Kesan turun harga rumah untuk warga asing

- Advertisement -

DEWAN Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) menggesa pihak Kerajaan Negeri Selangor untuk mempertimbangkan kembali keputusan yang menurunkan harga rumah untuk pemilikan asing jenis strata dari RM2 juta kepada RM1.5 juta bermula 1 Januari lalu atas alasan bagi mengatasi lambakan rumah mewah yang tidak terjual selain membantu kitaran dalam sektor pembinaan.

Isu lambakan rumah mewah oleh pemaju yang tidak terjual saban tahun tidak wajar diselesaikan dengan jalan pintas seperti menurunkan had bagi warga asing kerana ia boleh menyebabkan beberapa kesan negatif lain yang timbul disebabkan itu.

Isu lambakan rumah mewah ini berdasarkan pemerhatian adalah disebabkan antaranya ketidak sepadanan antara permintaan dan penawaran. Pemaju tidak mengambil faktor kelayakan dan tahap kemampuan pembeli dalam menawarkan rumah mewah dengan ciri-ciri yang dijadikan asas untuk dinaikkan harga.

Penurunan harga bagi warga asing hanya akan menyebabkan beberapa kesan negatif lain yang akan timbul dan menjejaskan sektor sosial kehidupan pula. Di samping itu, sekalipun status tanah tidak terlibat kerana hanya melibatkan perumahan jenis strata namun kesan pada sudut ekonomi juga boleh timbul seperti:

i. Mainan harga jualan dan pembelian rumah selepas pembelian pertama terjadi.
ii. Lonjakan harga oleh pembeli asal warga asing dengan penyewaan kepada warga tempatan.

Selain itu, penetapan mudah warga asing menerusi pembelian rumah mewah yang telah diturunkan hadnya juga dibimbangi kerana lambakan warga asing pula yang akhirnya memberi kesan pada sosial sementara pekerja asing yang direkodkan sahaja pada tahun 2019 mencecah 1 juta, tanpa mengambil kira bilangan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang terus menerus mencerobohi negara.

DPPNS dalam isu ini berpandangan bagi membantu menyelesaikan isu ini perlulah satu perancangan serius yang lebih tuntas berbanding jalan pintas sekadar ‘mencairkan kebekuan’ pada rumah mewah yang tidak terjual sejak sekian lama. Perancangan untuk jangka panjang yang boleh diambil ialah:

i. Tindakan tegas kepada pemaju yang menjadi punca isu ini ekoran pembinaan rumah mewah jenis strata yang berlaku ketidak sepadanan antara penawaran dan permintaan, sama ada mereka dikenakan denda dan digantung lesen.

ii. Penyaringan yang lebih ketat terhadap kelulusan pemberian projek perumahan kepada mana-mana pemaju yang ada rekod buruk dan tidak menuruti ciri-ciri pembinaan yang ditetapkan.

Selain itu, bagi menyelesaikan isu sedia ada ini, adalah dicadangkan:

i. Terus mengekalkan had harga asal bagi warga asing.
ii. Membuka kepada syarikat-syarikat atau individu korporat kalangan warga tempatan Bumiputera dengan tawaran penurunan harga yang lebih rendah.

DPPNS mengharapkan agar isu lambakan rumah mewah ini diatasi dengan baik serta mengambil kira pelbagai aspek yang tidak memberikan kesan negatif yang tidak dijangka pada masa hadapan.

“Demi Islam”
“Bangkit: Pemuda Perintis Kebangkitan Ummah”

USTAZ HJ MOHAMED SUKRI OMAR
Timbalan Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor – HARAKAHDAILY 26/1/2020

- Advertisement -
- Advertisement -