Demokrasi hanya alat bukan matlamat

- Advertisement -

SAAT ini seluruh dunia sedang tertumpu pada perbicaraan salah guna kuasa dan menghalang tugas Kongres oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald J. Trump di Senat Amerika Syarikat. Dengan Senat Amerika Syarikat dikuasai oleh parti Republikan, ramai penganalisa politik antarabangsa berpendapat bahawa Senat akan berpihak kepada Donald Trump untuk tidak mensabitkan sebarang kesalahan walaupun terdapat pelbagai bukti salah guna kuasa.

Tumpuan dunia terhadap perbicaraan tersebut adalah kerana Donald Trump dan polisi Amerika Syarikat di seluruh dunia sama ada sekarang mahupun akan datang memandangkan Amerika Syarikat adalah kuasa besar dunia yang mengolah geopolitik dunia sejak sekian lama melalui apa yang dijuarainya iaitu demokrasi. Skandal Ukraine yang menjadi tumpuan perbicaraan ini telah mencacatkan demokrasi yang dijuarai oleh Amerika Syarikat memandangkan Donald Trump menggunakan polisi luar Amerika Syarikat dan demokrasi itu sendiri untuk kepentingan peribadinya.

Melihat kepada sejarah Amerika Syarikat selepas perang dunia kedua baik siapa pun Presidennya dan dari parti mana sekalipun, campur tangan mereka ke atas mana-mana negara yang menguntungkan Amerika Syarikat akan digunakan sepenuhnya dan dimanfaatkan untuk kepentingan strategik mereka. Vietnam, Afghanistan dan Iraq adalah contoh jelas campur tangan Amerika Syarikat dan menggunakan demokrasi untuk menghalalkannya.

Namun nasib tidak menyebelahi Donald Trump. Perseteruan yang tegang di antara parti Demokrat dan Republikan terutamanya selepas Donald Trump dilantik sebagai Presiden Amerika Syarikat dan Pilihan Raya Presiden yang akan berlangsung tidak lama lagi menjadi sebab utama kepada pertuduhan Kongres terhadap Donald Trump. Saya percaya jika tiada sebab di atas, mungkin pertuduhan dan perbicaraan tidak akan berlaku memandangkan memang sudah menjadi amalan Amerika Syarikat dalam polisi luarnya untuk campur tangan dalam hal ehwal mana negara sekalipun.

Melihat kepada keadaan semasa sama ada di Amerika Syarikat sendiri mahupun seluruh dunia, demokrasi yang disanjung dan diangkat oleh Amerika Syarikat selama ini sebenarnya sedang menuju kehancuran sebagaimana yang berlaku kepada ideologi komunisme satu ketika dahulu. Bukan kerana dunia sudah tidak mempercayainya tetapi peneraju utamanya iaitu Amerika Syarikat dan Barat secara jelas di mata dunia mempergunakannya untuk kepentingan mereka semata-mata.

Seluruh dunia melihat perbicaraan Donald Trump hanyalah sebagai salah satu daripada mekanisma ‘check and balance’ dalam sistem demokrasi namun sebenarnya baik perbicaraan di Kongres beberapa minggu lalu dan di Senat saat ini banyak membuka mata pelbagai pihak di seluruh dunia terhadap apa yang sebenarnya tersirat dalam agenda demokrasi Amerika Syarikat yang disebarkan ke seluruh dunia dan matlamatnya terutamanya ke atas Dunia Islam.

Mungkin ramai yang tidak begitu peka mahupun berminat untuk melihat proses perbicaraan tersebut namun pendedahan demi pendedahan yang berlaku ketika proses ini banyak membuktikan bahawa demokrasi sebenarnya digunakan oleh Amerika Syarikat dan Barat untuk melemahkan mahupun memecahbelahkan geopolitik dunia yang belum dikuasainya termasuk Dunia Islam. Adapun apabila telah menguasai, demokrasi digunakan oleh Amerika Syarikat dan Barat untuk menguatkan cengkaman dan menekan seteru mahupun sekutunya.

Perbicaraan tersebut berkisar tentang cubaan Donald Trump untuk memaksa Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky mengisytiharkan siasatan ke atas Joe Biden, bekas Naib Presiden Amerika Syarikat dan anaknya Hunter Biden, yang dilantik sebagai ahli lembaga pengarah Burisma, syarikat minyak dan gas Ukriane ketika Joe Biden masih lagi menjadi Naib Presiden Amerika Syarikat. Ukraine setiap tahun menerima bantuan daripada Amerika Syarikat bernilai ratusan juta dolar namun untuk menerima bantuan tersebut tahun lalu, Donald Trump menetapkan syarat bahawa siasatan harus diumumkan walaupun tuduhan tersebut telah disiasat dan tidak terdapat sebarang salah guna kuasa.

