12K Ansarullah: Muslimat gilap kualiti anggota

- Advertisement -

TEMERLOH: Lajnah Tarbiyah dan Pengkaderan Dewan Muslimat PAS Malaysia dan Negeri Pahang telah mengadakan Pelancaran Jejak 12K yang dilangsungkan di Markas PAS Sungai Gau, di sini kelmarin.

- Advertisement -

Majlis perasmian penuh semangat ini disempurnakan oleh Ketua Muslimat PAS Malaysia, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh dan turut dihadiri Ketua Muslimat PAS Pahang, Ustazah Salamiah Mohd Nor.

Menurut Pengerusi Lajnah Tarbiyah dan Pengkaderan Muslimat PAS Pahang, Ustazah Wan Hamidah Wan Daud, majlis ini adalah kesinambungan dari pelancaran peringkat Pusat di KUIZM, Gombak pada Disember lalu.

“Program ini memberi suntikan motivasi kepada Muslimat mengenai kepentingan usaha bersepadu demi kemenjadian J12K,” ujarnya merujuk penyusunan 12,000 Ansarullah sebagaimana hadis pernah diungkapkan Rasulullah S.A.W.

Ustazah Salamiah yang juga selaku Pengerusi Lajnah Tarbiyah dan Pengkaderan Muslimat PAS Malaysia pula menekankan kepentingan setiap anggota jentera memiliki kriteria berteras AKIFI dalam melengkapkan ciri Ansarullah.

Beliau berharap agar setiap anggota jentera merapatkan diri kepada Allah menerusi taqarrub amal ibadah yang dianjurkan menurut sunnah dan sebagaimana telah dipermudahkan rujukan dari Buku Amalan Muslimat AKIFI.

“Buku Amalan Muslimat AKIFI ini bertepatan dengan kata-kata Umar al-Khattab R.A supaya menghisab diri sendiri sebelum dihisab. Orang Mukmin yang menjadi wali Allah ialah yang tekun dan tabah mengerjakan ketaatan dan meninggalkan kemaksiatan.

“Mereka juga memalingkan diri dari segala kesedapan duniawi. Sikap inilah yang mendekatkan peribadi kepada Ilahi, serta meletakkannya di maqam yang tinggi,” nasihat Ustazah Nuridah memandu penggunaan buku diterbitkan itu.

Serunya, pembentukan peribadi Mujahidah di medan dakwah dan perjuangan menuntut ibadah fardhu dan sunat dilakukan penuh keikhlasan kepada Allah hingga mampu menjadi jentera yang berkualiti.

Beliau menyuntik semangat anggota jentera tersebut dengan kisah pasukan Islam Perang Badar yang hanya berjumlah 313 tentera tapi mampu menewaskan 1,000 tentera Musyrikin dengan izin Allah.

Begitu juga nukilnya kisah pasukan Islam pimpinan Khalid al-Walid dengan cuma 40,000 tentera mampu menewaskan Rom yang berkekuatan 240,000 tentera dan kejayaan lebih hebat diraih tentera Sultan Muhammad al-Fateh.

“Kisah-kisah mereka menunjukkan betapa pentingnya (penjagaan) solat. Solat merupakan tiang agama dan amalan pertama akan dihisab. Jika baik solat, baiklah amalan lain dan begitulah sebaliknya,” ujarnya mengingatkan hadis Rasulullah betapa jumlah ramai hanya kelemahan jika cintakan dunia dan takutkan mati.

Program diakhiri dengan penegasan supaya memantau perjalanan usrah dan melahirkan lebih ramai Naqibat sebagai Muallimah penggerak J12K diikuti baiah dan doa wehdah. – HARAKAHDAILY 27/1/2020

- Advertisement -