Virus Corona: Perlu segera sekat warga China 

- Advertisement -

DEWAN Ulamak PAS Pusat (DUPP) mendesak pihak Kerajaan Malaysia untuk mengambil tindakan pantas dengan mengeluarkan arahan menyekat kemasukan pelancong China ke dalam negara sebagai langkah pencegahan dari jangkitan wabak Virus Corona..  
 
Tindakan tersebut adalah selaras dengan kaedah sad az-zari’ah (سد الذريعة) yang terdapat dalam displin ilmu fiqh demi memelihara dari mafsadah yang jelas dan diyakini berlaku. Ini kerana, pihak Kerajaan China sendiri mengenakan perintah kuarantin terhadap hampir 20 juta penduduknya di Wuhan dan beberapa bandar berdekatan sebagai tindakan susulan terhadap virus itu menurut laporan yang disiarkan oleh portal berita Astro Awani.  
 
Dalam Islam, sudah jelas panduan berkaitan wabak berjangkit yang tular iaitu dengan tindakan sekatan atau kuarantin agar dapat mengekang dari merebak ke luar sehingga keadaan semakin parah. Ini selaras dengan Maqasid al-Syariah bagi memelihara nyawa sebagaimana tindakan yang diambil oleh Sayiduna Umar al-Khattab di zaman pemerintahannya apabila berlaku wabak di negara Syam. Malah jelas dalam hadith Rasulullah S.A.W: 
 

- Advertisement -


إذَا سَمِعْتُمْ بِهِ بِأرْضٍ، فلاَ تَقْدمُوا عَلَيْهِ، وإذَا وَقَعَ بِأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا، فَلا تخْرُجُوا فِرَارًا مِنْهُ 
 
“Apabila kamu mendapati wabak di sesebuah negeri, maka jangan kamu masuk ke dalamnya dan apabila kamu berada di dalam tempat tersebut, maka jangan kamu keluar melarikan diri dari tempat itu”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim) 
 


Selain itu, semua pihak diminta untuk mengambil langkah berjaga-jaga dengan mematuhi tip-tip keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berautoriti agar memastikan keadaan terkawal dari sebarang jangkitan yang tidak diingini.  
 
DUPP juga mengharapkan kempen kesedaran bagi langkah berjaga-jaga terhadap wabak virus terus dipergiatkan serta menyeru umat Islam untuk mengadakan solat hajat agar Allah S.W.T memelihara negara Malaysia khususnya dari sebarang musibah dan malapetaka.  
 
Firman Allah S.W.T:  
 


۞ وَأَیُّوبَ إِذۡ نَادَىٰ رَبَّهُۥۤ أَنِّی مَسَّنِیَ ٱلضُّرُّ وَأَنتَ أَرۡحَمُ ٱلرَّ ٰ⁠حِمِینَ * فَٱسۡتَجَبۡنَا لَهُۥ فَكَشَفۡنَا مَا بِهِۦ مِن ضُرࣲّۖ وَءَاتَیۡنَـٰهُ أَهۡلَهُۥ وَمِثۡلَهُم مَّعَهُمۡ رَحۡمَةࣰ مِّنۡ عِندِنَا وَذِكۡرَىٰ لِلۡعَـٰبِدِینَ 


 
Firman Allah S.W.T; 


“Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ayub, ketika ia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: “Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani”. Maka Kami perkenankan doa permohonannya, lalu Kami hapuskan penyakit yang menimpanya, serta Kami kurniakan kepadanya: keluarganya, dengan seganda lagi ramainya, sebagai satu rahmat dari Kami dan sebagai satu peringatan bagi orang-orang yang taat kepada Kami (supaya bersabar dan mendapat balasan baik).”


[al-Anbiya’: 83 – 84] 


 
Sekian.  
 
YB DR NIK MUHAMMAD ZAWAWI SALLEH 
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat 
Ahli Parlimen Malaysia (Pasir Puteh) – HARAKAHDAILY 26/1/2020

- Advertisement -