DAP keluar PH hanya ‘ugutan kosong’

Ahmad Fadhli Shaari
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Gertakan DAP akan keluar daripada Kerajaan Pakatan Harapan (PH) jika Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) tidak diiktiraf hanyalah satu ‘ugutan kosong’ semata-mata,” demikian kata Ahli Parlimen Pasir Mas, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari.

- Advertisement -

Menurutnya, kenyataan Timbalan Setiausaha Agung DAP, Nga Kor Ming itu tidak lebih daripada siri-siri sembang kosong DAP untuk memberi tekanan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir.

“Saya berpandangan bahwa DAP tidak akan sekali-kali keluar daripada PH sekalipun UEC tidak diiktiraf oleh kerajaan. Ini kerana kalau dilihat pada tahun 2018, Lim Kit Siang pernah keluarkan kenyataan bahawa DAP akan keluar PH jika Malaysia Baharu tidak dapat melaksanakan pembaharuan.

“Namun sehingga ke hari ini, DAP tidak pun keluar PH walaupun ada agenda yang dilaksanakan oleh Tun Mahathir tidak sesuai dengan kehendak DAP,” katanya kepada HarakahDaily.

Sebelum ini, Lim Kit Siang ada menyatakan DAP tidak akan teragak-agak meninggalkan kerajaan campuran PH jika usaha mencapai tujuan Malaysia Baharu diketepikan

Fadhli yang juga Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia menempelak, sebagaimana kenyataan kosong Penasihat DAP itu, Kor Ming juga hanya mengulangi perkara sama yakni hanya sebagai ‘ugutan kosong’ semata-mata dan tidak akan keluar PH.

Terdahulu, Nga Kor Ming dalam satu kenyataan yang dilaporkan oleh Malaysiakini dipetik daripada Oriental Daily bahawa DAP tidak akan teragak-agak keluar dari kerajaan jika UEC tidak diiktiraf.

Dalam masa yang sama, parti itu menurutnya juga tidak kisah jika tidak lagi bersama dalam gabungan parti pemerintah (PH). – HARAKAHDAILY 29/1/2020

- Advertisement -