Virus Corona: Sekat pintu masuk utama ke S’wak

- Advertisement -

PENULARAN wabak Novel Coronavirus yang telah menular ke Malaysia perlu diberi perhatian serius oleh Kerajaan Pakatan Harapan. Pada 2019, ?CoV merupakan keluarga Virus Corona di mana gejala demam dan sesak nafas terjadi dan virus yang tidak pernah dijumpai pada manusia (novel virus). Setakat 25 Januari 2020 jam 3 petang terdapat sebanyak 14 negara telah dikenal pasti terdapat kes jangkitan virus ini menurut laporan World Healt Organization (WHO).

Di Malaysia, 3 kes telah dikenal pasti positif di Johor. Mereka yang dikenal pasti ini adalah warganegara China. Kerajaan wajar secara agresif dan serius terus mengekang jalan atau laluan yang memungkinkan penularan ini seperti pintu masuk utama di jalan udara dan darat serta laluan perdagangan di kawasan pelabuhan. Negara kita yang menerima kedatangan ramai pelancong luar negara, adalah sangat berpotensi untuk wabak ini menular di negara kita.

PAS menggesa Kerajaan Sarawak juga segera mengeluarkan arahan menyekat kemasukan pelancong dari China serta melakukan saringan terhadap mereka yang datang dari negara yang sudah dikenal pasti terdapatnya kes wabak ini. Program saringan perlu dibuat segera di pintu-pintu masuk utama ke negeri ini terutama kawasan pelancongan dan industri di Sarawak seperti Kuching, Miri dan Bintulu. Selain itu, pintu masuk laluan perdagangan atau perkapalan dan pelabuhan juga perlu mendapat perhatian agar tidak sewenangnya dimasuki tanpa saringan oleh warga asing terutama dari negara yang telah disenaraikan terdapat kes jangkitan virus ?CoV ini.

Di samping itu, PAS juga menggesa masjid-masjid di seluruh negeri Sarawak mengadakan solat hajat bagi memohon kepada yang Maha Esa agar virus ini tidak menular ke negara ini termasuk Sarawak. Masyarakat negeri ini juga diingatkan untuk sentiasa berjaga-jaga dengan mengambil tahu perkembangan semasa, tidak menularkan berita palsu tanpa kenyataan rasmi dari pihak berwajib dan tidak menimbulkan spekulasi yang boleh menyebabkan masyarakat panik.

Melalui langkah pencegahan yang bakal diambil oleh kerajaaan negeri, PAS Sarawak berharap wabak yang boleh mengancam nyawa dan keselamatan penduduk Sarawak dapat dibendung.

HJ JOFRI JARAIEE
Pesuruhjaya PAS Negeri Sarawak – HARAKAHDAILY 26/1/2020

- Advertisement -
- Advertisement -