Moderate dan strategi UAE mendominasi pengaruh

- Advertisement -

MODERATE

(1) Sebelum ini saya ada tulis artikel mengenai persaingan pengaruh UAE – Arab Saudi – Qatar yang memberi pengaruh dan kesan kepada Umat Islam.

Kali ini kita akan lihat pula mengenai agenda Barat bagi memastikan Umat Islam itu sentiasa berpecah. Antaranya melahirkan agamawan yang menolak kewajipan menyatukan Islam di bawah satu pemerintahan.

(2) Pelan ini boleh kita lihat dalam banyak kajian RAND Corporation yang telah saya ulas sebelum-sebelum ini. Secara asasnya, mengasingkan politik daripada Islam, adalah agenda Sekularism.

(3) Dalam masa yang sama ia agak selari dengan usaha usaha moderate yang mula segar pada 2004-2006 pasca pelanggaran WTC 11 September 2001.

Era tersebut dinamakan sebagai Islamofobia yang dilancarkan oleh Amerika. Ketika dunia sedang berkecamuk berhadapan dengan agenda Amerika ini, muncullah Moderate.

(4) Moderate cuba membawa Islam yang sederhana mengikut acuan Amerika. Iaitu menolak keganasan-keganasan yang ditempelkan kepada gerakan-gerakan Islam.

Era Islamophobia itu diwarnai dengan kemunculan al-Qaeda tajaan Amerika dan watak Osama bin Laden. Dunia-dunia Islam diserang oleh Amerika atas alasan memerangi keganasan.

Kemunculan moderate agak berstrategi ketika itu, iaitu menyelinap masuk dalam gerakan-gerakan Islam yang berpotensi untuk ‘dimoderatekan’.

Memecahkan Umat Islam

(1) Antara gerakan-gerakan Islam yang cuba dimasuki agenda moderate ialah Parti Refah di Turki, Parti Nahdhoh di Tunisia dan PAS di Malaysia.

a- Parti Refah setelah diharamkan pada era Islamophobia terpecah menjadi dua, iaitu AKP dan Parti Saadat. Parti Saadat cuba mengekalkan prinsip Islamnya.

Manakala AKP yang menang pilihan raya sudah terjangkit dengan agenda moderate, yang dipimpin oleh Erdogan. Kesemua ini berlaku pasca 11/9.

b- Parti Nahdhoh di Tunisia telah bertukar wajah, daripada gerakan Islam akhirnya dikuasai oleh geng-geng moderate membawa agenda progresif mereka.

c- PAS di Malaysia ‘bertempur’ dalam diam dengan geng moderate dan akhirnya mereka keluar daripada PAS menubuhkan parti lain yang dikenali hingga ke hari ini.

(2) Begitulah sejarah ringkasnya yang perlu kita fahami sebelum menerjah ke dunia antarabangsa. Bukan sekadar moderate, akan tetapi usaha membina gerakan Sufism juga diperkasa.

Gerakan-gerakan Sufism ini disegarkan bagi mewujudkan pertembungan dengan gerakan-gerakan Islam. Antara yang boleh diperhatikan melalui catatan Cheryl Bernard dalam kajian RAND Corporation.

Tajuk kajian ialah Building Moderate Muslim Network pada 2007. Tulisan beliau yang membahagikan Umat Islam kepada 4, yang telah saya tulis sebelum ini sedikit sebanyak menyumbang kepada pertembungan idealogi sesama Umat Islam.

Strategi UAE

(1) Hari ini UAE cuba ‘memuncul’kan dirinya sebagai ketua Umat Islam setelah bersaing lama dengan Arab Saudi. Sementara Arab Saudi seolah-oleh tergugat.

Antara yang disiarkan dalam Middle East Eye pada 21 Januari 2020 yang lalu, UAE telah menegaskan dirinya sebagai sebuah ‘powerhouse’ siber.

(2) UAE menggunakan keupayaan sibernya bukan hanya untuk sabotaj dan perisikan, tetapi juga untuk subversi, iaitu menstrukturkan naratif bagi menguasai masyarakat di rantau MENA (gambar).

Berbeza dengan ‘convensional wisdom’ dasar luar UAE yang kelihatan jauh dari Sekular. Meta-naratif ‘toleransi’ dan ‘keagamaan’ bukan sekadar alat ‘soft power’ untuk mendominasi Islam dan melemahkan Islamisme di rantau ini.

Ia turut berfungsi sebagai ‘cengkerang walaupun berongga’ secara intelektualnya, untuk mempromosikan bentuk ‘Islam baru’ secara ‘politically quietist’.

(3) UAE juga mengkaji bahawa kuasa agama dan idealogi mampu mencorak minda masyarakat di dunia Arab. Poinnya ialah ‘Promotion of Sufism is everything but secular’.

Ringkasnya ialah, senjata UAE yang paling ampuh untuk menguasai MENA ialah melalui elemen keagamaan dan idealogi. Sebab itulah munculnya Sufi-Sekular.

Pasca 11/9 dan Arab Spring

(1) Pada pertengahan era 2000-an, Abu Dhabi (UAE) muncul sebagai sebuah negara yang bermodelkan Sekular, iaitu menganjurkan kempen pemisahan masjid dan negeri.

Usaha penerapan Sekular ini dipuji oleh Barat kerana selama ini Barat memandang Asia Barat sebagai negara-negara yang bermasalah buat mereka.

