Virus Corona: Henti terima pelancong China

- Advertisement -

DEWAN Ulamak PAS Wilayah Persekutuan (DUPWP) mengajak seluruh umat Islam di negara ini mengadakan solat Hajat dan bermunajat supaya Allah menghindarkan wabak 2019 Novel Coronavirus (2019-nCoV) atau Virus Corona agar tidak merebak di negara ini. Justeru, DUPWP menyeru masjid-masjid dan surau-surau di Wilayah Persekutuan segera bertindak menghimpunkan jemaah dengan memohon pertolongan dari Allah di saat genting ini kerana Allah sahaja yang mampu mencegah sebarang perkara yang tidak diingini dari berlaku.

Difahamkan, sehingga hari ini telah berlaku 80 korban di negara China dengan kes jangkitan Virus Corona pula meningkat kepada 2,400. Selepas ianya dikesan bulan lalu, beberapa negara lain turut terkena jangkitan seperti Thailand, Vietnam, Singapura, Jepun, Korea Selatan, Taiwan, Nepal, Perancis, Amerika Syarikat, Australia dan Malaysia. Bahkan, telah ada beberapa kes Virus Corona direkodkan di Johor Bahru, Sungai Buloh serta di Langkawi yang dibawa oleh pelancong dari negara China.

DUPWP meminta agar kerajaan tidak memandang remeh penularan wabak ini. Kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Virus Corona di Malaysia masih tidak kritikal adalah kenyataan tidak bertanggungjawab sedangkan banyak pemimpin dunia telahpun mengambil langkah agresif dan serius bagi menangani wabak ini. Malah, kerajaan sendiri tidak berusaha menyekat kemasukan pelancong China sedangkan wabak ini berasal dari negara terbabit.

Banyak negara telah pun mengambil langkah drastik dengan menghentikan penerbangan ke Wuhan dan daerah sekitar termasuk Negara China. Malah, ada negara tidak menerima kemasukan pelancong China dari Wuhan seperti Filipina, Russia, Hong Kong dan lain-lain lagi. Sepatutnya kerajaan bertindak tegas dengan menyekat kemasukan pelancong China buat sementara waktu. Penyebaran wabak Virus Corona amat cepat dan sehingga kini telah ada beberapa orang dijangkiti penyakit tersebut di negara ini. Dibimbangi jika kemasukan mereka tidak disekat, wabak ini akan mudah merebak dalam beberapa hari ini. Apakah kerajaan akan bertindak setelah ratusan orang dijangkiti dan merana akibat penyakit ini?

Dalam pada itu, DUPWP merasa simpati ke atas para doktor perubatan yang sedang bertungkus lumus mengawal dan merawat pesakit Virus Corona. Pastinya risiko yang tinggung oleh mereka jauh lebih besar dan rumit kerana berhadapan dengan bahaya dan mudarat yang bila-bila masa sahaja boleh berlaku. DUPWP mengharapkan pusat-pusat perubatan di negara ini dibekalkan dengan peralatan terbaik serta kemudahan yang mencukupi agar pasukan perubatan dapat bekerja dengan sempurna.

Selain itu, DUPWP ingin mengingatkan masyarakat agar menjauhi aktiviti terbuka dan elakkan berada di tempat awam atau kawasan terbuka seperti pasaraya, kolam renang, padang permainan dan lain-lain. Pastikan masyarakat dibekalkan topeng muka secukupnya dan pastikan kebersihan diri dan makanan dijaga secukupnya. Jika tiada keperluan berada di luar rumah dan di tempat orang ramai serta kawasan terbuka, jauhi kawasan terbabit kerana mencegah adalah langkah terbaik dari mengubati.

HJ MD ALI JAMIL
Ketua Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan – HARAKAHDAILY 27/1/2020

- Advertisement -
- Advertisement -