Gerakan Insaf: Membangkit jiwa kesedaran Islam

- Advertisement -

CABARAN besar dalam menghadapi Pilihan Raya Umum 1969 ekoran sentimen perkauman yang tinggi telah mendorong Dewan Pemuda PAS Pusat menganjurkan satu gerakan kesedaran kepada pemuda-pemuda Islam ketika itu. Gerakan ini dinamakan Gerakan Insaf yang bertujuan melahirkan keinsafan dalam diri para pemuda Islam terhadap masa depan agama, bangsa dan negara, setelah 10 tahun mencapai kemerdekaan. Isu besar yang melingkari umat Islam ketika itu ialah keengganan Perikatan mengiktiraf hak ketuanan Melayu ke atas negara ini dan dalam masa yang sama mereka memberikan hak kerakyatan secara jus soli kepada orang bukan Melayu sehingga jumlah rakyat berbangsa Cina meningkat dengan mendadak dan mengancam kestabilan politik negara.

Strategi yang diambil oleh Dewan Pemuda PAS dalam menghadapi situasi ini ialah dengan memperkemaskan organisasi Cawangan-cawangan Dewan Pemuda PAS, melatih kader-kader Pemuda PAS dan membangkitkan jiwa kesedaran Islam di kalangan para pemuda, terutama untuk memperkenalkan cara hidup Islam. Ketiga-tiga strategi ini disasarkan untuk dicapai menerusi program Gerakan Insaf yang diadakan di seluruh negara mulai 25 Jun 1968 hingga 14 November 1968. Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Jaiz Anwar bersama Ketua Lajnah Tarbiyah Dewan Pemuda PAS, Ustaz Hassan Shukri menjadi arkitek utama gerakan ini. Gerakan ini boleh dikatakan permulaan bagi kebangkitan kesedaran Islam yang berlaku pada 1970-an, sebelum ia menjadi ‘Islamic Revivalism’ pada dekad 1980-an.

Sebenarnya program tarbiyah dalam PAS sudah bermula sejak 1954, tetapi ia belum berlaku secara berkala atau disebut sebagai tarbiyah haraki. Pada 1963, PAS telah menetapkan teks tarbiyahnya, sebelum diikuti oleh kursus-kursus perjuangan (seperti tamrin) yang diadakan pada era kepemimpinan Ustaz Amaluddin Darus (1962-1966) dan Ustaz Abu Bakar Hamzah (1966-1968). Antaranya, program Kursus Perjuangan Kita yang diadakan pada 1967. Gerakan Insaf boleh dianggap gerakan tarbiyah besar-besaran yang pertama diadakan, sebelum diadakan Gerakan Syuhada (1969) dan Gerakan SPEm (1970-1971). Tiga gerakan ini telah memberikan dampak yang besar terhadap kesedaran Islam pada dekad 1970-an.

Gerakan Insaf ini mempunyai lima tujuan iaitu, untuk:

I.     Mewujudkan pemuda-pemuda Melayu dan Islam yang  mempunyai rohani yang tebal untuk mencapai cita-cita politik Islam dan perkembangan negara ini;

II.    Mewujudkan kesungguhan pemuda-pemuda Islam dalam memahamkan umat Islam di negara ini bahawa Islam boleh dijadikan dasar pemerintahan negara;

III.    Mewujudkan semangat jihad dalam usaha menegakkan hukum-hukum Islam di negara ini mengikut lunas demokrasi dan Perlembagaan;

IV.     Mewujudkan persaudaraan di kalangan mereka dalam menghadapi cabaran zaman dan perkembangan idealogi antarabangsa dengan ketinggian keperibadian mereka; dan 

V.     Mewujudkan pandangan dan fikiran Islam di kalangan pemuda yang bukan Islam di negara ini supaya mereka tidak sangsi, ragu serta takut kepada konsep Islam yang akan diusahakan oleh Gerakan Insaf.

Pelancaran Gerakan Insaf telah dibuat di peringkat Dewan Pemuda PAS Cawangan-cawangan mengikut negeri. Negeri pertama yang mengadakannya ialah Perlis pada 25-27 Jun 1968. Ia kemudiannya diikuti oleh Pulau Pinang (29-31 Julai 1968), Kelantan (13-15 Ogos 1968), Terengganu (18-20 Ogos 1968), Kedah (5-7 September 1968), Selangor (10-12 September 1968), Perak (19-21 September 1968), Pahang (27-29 September 1968), Negeri Sembilan (8-10 Oktober 1968), Melaka (29-31 Oktober 1968) dan Johor (12-14 November 1968).

Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Yunus Yatimi, dalam laporannya, menyifatkan keseluruhan program Gerakan Insaf sebagai berjaya dan telah berjalan dengan sempurna. Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Jaiz Anwar mendakwa Gerakan Insaf telah berjaya menjadi titik mula usaha Dewan Pemuda PAS untuk menyerapkan kesedaran Islam di kalangan muda-mudi Islam.

MOHD FADLI GHANI
Ketua Lajnah Sejarah dan Arkib, Sidang as-Sabiqun PAS Pusat – HARAKAHDAILY 27/1/2020

- Advertisement -
- Advertisement -