Allah S.W.T. Wahyu yang pertama berkaitan ilmu menerusi suruhan ‘membaca’ tidak terhenti sekadar mekanisme amalan membaca tetapi dihubungkan dengan mengenal Allah menerusi nama-Nya.

Perhatikan pada wahyu pertama yang diturunkan pada ayat pertama Surah al-‘Alaq iaitu:


ٱقۡرَأۡ بِٱسۡمِ رَبِّكَ ٱلَّذِی خَلَقَ

“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk)”

[Al-Alaq: 1]


Akal perlu dibimbing dengan panduan agama seterusnya akal akan membimbing nafsu ke atas fitrah yang diciptakan oleh Allah S.W.T. Larangan mengikuti nafsu tanpa dibimbing wahyu ini disebutkan beberapa tempat sebagai peringatan kepada manusia, antaranya firman Allah S.W.T:


يَا دَاوُودُ إِنَّا جَعَلْنَاكَ خَلِيفَةً فِي الْأَرْضِ فَاحْكُم بَيْنَ النَّاسِ بِالْحَقِّ وَلَا تَتَّبِعِ الْهَوَىٰ فَيُضِلَّكَ عَن سَبِيلِ اللَّهِ ۚ

“Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan (hukum syariat) yang benar (yang diwahyukan kepadamu); dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah.”

(Shad: 26)


Akal sekalipun hebat dan pandai dalam menganalisa sesuatu maklumat, namun penentu kepada kebenaran ialah apabila sesuatu tersebut menepati al-Quran dan as-Sunnah. Namun jika sebaliknya, iaitu bercanggah dengan keduanya maka ia adalah termasuk dalam perkara yang batil, tidak diterima.

Hanyasanya akal perlu berjaga-jaga dari melampaui batasan yang ditetapkan oleh agama agar tidak melakukan sesuatu yang ditegah oleh agama.

Hadith dari Abi Tha’labah al-Khushani Jarthum bin Nasyir bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:


إنَّ اللَّه تَعَالَى فَرَضَ فَرائِضَ فَلاَ تُضَيِّعُوهَا، وحدَّ حُدُودًا فَلا تَعْتَدُوهَا، وحَرَّم أشْياءَ فَلا تَنْتَهِكُوها

“Sesungguhnya Allah S.W.T menetapkan sesuatu kefardhuan maka jangan kamu lenyapkannya (tinggalkannya), meletakkan sesuatu sempadan maka jangan kamu melampauinya dan mengharamkan sesuatu maka jangan kamu mencerobohnya.”

(Riwayat al-Darqutni)


Akal tugasnya berfikir

Walaupun akal dituntut berpandukan wahyu agama namun ia bukan menjadi penghalang atau alasan untuk manusia tidak berfikir. Malah al-Quran sendiri menuntut manusia berfikir dengan cara yang benar.

Berfikir dengan cara yang benar akan menjadikan manusia mengenali Allah menerusi kekuasaan penciptaan-Nya. Berfikir dan merenungi kejadian alam yang membawa manusia mengkagumi dan mengagungkan ciptaan Allah merupakan satu tuntutan dan ibadah.

Firman Allah S.W.T:


إِنَّ فِی خَلۡقِ ٱلسَّمَـٰوَ ٰ⁠تِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱخۡتِلَـٰفِ ٱلَّیۡلِ وَٱلنَّهَارِ لَـَٔایَـٰتࣲ لِّأُو۟لِی ٱلۡأَلۡبَـٰبِ * ٱلَّذِینَ یَذۡكُرُونَ ٱللَّهَ قِیَـٰمࣰا وَقُعُودࣰا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمۡ وَیَتَفَكَّرُونَ فِی خَلۡقِ ٱلسَّمَـٰوَ ٰ⁠تِ وَٱلۡأَرۡضِ رَبَّنَا مَا خَلَقۡتَ هَـٰذَا بَـٰطِلࣰا سُبۡحَـٰنَكَ فَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ

“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal * (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan mengenai kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.”

[Ali-Imran: 190 – 191]


Peranan akal hakikat diiktiraf oleh Islam. Hasanya cara berfikir oleh akal mestilah menerusi manhaj atau disiplin ilmu yang benar. Bukan hanya mengagak atau secara semberono yang mengakibatkan kepada sentimen emosi dan semangat semata-mata tanpa didasari kefahaman yang sahih.

Dengan cara berfikir yang betul dan manhaj yang benar setiap ijtihad kalangan mujtahid dan alim ulamak memperolehi pahala. Jika benar mendapat 2 ganjaran pahala manakala dia tersilap maka tetap beroleh pahala.