(2) Kemunculan UAE dengan wajah baru pasca 11 September itu sedikit sebanyak ‘memujuk hati’ Amerika yang agak runsing dengan negara-negara Arab yang bermasalah.

(3) Pasca Arab Spring 2011, memperlihatkan suasana negara-negara Arab yang hancur. Kita sedar itu adalah agenda Amerika, dan ia turut dibantu oleh negara-negara Arab yang lain.

Antara pembantu kuat Amerika ialah Arab Saudi, UAE dan Mesir. Di saat kehancuran negara-negara Arab itu, UAE cuba muncul sebagai negara yang agak selari dengan Amerika

Walaupun berlainan aliran dengan Arab Saudi, namun UAE juga menyimpan hasrat untuk mengurangkan pengaruh Arab Saudi sepertimana yang diceritakan tadi.

(4) Antara yang disebutkan dalam Middle East Eye,

a- Sebagai juara pengkritik yang mengisytiharkan diri sendiri, Abu Dhabi telah menggunakan Sufisme dengan bijak untuk mewakili ‘Islam sejati’.

Ia bagi menawarkan satu penawar mujarab yang jelas untuk menyembuhkan penyakit ekstremis Salafisme, sambil menyediakan asas ontologi yang lebih mudah.

b- Tujuannya yang diuar-uarkan adalah untuk menolak keganasan (ekstremis) yang sepenuhnya dikaitkan pada teologi. Justeru, mereka mengabaikan bukti empiris faktor sosiopolitik yang lebih dikaitkan dengan keganasan.

Memasarkan idealogi

(1) Untuk menjayakan strategi mengaitkan keganasan itu atas faktor teologi, maka Abu Dhabi telah membentuk pusat-pusat teologi di Libya, Mesir dan UAE sendiri.

Strateginya ialah menyebarkan versi Islam yang pada pandangan pertamanya adalah satu ketenangan. Tetapi pada pandangan yang lebih dekat, ia sama sahaja.

(2) Persidangan Grozny 2016 mengenai Sunni Islam, dibiayai secara bersama oleh UAE dan Mesir dan diselaraskan oleh Presiden Chechnya iaitu Ramzan Kadyrov.

Beliau merupakan rakan kamceng Mahkota Putera UAE iaitu Mohammed bin Zayed. Mereka menyeru supaya kembali kepada versi Islam yang lebih ‘bertolak ansur’ dan menolak kerja-kerja politik.

(3) Forum tersebut mempromosikan keamanan dalam Masyarakat Islam, yang diketuai oleh Ulamak Sufi, Sheikh Abdullah bin Bayyah dan beberapa orang lagi.

Banyak lagi contoh yang boleh dikaitkan dengan projek-projek UAE untuk memasarkan idealoginya melalui pemerkasaan terhadap beberapa saluran.

Antaranya melalui usaha promosi pusat-pusat teologi, persidangan dan sarjana. Sufisme menjadi ‘counterpole’ kepada Salafisme yang dilihat agak ‘syadid’.

(4) Oleh itu, UAE menawarkan asas teologi untuk kesetaraan moral antara Islamisme dan keganasan. Kedua-dua ini adalah unsur penting dalam strategi komunikasi Abu Dhabi di rantau ini. 

KL Summit dan nasib Saudi

(1) Bukan sekadar UAE dan cita-cita strategi mereka, jangan terkejut sekiranya Malaysia juga dilihat ingin menceburkan diri dalam persaingan ini. Apabila Tun M mengadakan KL Summit pada Disember 2019.

KL Summit menghimpunkan beberapa negara Umat Islam, antaranya Qatar yang merupakan pesaing Arab Saudi dan UAE. Jangan main-main dengan agenda Tun M sebagai senior dalam politik.

(2) Antara yang digambarkan oleh KL Summit ialah negara-negara Arab sudah tidak boleh diharap lagi untuk memimpin Umat Islam, apatah lagi konflik di Asia Barat didalangi sendiri oleh Blok Arab bersama Amerika.

Qatar antara yang memihak kepada KL Summit 2019. Menggambarkan negara yang sedang bersaing dengan Arab Saudi dan UAE ini mula lari dari blok itu.

(3) Apakah kesudahan Arab Saudi? Bernard Lewis antara yang hadir dalam Persidangan di Nixon Centre pada 2013 merupakan pemikir utama dalam mencorak perang di Asia Barat.

(4) Pada 1983 Bernard Lewis telah melakarkan peta New Middle East yang melukis pelan percaturan Amerika terhadap Asia Barat. Tujuannya ialah menjayakan Israel Raya.

Antara yang terkena catur tersebut ialah Arab Saudi berdasarkan update kepada NME Bernard Lewis. Negara ini dirancang oleh Amerika untuk dikerat-kerat menjadi beberapa buah negara.

a- Makkah dan Madinah diletakkan di bawah negara baru, iaitu Islamic Scared States. Sempadan Yaman dan Jordan diperbesar memakan tanah Saudi.

b- Di sebelah Timur Arab Saudi akan diberikan kepada negara baru yang dinamakan Arab Shia State yang berangkai dari Iraq. Manakala Qatar dan UAE dikekalkan.

Oleh: MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 26/1/2020

- Advertisement -
- Advertisement -