Melakar kemenangan MN menerajui Perak

- Advertisement -

KONVENSYEN Muafakat Nasional Negeri Perak yang telah berlangsung di Kompleks Umno Bahagian Bagan Datuk pada 25 Januari lalu menjadi medan merancakkan agenda bersama Barisan Nasional dan Gagasan Sejahtera ke arah menerajui pemerintahan Kerajaan Negeri Perak dari PRU15 nanti.

- Advertisement -

Konvensyen sehari itu melakarkan sejarah disertai sekitar 4,000 perwakilan PAS dan Umno selaku parti tunjang kepada kedua-dua komponen yang telah menzahirkan iltizam tinggi untuk menghadapi Pakatan Harapan (PH) dalam mengubah landskap politik negeri dan negara.

Kedua-dua pemimpin tertinggi parti iaitu Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Presien Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri menerima resolusi konvensyen di majlis penutupnya.

Salah satu dari enam resolusi itu menyatakan agenda melaksanakan usaha sedaya upaya untuk memenangi PRU15 dengan membentuk Kerajaan Muafakat Nasional Negeri dan Persekutuan secara bermaruah.

Untuk merealisasi matlamat resolusi itu telah dipertegaskan perlunya mempunyai hala tuju yang jelas berlandaskan semangat bersama secara berterusan dan semua pemimpin bersatu hati dalam memacu formula Muafakat Nasional.

“Kali ini insya-Allah akan berlaku dibubarkan BN dan akan muncul Muafakat Nasional,” kata Tuan Guru Abdul Hadi yang mengulang penegasan pentingnya kesatuan dan mengelakkan sama sekali perpecahan.

Model gerak kerja strategik

Nada sama juga disuarakan Ketua Penerangan PAS Perak, Ustaz Hafez Sabri yang mahu kemuncak kerjasama kedua-dua pihak adalah dengan penyusunan gerak kerja sistematik dan strategik, disamping pentingnya kejujuran dan keikhlasan jentera.

Namun, seluruh ahli PAS dan Umno selaku jentera diperingatkan supaya tidak leka, sebaliknya melaksanakan gerak kerja berfokus, terancang dan menyeluruh terutama dalam memberi kefahaman kepada akar umbi masyarakat.

Nasihat bersifat muhasabah itu dilantunkan perwakilan PAS, Rosli Abd Rahman ketika perbahasan supaya menyedari bahawa masih ramai terutama warga luar bandar dan anak muda perlu dijelaskan sebab untuk mereka bersama menyokong dan mendukung Muafakat Nasional.

Kemuka beliau, jentera PAS dan Umno perlu menyedarkan golongan tersebut terhadap banyaknya angkara yang menyebabkan kebimbangan dan kerosakan negara telah berlaku disepanjang pemerintahan PH memandangkan PRU15 boleh terjadi bila-bila masa.

Untuk itu, model atau ‘blueprint’ gerak kerja yang berpaksikan perancangan strategik secara berfokus dan terarah mencapai matlamat Muafakat Nasional mesti segera dihasilkan agar jentera kedua pihak dapat berpadu.

Waspada terhadap perpecahan

Iktibar yang sedang berlaku di negara Palestin, negeri Rakhine Myanmar serta wilayah Xinjiang turut dipasak ke minda para perwakilan supaya tragedi sama tidak berlaku ke atas umat di bumi Malaysia ini.

Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria menelusuri semula sejarah Israel yang asalnya tidak bernegara dan sekadar menumpang di Semenanjung Gaza, tetapi telah merampas bumi Palestin menjadi tanah jajahan dan pendudukan mereka.

Lebih malang, penaklukan itu bermula dengan hanya 4 juta orang Yahudi, sedangkan umat Islam Palestin ketika itu seramai 200 juta orang, namun saling berpecah termasuk dua parti utama iaitu HAMAS dan FATAH turut tidak sehaluan.

Begitu juga Muslim Rohingya yang memiliki pemerintahan sendiri di negeri Arakan Burma, tetapi sejak beberapa dekad telah menghadapi penghapusan etnik dan diperintah Myanmar sebagai negeri Rakhine.

“Bangsa Uyghur bukanlah orang China, negara mereka asal Turkistan Timur. Namun, kerana mahu memecahkan negara-negara Islam sehingga menjatuhkan Kerajaan Uthmaniyah, maka jatuhlah Turkistan Timur di bawah pemerintahan China dam diberi nama Xinjiang,” ujarnya.

Simpul ADUN Gunung Semanggol itu, semua yang berlaku ini antara contoh amalan atau dasar pecah perintah di mana sedang berlaku dalam negara ini di bawah pemerintahan PH didominasi DAP dengan membawa pelbagai tuntutan mutakhir ini.

Antaranya bidas beliau, mahu meletakkan dua tiga bahasa sebagai Bahasa Kebangsaan, sedangkan di negara-negara seluruh dunia yang ada orang Cina, tidak berlaku perkara sedemikian.

Malangnya kini menurut beliau, terdapat pemimpin-pemimpin Melayu yang sedang menjadi boneka DAP dan opurtunis menjayakan usaha parti itu untuk melaksanakan pecah perintah terhadap rakyat negara ini bermajoriti Melayu-Islam.

Potensi MN di Perak

Berdasarkan situasi semasa di Perak, Muafakat Nasional berpeluang memperolehi 40 dari 59 kerusi DUN, manakala 15 daripada 24 kerusi Parlimen dalam PRU15. Dalam PRU14 yang lalu, PH berjaya membentuk kerajaan dengan hanya 30 kerusi serta disokong 1 ADUN Bebas, manakala BN 25 kerusi dan PAS 3 kerusi. Kerusi parlimen pula PH memperolehi 13 dan BN 11.

Malah, kemenangan di peringkat Persekutuan juga teramat perlu memandangkan negara di bawah pentadbiran PH semakin tidak stabil baik dari sudut politik dan ekonomi mahupun antarabangsa yang kian tidak menentu, termasuk hubungan kaum dan agama juga agak menegang.

Apatah lagi rakyat telahpun memberi mesej yang merubah iklim dan suhu politik negara dari panas dan suram kepada sinar perubahan baik ekoran dari keputusan diperlihatkan dalam beberapa PRK kebelakangan ini memberi kemenangan kepada pembangkang mengatasi PH.

Banyak isu seperti kenaikan kos sara hidup, mahasiswa menganggur kian meningkat dan pergelutan dalam antara pemimpin politik PH, antara telah mengurangkan keyakinan rakyat terhadap kemampuan Kerajaan PH untuk terus menerajui negara.

Dalam hal ini, Muafakat Nasional tidak boleh bergantung semata-mata kepada faktor kegagalan Kerajaan PH menanggani isu negara dan kemelut sesama mereka. Sebaliknya, amat penting Muafakat Nasional mencari pendekatan terbaik lagi harmoni untuk kesejagatan ummah dan terbuka kepada mana pihak bukan-Melayu untuk mendukung wadah ini.

Rakyat mesti diberi keyakinan yang menjamin agar mereka sedia memberi undi untuk memandatkan Muafakat Nasional ke mercu pemerintahan Kerajaan Negeri Perak dengan teras “Islam Memimpin”. – HARAKAHDAILY 28/1/2020

- Advertisement -