Arak: Ibu segala sengketa, sekat dari berleluasa

- Advertisement -

KEJADIAN pemandu mabuk arak semakin berleluasa mutakhir ini dikatakan meningkat selepas tersebar berita kebenaran daripada Exco DAP Selangor mengenai kebenaran minum arak di tempat terbuka.

Sebelum itu tidak banyak kita mendengar peristiwa pemandu mabuk arak meskipun tersebar juga gambar ramai pemimpin DAP memegang gelas arak.

Apabila kejadian begini terjadi kita terus teringat kepada arahan bekas Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz seawal tahun 1990-an yang mengarahkan agar tiada jualan arak di pasaran terbuka.

Datang pelbagai kumpulan termasuklah isteri-isteri berbangsa Tionghoa mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar kerana mereka tidak lagi dipukul oleh suami mereka yang mabuk.

Benarlah bahawa satu daripada perkara yang dijaga oleh Agama Islam adalah memelihara akal iaitu antaranya tidak minum arak bagi menjaga kewarasan minda.

Bagi pemandu yang mabuk, sudah pasti mereka gagal menjaga keselamatan diri dan orang lain juga. Akibatnya semuanya bertabrakan bertaburan lantas bergelimpangan di atas jalan raya. Banyak nyawa terkorban, kerosakan dan kerugian yang besar dan banyak masa terbuang.

Untuk menjaga kewarasan akal ini, mereka tidak perlu memeluk agama Islam. Mereka hanya diminta tidak minum arak di luar rumah sahaja. Di dalam rumah sendiri, itu tertakluk kepada mereka sendiri jika agama mereka membenarkan.

Dengan mengelakkan mabuk di luar rumah, banyak jiwa dapat diselamatkan. Dengan menjaga minda, semua harta milik anda akan selamat. Orang ramai dan negara akan selamat.

Justeru PAS Kedah menggesa pihak berwajib perlu bertindak tegas terhadap aktiviti bebas minum arak. Islam meletakkan arak sebagai Ibu segala sengketa kerana itu hukuman berat dikenakan dengan 80 kali sebatan. Dosa pula meliputi 10 golongan terlibat dengan arak daripada pembuatan hinggalah kepala tukang jual dan peminum.

Ini jelas membuktikan arak merosakkan kewarasan akal sedangkan waras minda itulah pemisah antara manusia dan haiwan.

“Islam Memimpin Perpaduan”

USTAZ AHMAD YAHAYA
Pesuruhjaya PAS Kedah
29 Januari 2020/ 4 Jamadil Akhir 1441H – HARAKAHDAILY 29/1/2020

- Advertisement -
- Advertisement -