Dorongan tindakan Donald Trump adalah disebabkan Joe Biden mampu menewaskan Donald Trump dan menang dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat pada November 2020 jika menjadi calon parti Demokrat. Akan tetapi topik utamanya bukan tindakan Donald Trump ketika ini namun sebenarnya ialah tindak tanduk Amerika Syarikat dan Barat dalam menguasai geopolitik dunia sejak perang dunia pertama iaitu menggunakan demokrasi untuk menguasai dunia dan menekan mana – mana negara yang tidak mahu menurutinya dengan pelbagai cara.

Itulah sebenarnya yang terbongkar dalam perbicaraan ini. Perkara tersebut diakui oleh Mick Mulvaney, Ketua Staf Rumah Putih ketika disoal oleh wartawan dalam satu sidang media di Rumah Putih dengan mengatakan bahawa tindakan Donald Trump berkenaan skandal Ukraine adalah tidak salah kerana sudah menjadi amalan setiap Presiden Amerika Syarikat dalam setiap polisi luarnya dalam usaha untuk mengekalkan statusnya mahupun Amerika Syarikat sebagai kuasa besar dunia dan kuasa tunggal geopolitik dunia.

Perang tidak mampu menakluk dunia

Selepas kejatuhan Khalifah Uthmaniyah pada 1922, Dunia Islam kelihatan terumbang – ambing dalam geopolitik dunia. Satu demi satu Dunia Islam telah hanyut dalam mencari pedoman untuk menempuh dunia yang mencabar. Khalifah Uthmaniyah yang sebelum itu menjadi tonggak kepada Dunia Islam telah lenyap akibat perancangan licik Barat sebelum bermulanya perang dunia pertama. Berlin Conference pada tahun 1884-1885 menjadi titik pemulaan Khalifah Uthmaiyah mula dipecahkan sebelum lenyap selama-lamanya.

Selepas tamat perang dunia pertama dan lenyap Khalifah Uthmaniyah, Barat perlahan – lahan memulakan perancangan licik untuk melemahkan Dunia Islam. Satu persatu negara Dunia Islam jatuh ke tangan Barat sama ada melalui peperangan mahupun agenda demokrasi mereka. Namun kebangkitan Jerman dan Hitler menawan negara – negara utama Eropah, mengancam tonggak dunia Barat seperti British dan Amerika Syarikat serta Jepun yang mula mendominasi Asia ketika itu membantutkan agenda Barat terutamanya Amerika Syarikat untuk mendominasi dunia.

Terdapat juga negara – negara Dunia Islam ketika itu yang bangun menentang agenda Barat seperti Libya, Afghanistan, Iraq dan beberapa negara lagi. Akibatnya tercetuslah perang dunia kedua yang telah memporak-perandakan dunia. Sebenarnya disamping memerangi Jerman, Jepun dan sekutunya ketika perang dunia kedua, Barat mengambil peluang daripada perang tersebut untuk memecahbelahkan Dunia Islam serta membahagikannya sesama mereka untuk kepentingan masing-masing. Namun apa yang mereka pelajari daripada perang tersebut, Dunia Islam sukar dijatuhkan malah ditawan apabila berperang.

Lalu selepas perang dunia kedua dan berjaya menundukkan musuh mereka, Barat mula menolak ke depan agenda demokrasi untuk mencapai matlamat mereka iaitu menguasai dunia dan mengawal serta mendominasi Dunia Islam. Dunia Islam ketika itu tercari – cari nakhoda selepas lenyap Khalifah Uthmaniyah mula terpedaya dengan agenda demokrasi Barat yang digambarkan sebagai naratif baru untuk dunia dalam mencapai keharmonian, kesaksamaan dan untuk masa depan yang lebih terjamin. Amerika Syarikat yang menjadi peneraju tentera perikatan dan Barat ketika perang dunia kedua menjadi kuasa baru dunia dan membawa agenda demokrasi yang menjadi ikutan seluruh dunia.

