Ganjil bila Muslim tidak bangga dengan Islamnya

- Advertisement -

AL-QURAN menceritakan bahawa orang-orang kafir dan orang-orang munafik berbangga dengan kekafiran dan kemunafikan masing-masing.

Orang kafir berbangga dengan menyembah berhala dan mengharapkan berhala – berhala itu menganugerahkan kemuliaan kepada mereka namun akhirnya berhala-berhala itu, bukan sahaja tidak mampu memberikan kemegahan kepada mereka bahkan berhala-berhala itu menjadi pendakwa-pendakwa mereka sendiri. Ini dinukilkan melalui ayat;

- Advertisement -


“… Dan mereka yang kafir menyembah benda-benda yang lain dari Allah sebagai tuhan-tuhan, supaya benda-benda yang mereka sembah itu menjadi penolong-penolong yang memberi kemuliaan dan pengaruh kepada mereka. Tidak sekali-kali! Bahkan benda-benda yang mereka pertuhankan itu mengingkari perbuatan mereka menyembahnya, dan akan menjadi musuh yang membawa kehinaan kepada mereka.”

(Maryam: 81-82)



Ahli – ahli sihir Firaun berbangga dengan cuba berpaut kepada kemegahan Firaun untuk mengalahkan Nabi Musa dan pengikut-pengikut Baginda A.S seperti yang tercatat di dalam ayat;


“Lalu mereka mencampakkan tali-tali dan tongkat-tongkat mereka sambil berkata: “Demi kemuliaan Firaun, sesungguhnya sudah tetap kamilah orang-orang yang akan menang”.”


(al Sya’ra: 44)


Orang-orang munafik pula meyakini dengan menjadi teman rapat dan memberikan kepercayaan kepada orang kafir, mereka akan meraih kemuliaan. Allah berfirman;


“Dalam pada itu, engkau lihat orang-orang (munafik) yang ada penyakit dalam hatinya segera berusaha mendampingkan diri kepada mereka (Yahudi dan Nasrani), sambil berkata: “Kami takut bahawa kami akan ditimpa bencana (yang memaksa kami meminta pertolongan mereka)”. Mudah-mudahan Allah akan mendatangkan kemenangan (kepada Rasul-Nya dan umat Islam) atau mendatangkan sesuatu hukuman dari sisiNya (terhadap golongan yang munafik itu); maka sebab itu mereka akan menyesal mengenai apa yang telah mereka sembunyikan dalam hatinya.”

(al-Maidah: 52)


Allah S.W.T menjelaskan bahawa usaha berbangga dengan menyerahkan kepercayaan kepada orang-orang kafir akan mengakibatkan nasib yang buruk di akhirat nanti. Firman Allah S.W.T;


“Sampaikanlah khabar berita kepada orang-orang munafik: bahawa sesungguhnya disediakan untuk mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya; (Iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Tidaklah patut mereka (orang-orang munafik) mencari kekuatan dan kemuliaan di sisi orang-orang kafir itu, kerana sesungguhnya kekuatan dan kemuliaan itu semuanya ialah milik Allah, (diberikannya kepada sesiapa yang dikehendakiNya).”

(al Nisa’: 138-139)


Allah S.W.T mengingatkan orang beriman agar meyakini bahawa kemuliaan itu adalah milik Allah, milik rasulNya dan orang-orang beriman. Firman Allah S.W.T;


“Sesiapa yang mahukan kemuliaan (maka hendaklah ia berusaha mencarinya dengan jalan mematuhi perintah Allah), kerana bagi Allah jualah segala kemuliaan. Kepada Allah lah naiknya segala perkataan yang baik (yang menegaskan iman dan tauhid, untuk dimasukkan ke dalam kira-kira balasan), dan amal yang soleh pula diangkatnya naik (sebagai amal yang makbul – yang memberi kemuliaan kepada yang melakukannya). Dan sebaliknya: orang-orang yang merancangkan kejahatan (untuk mendapat kemuliaan), adalah bagi mereka azab seksa yang berat; dan rancangan jahat mereka (kalau berkesan) akan rosak binasa.”

(Fatir: 10)


Adalah amat ganjil tatkala orang kafir berbangga dengan kekafirannya, orang munafik begitu dan berbangga serta yakin dengan berbaik-berbaik dengan orang-orang kafir serentak meninggalkan orang mukmin, manakala orang beriman merasa rendah diri (inferior) dengan keislaman dan keimanannya.

Bangga dengan Islam bukan sekadar hanya ‘merasainya’ di dalam diri, namun perlu dibuktikan dengan berbangga dengan segala syariat-Nya, merasa marah apabila ada pihak yang mempersendakannya, membela apabila ia dihina. Pertuturan dan penulisannya membuktikan bahawa benar-benar ia berbangga dengan Islam.

Sesungguhnya jika setiap muslim merasa bangga dengan anugerah yang amat bernilai ini, menjadi manusia yang dipilih oleh Allah S.W.T menjadi seorang muslim, ia akan menjadi batu penghalang terbesar kepada pihak-pihak yang berniat jahat kepada Islam berbuat apa sahaja kepada umat Islam. Firman Allah S.W.T;


“Nabi Muhammad (S.A.W) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat muka mereka – dari kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas). Demikianlah sifat mereka yang tersebut di dalam Kitab Taurat; dan sifat mereka di dalam Kitab Injil pula ialah: (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang mengkagumkan orang-orang yang menanamnya. (Allah menjadikan Sahabat-sahabat Nabi Muhammad, S.A.W dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana Ia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki – dengan kembang biaknya umat Islam itu. (Dan selain itu) Allah telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari mereka, keampunan dan pahala yang besar.”


(al-Fath: 29)


Begitu juga dengan firman Allah;


“Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari ugamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi PengetahuanNya.”


(al-Maidah: 54)


Sebagai warga negara muslim bagi Malaysia ini, kita berbangga kerana Islam diberikan kedudukan istimewa di dalam negara ini, Islam berperanan di dalam pentadbiran negara, Institusi-institusi Islam ditubuhkan untuk melicinkan pentadbiran menguruskan kehidupan masyarakat, institusi Pendidikan berusaha menerapkan rasa cinta kepada agama Islam sejak dari usia muda. Perbuatan meragui dan mempertikaikan perkara-perkara di atas adalah tanda-tanda tidak berbangga dengan Islam.

Jika bukan umat Islam berbangga dan mempertahankannya, siapa lagi yang kita harapkan?

SS USTAZ DATO’ HJ ZAMRI HASHIM
Timbalan Mufti Perak
Pengerusi Majlis Ulamak ISMA – HARAKAHDAILY 29/1/2020

- Advertisement -