Al-Azhar menentang Sekular Syeikh Ali Abd Raziq

- Advertisement -

SEJARAH yang real

(1) Hari ini masyarakat apabila diceritakan mengenai propaganda, terus terbina persepsi ‘filem’ atau ‘movie’. Betapa movie ini mampu memberi pengaruh.

Ada yang terbayang propaganda ini adalah satu ketahayulan yang tidak mungkin terjadi. Walau bagaimanapun Umat Islam tetap dituntut untuk sentiasa berwaspada.

(2) Sama ada dalam isu Virus Corona, penguasaan China, China vs Amerika, UAE vs Saudi vs Qatar dan lain-lain yang benar-benar terjadi, masih dianggap ketahyulan.

Minda Umat Islam belum bersedia untuk menerima realiti permainan musuh. Apabila dikisahkan mengenai Snouck Hugronje, Syarif Hussein, Lawrance Arabia, mereka masih anggap ‘itu andaian’.

(3) Umat Islam lebih selesa mendengar kisah kisah karamah dan keajaiban para Wali, berbanding sejarah perancangan musuh yang sangat ‘real’.

a- Snouck Hugronje (1857-1936) adalah intelligent Belanda yang menyamar sebagai Syeikh Abdul Ghafur, membuka pondok dan mengasaskan tarekat di Acheh. Bertugas untuk meranapkan Acheh.

b- Syarif Hussein (1856-1931) adalah tokoh aliran Khalaf yang mempunyai pengaruh kuat. British mempergunakannya untuk menjatuhkan Khilafah Uthmaniah dalam siri Revolusi Agung Arab (1916-1918)

c- Lawrance Arabia (1888-1935) adalah intelligent Barat yang menyamar sebagai orang Arab, pergi ke kabilah-kabilah Arab untuk menghasut mereka bangkit menjatuhkan Uthmaniah.

Idealogi songsang

(1) Dalam catatan sejarah yang realiti, sudah ada seorang pensyarah al Azhar yang menulis buku الاسلام وأصول الحكم terang-terang membawa idealogi sekular. Kemudiannya dipecat (gambar).

Beliau ialah Syeikh Ali Abd Raziq. Tulisannya ditolak oleh al Azhar, dan sijilnya ditarik balik. Sejarah ini benar benar wujud dan bukannya propaganda apatah lagi ketahyulan.

(2) Para Ulamak al Azhar (هيئة كبار العلماء) telah menerbitkan satu risalah yang bertajuk رد هيئة كبار العلماء على كتاب الاسلام وأصول الحكم, mempunyai 46 halaman, diterbitkan pada Rabi’ul Awwal 1414H dan disebarkan secara percuma

Salinan tersebut boleh layari pada pautan di bawah. [1]

(3) Pada halaman 11, menyatakan bahawa kitab Syeikh Ali Abdul Raziq telah menulis sesuatu yang bercanggah dengan agama, antaranya;

- Advertisement -


جعل الشريعة الاسلامية شريعة روحية محضة لا علاقة لها بالحكم والتنفيذ في أمور الدنيا

“Menjadikan Syariat Islam itu hanya sekadar syariat kerohanian semata mata, tiada kaitannya dengan undang undang dan pelaksanaannya dalam urusan kehidupan”


(4) Antara lain pandangannya yang dikatakan bercanggah dengan agama ialah;


وأن مهمة النبي صلى الله عليه وسلم كانت بلاغا للشريعة مجردا عن الحكم والتنفيذ

“Bahawa peranan Nabi S.A.W sekadar menyampaikan syariat, terasing daripada undang undang dan pelaksanannya”


(5) Antara yang dinyatakan oleh هيئة كبار العلماء pandangan Syeikh Ali yang bercanggah dengan agama ialah;


وإنكار إجماع الصحابة على وجوب نصب الامام وعلى أنه لا بد للأمة ممن يقوم بأمرها في الدين والدنيا

“Menolak ijmak para Sahabat R.A mengenai kewajipan melantik pimpinan (الإمامة), dan ia menjadi keperluan bagi Umat Islam untuk menegakkannya dari sudut agama dan dunia.”