Namun sebenarnya agenda demokrasi yang dibawa Barat terutamanya Amerika Syarikat hanyalah bayang-bayang agenda sebenar mereka iaitu untuk menguasai Dunia Islam yang kaya dengan pelbagai hasil bumi dan berkedudukan strategik di seluruh dunia untuk kepentingan mereka. Ia juga adalah salah satu kaedah untuk melemahkan Dunia Islam disamping menjauhkan Dunia Islam dan umatnya daripada ajaran Islam yang sebenar. Apa yang dipelajari terdahulu dan selepas perang dunia kedua, natijahnya jika hendak menundukkan negara Dunia Islam dan umatnya, hendaklah dipisahkan ajaran Islam daripada kehidupan umat Islam.

Maka itulah acuan sebenar demokrasi yang dibawa oleh Amerika Syarikat dan Barat. Selain daripada menggunakannya untuk menguasai dunia, ia juga bermatlamat untuk menundukkan Dunia Islam dan umatnya agar tunduk sehingga mampu dikawal oleh mereka. Maka atas nama demokrasi, selepas perang dunia kedua muncullah Pertubuhan Bangsa – bangsa Bersatu (PBB), Bank Dunia, NATO, IMF dan pelbagai agensi lagi. Walau dari satu sudut ia nampak sangat bermanfaat bagi kesemua negara – negara di dunia namun jika diperhalusi dan diteliti, kesemua badan – badan terbabit dikawal oleh Barat terutama Amerika Syarikat dan sekutunya.

Oleh itu apa yang kita lihat hari ini, badan – badan tersebut sebenarnya adalah kesinambungan daripada agenda dan polisi luar Barat terutamanya Amerika Syarikat. Selain daripada Amerika Syarikat dan sekutunya mengawal serta mendominasi polisi luar dan geopolitik antarabangsa mereka sendiri, badan – badan antarabangsa tersebut adalah projek polisi luar dan geopolitik dunia mereka di atas nama demokrasi untuk mendominasi dunia.

Agensi dunia pelengkap polisi dan dominasi Barat

Atas nama demokrasi, kesaksamaan dan keamanan dunia, di tubuhkan pelbagai agensi dan badan untuk kesejahteraan dunia. Sebagai contoh Pertubuhan Bangsa – bangsa Bersatu (PBB) adalah badan induk yang mewakili kepentingan setiap negara di seluruh dunia. Ia adalah salah satu konsep demokrasi yang diterima pakai oleh setiap negara ketika badan tersebut ditubuhkan untuk kepentingan setiap negara.

Pada awalnya sambutan dan sokongan terhadap PBB oleh setiap negara cukup memberangsangkan kerana amalan demokrasinya namun saat ini banyak negara menyuarakan kebimbangan PBB hanyalah platform dan agenda negara – negara tertentu untuk mencapai matlamatnya. Harus menjadi persoalan, negara manakah yang mencadang dan merangka PBB dan agenda ketika penubuhannya, negara manakah yang begitu berkuasa di PBB dan negara manakah yang kerap kali melanggar resolusi dan keputusan PBB ?

Jawapannya jelas Amerika Syarikat dan sekutunya dari Barat seperti Britain. Contoh yang paling jelas ialah isu berkaitan Israel. Sudah berpuluh resolusi dilanggar Israel berkenaan isu Palestin namun apabila dibawa ke Majlis Keselamatan PBB untuk dimuktamad keputusan untuk diambil tindakan, Amerika Syarikat adalah negara pertama yang akan veto resolusi tersebut. Ia adalah pengkhianatan jelas Amerika Syarikat terhadap demokrasi yang dijajanya sebagai kaedah terbaik mentadbir dunia.

Terbaru pada Disember 2017 apabila PBB pada perhimpunan agungnya meluluskan satu resolusi yang menuntut Donald Trump dan Amerika Syarikat supaya menarik balik pengisytiharan Baitul Muqaddis sebagai ibu negara Israel. Namun Amerika Syarikat tidak mempedulikannya malah Donald Trump dengan angkuh mengugut akan mengambil tindakan dan menyekat bantuan kewangan kepada negara – negara yang menyokong resolusi tersebut.

Malah sebelum resolusi tersebut dibawa ke perhimpunan agung PBB, resolusi yang sama dibawa ke Majlis Keselamatan PBB untuk diambil tindakan dan Amerika Syarikat bertindak menghalang resolusi tersebut dengan menggunakan kuasa veto yang ada padanya. Duta Amerika Syarikat ke PBB Nikki Haley dalam ucapannya selepas resolusi tersebut diluluskan Perhimpunan Agung PBB mengatakan bahawa Amerika Syarikat akan mengingati hari tersebut dan setiap negara yang mengundi menyokong resolusi tersebut.

