JERANTUT: Sekretariat ADUN Damak dengan kerjasama PAS Kawasan Jerantut dan HALWA DUN Damak telah menganjurkan program agihan pulut rendang di sekitar Bandar Jerantut, di sini kelmarin.
Program ini diadakan bertujuan untuk menyantuni masyarakat kaum Tionghua sempena Tahun Baharu Cina di mana 500 bekas pulut rendang yang turut diminati masyarakat Tionghua telah diedarkan kepada mereka.
ADUN Damak, Ustaz Zuridan Mohd Daud telah mengetuai agihan pulut rendang ini selain turut menyantuni kanak-kanak dengan pemberian sumbangan angpau dalam menceriakan mereka.
Menurut Ahli Jawatankuasa HALWA Damak, Azarina Baharuddin, program ini memberi peluang untuk bersapa mesra dengan masyarakat Tionghua dan berjabat tangan serta berswafoto bersama.
“Saya berasa gembira melihat masyarakat Tionghua menyambut baik kunjungan kami. Perpaduan antara semua kaum menjadi tiang seri keamanan tanah air tercinta,” ulas Ustaz Zuridan pula. – HARAKAHDAILY 28/1/2020