Kerohanian cara Sekular

(1) Di dalam risalah yang saya ‘sharing’kan ini jelas menunjukkan beberapa perkara yang menjadi bahan idealogi Sekular. Antara yang jelas boleh semak halaman 16.

Antaranya yang dinyatakan oleh هيئة كبار العلماء;


والشيخ على في ص ٧٨ و٧٩ زعم أن أمور الدنيا قد تركها الله ورسوله صلى الله عليه وسلم تتحكم فيها عواطف الناس وشهواتهم ، وفي ص ٨٥ زعم أن ما جاء به الإسلام إنما هو المصلحة الأخروية لا غير وأما المصلحة المدنية أو المصلحة الدنيوية فذلك مما لا ينظر الشرع السماوي إليه ولا ينظر إليه الرسول

“Syeikh Ali pada halaman 78 dan 79 menyangka bahawa urusan dunia telah dibiarkan oleh Allah dan Rasulnya S.A.W untuk diuruskan oleh perasaan manusia dan keinginannya. Manakala pada halaman 85 menyangka bahawa apa yang dibawa oleh Islam hanyalah keperluan akhirat, tidak lebih dari itu. Manakala keperluan ketamadunan atau keperluan dunia, ia antara perkara yang tidak diperhatikan pun oleh Syara’ dan Rasul S.A.W.”


(2) Di sana banyak lagi petikan Syeikh Ali yang menggambarkan Islam itu hanya dari sudut kerohanian semata mata, terpisah daripada tanggungjawab Umat Islam mentadbir dunia.

(3) Selepas mendatangkan beberapa petikan tadi هيئة كبار العلماء menyatakan pada halaman yang sama,


وواضح من كلامه أن الشريعة الإسلامية عنده شريعة روحية محضة جاءت لتنظيم العلاقة بين الإنسان وربه فقط ، أما بين الإنسان من المعاملات الدنيوية وتدبير الشئون العامة فلا شأن للشريعة به وليس من مقاصدها

“Jelas daripada kenyataannya (Syeikh Ali) bahawa Syariat Islam di sisinya sekadar syariat kerohanian semata-mata. Ia hadir untuk menyusun hubungan di antara manusia dan Tuhannya sahaja. Manakala hubungan sesama manusia seperti komunikasi yang bersifat dunia, dan mentadbir urusan umum, tidak dianggap syariat dan bukan juga tujuan pensyariatan”


Menolak kewajipan pelantikan الإمامة

(1) Bahkan di dalam risalah tersebut menyatakan dengan jelas bagaimana agenda sekularisasi sedang merebak ketika itu khususnya pasca kejatuhan Uthmaniah 1924.

Apabila sudah jatuhnya Khilafah Islamiah, munculnya gerakan gerakan Islam untuk mengembalikannya. Gerakan gerakan Islam bertembung hebat dengan idealogi Sekular.

(2) Antara yang dinyatakan oleh هيئة كبار العلماء di dalam risalah tersebut bahawa Syeikh Ali Abdul Raziq menolak ijmak para Sahabat R.A mengenai pelantikan pimpinan الإمامة

Syeikh Ali Abdul Raziq menyatakan pada halaman 22 bukunya;


أما دعوى الإجماع في هذه المسألة – وجوب نصب الإمام – فلا نجد مسوغا لقبولها على أي حال ، ومحال إذا طالبناه بالدليل أن يظفروا بدليل على أننا مثبتون لك فيما يلي أن دعوى الإجماع هنا غير صحيحة ولا مسموعة سواء أرادوا بها إجماع الصحابة وحدهم أم الصحابة والتابعين أم علماء المسلمين أم المسلمين كلهم بعد أن نمهد لهذا تمهيدا

“Manakala dakwaan wujudnya ijmak dalam permasalahan ini (iaitu kewajipan melantik pimpinan الإمام) kami tidak temui alasan untuk menerimanya, apa jua keadaan sekalipun. Dan mustahil jika kami minta datangkan dalil untuk mendapatkan bukti bahawa kami membuktikan kepada kamu perkara berikut, bahawa dakwaan wujudnya ijmak di dalam hal ini tidak betul, dan tidak boleh didengari, samada yang dimaksudkan ialah ijmak para Sahabat R.A sahaja, atau para sahabat bersama tabiin, ataupun para ulamak Islam ataupun orang Islam keseluruhannya setelah mana kami memulakan permulaan ini.”