Paling buruk ialah apabila Amerika Syarikat menyerang dan menawan Iraq pada 2003 ketika George W. Bush menjadi Presiden Amerika Syarikat. Amerika Syarikat dan sekutunya bukan sahaja membelakangkan dunia dengan tindakannya malah langsung tidak mempedulikan PBB yang sepatutnya menjadi badan yang membuat keputusan ke atas Iraq. Selepas Iraq musnah dan senjata pemusnah (WMD) yang dicanang oleh Amerika Syarikat langsung tidak ditemui sehingga hari ini, Iraq seperti tidak mampu bangkit kembali kepada keadaan sebelumnya.

Selepas Donald Trump menjadi Presiden Amerika Syarikat, polisi luar Amerika Syarikat kelihatan lebih radikal dan ekstrem dari sebelumnya dan menghuru-harakan geopolitik dunia.Boleh dikatakan di setiap sudut dunia, polisi Amerika Syarikat mengundang konfrontasi seperti di Iraq, Iran, Libya, Afghanistan, Hong Kong, Taiwan, Venezuela, Cuba, Mexico, Greenland, Denmark, Perancis, China dan banyak negara lagi. Namun kali ini baik Donald Trump mahupun Amerika Syarikat tidak lagi menggunakan badan – badan dunia terbabit tetapi secara terang – terangan bertindak bersendirian.

Polisi – polisi luarnya lebih kepada campur tangan Amerika Syarikat terhadap negara – negara yang tidak mahu tunduk pada desakan atau menuruti kehendaknya. Dikenakan sekatan ekonomi dan perdagangan, dibekukan aset negara dan pemimpin, larangan perjalanan dan pelbagai lagi tindakan dan ancaman. Ramai yang akan tertanya mengapa skandal Ukraine merencatkan polisi Donald Trump dan campur tangan Amerika Syarikat sehingga Donald Trump dibicarakan di Senat yang boleh menyebabkan beliau kehilangan jawatan. Ia adalah kerana pertembungan politik dalaman Amerika Syarikat di antara parti Demokrat dan Republikan untuk Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat, tidak lebih dari itu. Ia tidak bermakna juga Demokrat tidak bersetuju dengan polisi campur tangan Donald Trump di Ukraine.

Jika dinilai kembali campur tangan Amerika Syarikat di negara – negara yang disebutkan tadi, demokrasi menjadi tajuk dan asas utama campur tangan tersebut. Apabila diperhalusi kembali adakah benar Amerika Syarikat memperjuangkan demokrasi yang diagungkannya, jawapannya tidak. Demokrasi adalah alat untuk Amerika Syarikat dan sekutu Baratnya untuk menguasai dunia.

Dunia Islam harus sedar sebelum terlambat

Sebelum Dunia Islam lenyap ditelan zaman, umat Islam dan pendukung gerakan Islam harus memperbetulkan keadaan sebelum keadaan menjadi kelam. Dunia dan umat islam termasuk juga gerakan Islam usah menjadi tali barut mahupun tangan – tangan ghaib kepada musuh Islam untuk menjatuhkan sesama sendiri. Apa yang berlaku hari ini kepada Dunia Islam adalah petanda jelas bahawa Dunia Islam sudah terpedaya.

Dalam memperkatakan demokrasi yang dibawa oleh Barat bertujuan untuk melemahkan Dunia Islam, tidak dinafikan ia juga bermanfaat untuk digunapakai demi kepentingan Dunia Islam. Walaupun terdapat kelemahan dalam sistem demokrasi namun ia adalah jalan terbaik kepada gerakan Islam untuk menyampaikan dakwah bissilmi. Usah ceduk bulat – bulat demokrasi ciptaan Barat namun gunakanlah sesuai dengan kaedah dan kepentingan Dunia Islam.

Pendukung gerakan Islam hendaklah mengambil demokrasi sebagai alat dan bukannya tujuan. Ini kerana tujuan utama adalah untuk menegakkan hukum Allah S.W.T di muka bumi ini. Kuatkan muafakat dan persaudaraan, insyaAllah Dunia Islam akan bertambat erat dan kuat menempuh cabaran geopolitik dunia masakini serta kembali menjadi peneraju di muka bumi ini.

Semoga Allah S.W.T memberi kemenangan kepada Islam.

YB MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lujnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.
ADUN Batu Burok – HARAKAHDAILY 29/1/2020

- Advertisement -
- Advertisement -