Hadith dari Amru bin al-‘Ash bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:


إذا حكم الحاكم فاجتهد ثم أصاب فله أجران، وإذا حكم فاجتهد ثم أخطأ فله أجر

“Apabila seseorang menjatuhkan sesuatu hukum maka dia berijtihad kemudian ijtihadnya betul maka dia beroleh dua pahala manakala jika dia berijtihad namun salah, dia beroleh satu pahala.”

(al-Bukhari dan Muslim)


Pemikiran jumud iaitu tepu tanpa melihat kepada perkembangan dan perubahan realiti semasa akan menyulitkan keadaan. Kesannya Islam dilihat mundur dan tidak mampu berdaya di era yang serba moden dan berlainan dari masa lampau yang silam.

Walhal Islam adalah syariat-Nya bersesuaian sepanjang zaman. Keistimewaan syariat Islam antaranya ialah teguh pada dasar dan prinsip serta anjal dan fleksibel (murunah مرونة) pada pendekatan teknikal.

Di sinilah nilai ijtihad. Bekalan ilmu asas dan kemahiran dan kekuatan berfikir dalam memastikan isu serta persoalan semasa dipimpin oleh Islam dengan mengemukakan solusi, cadangan dan penyelesaian.

Apatah lagi sesuatu hukum berdasarkan illah. Disebut sebagai:


إذا وجدت العلة وجد الحكم، وإذا انعدمت العلة عدم الحكم

“Apabila terdapat illah maka wujud hukum dan apabila tiada illah maka tiada hukum”


Peranan akal dalam berfikir suatu perkara yang asas dan dituntut. Tidak salah berfikir. Namun berfikir berdasarkan ilmu dan manhaj yang sahih.

Akal wajib jauhi doktrin Liberalisme

Antara serangan pemikiran ke atas corak berfikir ialah serangan Liberalisme. Ini kerana doktrin Liberalisme tidak mahu akal terkongkong dengan panduan agama. Bagi puak Liberal, kongkongan agama ke atas pemikiran manusia menjadikan manusia itu umat yang mundur terkebelakang.

Hakikatnya, Islam tidak mengongkong akal berfikir. Islam memimpin akal dengan menunjukkan cara berfikir yang selamat dan membawa kebaikan.

Liberalisme hanya mahukan akal bebas namun hakikat terkongkong dengan nafsu dan emosi. Menjadikan kewarasan pertimbangan oleh akal tanpa memikirkan nasib keberuntungan di akhirat kelak.

Sehubungan itu, Rasulullah S.A.W mendidik agar sesuatu bicara sekalipun pastikan ada nilai hubung kait dengan keimanan kepada Allah dan Hari Akhirat.

Hadith dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:


من كان يؤمن بالله واليوم الآخر، فليقل خيرًا أو ليصمت

“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka berkata baik atau berdiam (dari kata yang sia-sia).”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Bahaya berfikir tanpa panduan wahyu bukan sekadar bahaya dari sudut duniawi malah memberikan kesan pegangan agama sehingga kesannya di akhirat. Liberalisme membawa akal keluar dari dari pegangan agama atas alasan kebebasan namun hakikatnya mereka terbabas.

Hadith dari Abi Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:



تركت فيكم أمرين لن تضلوا ما تمسكتم بهما: كتاب الله وسنة رسول الله صلى الله عليه وآله وسلم

“Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang kamu tidak akan sesat selama berpegang dengan keduanya itu : kitabullah dan sunnah Rasul.”

(Riwayat Imam Malik)


Antara kesan doktrin Liberalisme yang berlaku di Malaysia secara khususnya ialah:

(1) Memperjuangkan kebebasan media secara mutlak termasuk mengecam tindakan kerajaan mengawasi filem-filem atau buku-buku yang boleh mengancam kesucian agama Islam dan anutan Ahli Sunnah Wal-Jamaah di negara ini.

(2) Memperjuangkan kebebasan golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) secara terbuka bagi menuntut supaya setiap individu diberikan hak dan kebebasan untuk memperlakukan apa sahaja yang dia mahu terhadap seksualiti dan tubuhnya seperti menjadi gay atau menukar jantina.

(3) Menolak dan mempertikaikan fatwa-fatwa yang dikatakan mengongkong kebebasan hak asasi manusia dan masyarakat majmuk seperti fatwa Valentine’s Day, Islam Liberal, doa bersama bukan Islam dan lain-lain.

Disediakan oleh :
USTAZ DR MUHAMAD ZUHAILI DR HJ SAIMAN
Pengerusi
Lajnah Perkaderan Ulamak Pelapis (LPUP),
Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 29/1/2020

- Advertisement -