Antara karya TG Abdul Hadi bahas ideologi

- Advertisement -

BUKU as-Shira’u Baina al-Islamiyah wa al-‘Ilmaaniyah fi Malayzia adalah sebuah karya Tuan Guru Haji Abdul Hadi yang ditulis dalam bahasa Arab dan diterbitkan di Kaherah. Buku ini adalah antara beberapa karya beliau yang membahaskan tentang ideologi semasa yang mengancam akidah Islam, dengan difokuskan kepada ideologi Sekular. Perkembangan sekularisme di negara-negara umat Islam selepas penjajahan Barat telah memberi kesan buruk terhadap fahaman dan amalan agama sehingga melemahkan seluruh kekuatan Islam. Di kalangan gerakan Islam, mereka terpaksa bersaing sesama umat Islam yang menganut faham sekularisme dalam usaha menegakkan semula Daulah Islamiyah. Bahkan, lebih berbahaya lagi apabila Sheikh al-Islam Daulah Othmaniyah mengatakan bahawa sekularisme adalah jalan singkat untuk umat Islam murtad.

Buku ini pada asasnya memperkatakan latar belakang sejarah Malaysia sebagai sebuah negeri umat Islam pada zaman dahulu yang kemudiannya dijajah oleh Barat, lalu menyebar fahaman Sekular melalui pelbagai saluran termasuk politik, ekonomi dan sosial. Selepas Perang Dunia Kedua, muncullah parti-parti politik di kalangan orang Melayu Islam, termasuk Hizbul Muslimin pada 1948 dan PAS pada 1952 yang mendukung Islam. Sedangkan beberapa parti seperti Umno menganut faham kebangsaan sekular, sehingga berlaku persaingan kedua-dua aliran – Islam dan kebangsaan Sekular – di kalangan umat Islam di negara ini, terutama dalam perjuangan kemerdekaan. Kemudian selepas merdeka, persaingan kedua-duanya berlanjutan dalam pelbagai cabang kehidupan. Dan dalam konteks persaingan politik ini, PAS adalah parti yang mewakili kelompok yang berfikrah Islam dalam perjuangan menegakkan negara Islam di Malaysia.

Maklumat Buku:

Nama buku: As-Shira’u Baina al-Islamiyah wa al-‘Ilmaaniyah fi Malayzia
Penerbit: Dar at-Tauzik wa an-Nasyru al-Islamiyah, Kaherah
Tahun terbit: Tanpa tahun
ISBN: 977-265-186-6
Bahasa: Arab
Kulit: Lembut
Muka surat: 98 ms
Saiz: 19 cm x 13.5 cm
Status: Langka (nadir)
Sumber untuk rujukan: Maktabah al-Balaghul Mubin

MOHD FADLI GHANI
Institut al-Balaghul Mubin
4 Jamadil Akhir 1441
29 Januari 2020 – HARAKAHDAILY 29/1/2020

- Advertisement -
- Advertisement -