(3) Kenyataan beliau ini dijawab oleh هيئة كبار العلماء berhujah dengan hadis Nabi S.A.W yang diriwayatkan oleh Saidina Huzaifah al Yamani;


تلزم جماعة المسلمين وإمامهم، فقلت : فإن لم تكن لهم جماعة ولا إمام؟ قال : فاعتزل تلك الفرق كلها ولو أن تعض على أصل شجرة حتى يدركك الموت

“Kamu mesti bergantung dengan jemaah orang-orang Islam dan kepimpinannya”. Kemudian aku bertanya lagi: “Kalau sudah tidak ada jemaah orang-orang Islam dan kepimpinannya, bagaimana pula wahai Rasulullah?” Rasulullah S.A.W menjawab : “Tinggalkan semua kelompok-kelompok kesemuanya, dan gigitlah tunjang utama pokok sehingga kamu mati..”


Dakwaan Khilafah bukan agenda Islam

(1) Selain itu, Syeikh Ali Abdul Raziq juga mendakwa bahawa membina Khilafah Islamiah itu bukan agenda Islam. Beliau menyatakan dalam halaman 103;


والخلافة ليست في شيء من الخطط الدينية ، كلا ولا القضاء ولا غيرهما من وظائف الحكم ومراكز الدولة وإنما تلك كلها خطط سياسية صرفة لا شأن للدين بها فهو لم يعرفها ولم ينكرها ولا أمر بها ولا نهي عنها ، وإنما تركها لنا لنرجع فيها إلى أحكام العقل وتجارب الأمم وقواعد السياسة

“Khalifah tidak ada dalam mana-mana agenda agama, mahupun badan kehakiman atau fungsi kerajaan dan juga pusat negara, tetapi ini hanyalah semata mata agenda politik yang tidak berkaitan dengan agama kerana ia tidak diterima, tidak juga ditolak, tidak disuruh, tidak juga dilarang. Akan tetapi urusan ini dilepaskan kepada kita untuk menimbang dengan akal, pengalaman dan kaedah kaedah politik.”


Petikan ini menggambarkan bahawa beliau menganggap agenda mengembalikan Khilafah Islamiah atau sistem kehakiman itu bukanlah termasuk dalam agenda Islam.

(2) Banyak lagi ayat ayat sekular yang terkandung di dalam kitab beliau, yang membawa kepada dialog antara Syeikh Ali, dan هيئة كبار العلماء.

Al-Azhar ketika itu kuat menentang idealogi Sekularism hatta dibawa oleh salah seorang pensyarah mereka sekalipun. Manhaj menentang idealogi sesat ini kekal berterusan.

Jika kita lihat dalam silibus Fakulti Usuluddin, Jabatan Aqidah dan Falsafah ada tajuk perbahasan mengenai sekularism yang menjadi ancaman terhadap Umat Islam hari ini.

Oleh: MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL

[1] https://books.google.com.my/books?id=-YFFCwAAQBAJ&pg=PT2&lpg=PT2&dq=%D8%B9%D9%84%D9%89+%D8%B9%D8%A8%D8%AF+%D8%A7%D9%84%D8%B1%D8%A7%D8%B2%D9%82+%D8%A7%D9%84%D8%A3%D8%B2%D9%87%D8%B1&source=bl&ots=NcFovngAyf&sig=ACfU3U3m8Oiy2yfoROuM9iWx1hLiPw8pPQ&hl=en&sa=X&ved=2ahUKEwiNsfLH86XnAhVNWysKHbr4DJk4ChDoATAMegQIBhAB#v=onepage&q&f=falseHARAKAHDAILY 29/1/2020

- Advertisement -