Bukan polis sahaja disusahi perkauman

- Advertisement -

SEKALIANNYA wajar terharu dan sayu atas sungutan Ketua Polis Negara, Tan Sri Hamid Bador betapa apa yang dikatakan politik perkauman orang-orang politik telah menyusahkan polis bagi menjalankan tugas menjaga keamanan negara dan rakyat.
      
Sepatutnya dengan bilangan angkatan polis yang ada digunakan untuk mencegah jenayah dan segala ancaman keselamatan di dalam dan dari luar negara. Apa yang terjadi justeru politik perkauman orang dan parti-parti politik cukup ramai mereka terpaksa digunakan bagi membendung haba politik perkauman.
     
Maka selepas bersungut itu, menyeru KPN Abdul Hamid Bador agar parti-parti membendung politik perkauman supaya ia tidak menyusahkan polis bagi menangani perang terhadap jenayah dan memastikan keamanan, moga-moga orang politik akan berpolitik.
     
Sungutan KPN berasas dan seruannya amat mulia. Wajar dan kewajipan semua penduduk terutama rakyat insaf dan menghormati sungutan itu.
     
Yang malang dengan kewujudan perkauman itu bukan sekadar polis yang peratusnya di kalangan rakyat amat kecil telah disusahkan, bahkan berjuta rakyat dan pemastautin di negara ini telah disusahkan. Ia juga telah dan sedang menyusahkan pemain perkauman itu sendiri, tetapi ia adalah mereka.
      
Tiada politik mereka jika tiada perkauman. Sejak sebelum merdeka ia dikutuk oleh semua termasuk yang mengutuk itu pemain perkauman itu sendiri.
     

- Advertisement -

Amat payah hendak memikirkan bagaimana seruan mulia KPN itu dapat dihayati dan didengar sekalian haiwan politik itu. Saya tidak mahu kata seruan itu suatu yang biasa, tetapi ia barang keji yang tidak semua mahu tinggalkan.
     
Perkauman itu keji tetapi ia boleh dikira halal. Semua mengutuknya tetapi hati masing-masing senyum untuk meneruskannya. Keji perkauman adalah ibarat keji perceraian dalam Islam. Ia dibenci Allah tetapi ia halal. Perkara halal yang dibenci.
     
Perkauman di Malaysia ini adalah melibatkan kaum yang berbeza, agama yang berbeza dan kepercayaan politik yang berbeza. Perkauman itu mudahnya disediakan oleh penjajah. 

Sebelum penjajah datang orang Melayu adalah Hindu. Tiada yang peduli akan perkauman itu wujud semasa mereka Hindu itu. Jika Hindunya seperti Hindu sejagat, ia ada kasta. Kasta ada isu perkauman.
     
Penganut Hindu itu seluruhnya menjadi Islam bila Islam datang. Dipercayai Islam yang bebas perkauman itu mendorong pertukaran agama itu. Cuma yang memisahkan antara sesama Islam itu bukan perkauman tetapi sistem Feudal antara bangsawan dan hamba yang ada dalam universal amalan Feudal.
      
Mungkin Melayu tidak kenal perkauman baik mereka Hindu dan kemudiannya Islam. Siapa juga dari Benua Hindi dan Benua Cina boleh singgah tanpa visa dan boleh menentap terus di sini asal mereka menjadi Melayu. 

Ramai Hindu bersama Mamak dari India masa itu bila ke sini kahwin dengan Melayu jadi majoriti Melayu termasuk keturunan Dr Mahathir. Dan ramai juga Cina yang singgah dan menetap, yang tidak menukar agama menjadi masyarakat baba dan nyonya di Melaka dan Pulau Pinang. Rata-rata Baba di Melaka tidak tahu bercakap Cina.
      
Itu Tanah Melayu sebelum datang penjajah. Yang datang bersama penjajah menjadi komuniti tersendiri. Menjelang merdeka mula menjadi komuniti bukan Melayu. Dan ia disediakan menjadi bukan Melayu yang amat kecil dan tidak menjadikan Tanah Melayu wilayah majmuk.
      
400 tahun Tanah Melayu dijajah rakyatnya tidak majmuk seperti Filipina dan lain-lain wilayah Asia dan Afrika yang ditinggalkan penjajah. 

Perkauman mula wujud menjelang kemerdekaan termasuk kemunculan Komunis. Sekalipun Komunis itu dikatakan menolak perkauman, tetapi banyak kejadian perkauman antara Komunis Cina dan Komunis Melayu.
      
Maka itulah latar belakang perkauman itu disediakan oleh Malaya merdeka dan dikatakan perkauman itu adalah asam garam Kontrak Sosial pembentukan wilayah memerdeka itu.
     
PAS dan komuniti yang menjadi PAS tidak pernah menerima aduan menjadikan bukan Melayu sejak sebelum merdeka itu sebagai watan dalam masyarakat merdeka. 

Tetapi banahan demokratik PAS itu dilabelkan sebagai perkauman oleh semua. Bukan Melayu saja mengira PAS menyuburkan perkauman, kaum Melayu yang menjadi tulang belakang pemerintahan pun mengira PAS perkauman dan PAS-lah yang membenih perkauman seperti habanya menyusahkan KPN menjalankan tugasnya.
      
Sejak mula Malaysia diasaskan sebagai wilayah perkauman. Dan apa yang Islam dan PAS perjuang selama ini digarap semua sebagai  penggalak perkauman. PAS istiqamah segala perkembangan bergejala Iblisawi dibantah mengikut tuntutan Islam. Yang dibantah itu semuanya dikira mengembangkan perkauman. Tidak kira perkauman Melayu atau pelampau agama.
      
Suara Melayu di zaman Hindunya dan di zaman Islam selepas itu semuanya suara Nasionalis kerana masyarakat pada itu tidak plural. Ia jadi perkauman bila terbentuk masyarakat plural. Bukan menyuarakan kepentingan dan ketuanan Melayu saja dikira perkauman, menyuarakan dakwah Islam lanjutan dari ajaran Nabi S.A.W pun dibangsakan perkauman.
      
Perkauman itu tidak wujud jika masyarakat Melayu selepas merdeka sama seperti masyarakat Melayu semasa Hindu dan semasa Islamnya.
      
Perkauman itu mulanya kecil. Tidak bahaya seperti bermain anak ular oleh penggemar ular. Kepala ular boleh dimasukkan ke dalam mulut. Mungkin anak ular itu sendiri suka begitu. Tetapi bila ular itu menjadi bapak ular, ia menjadikan semuanya payah. Bukan payah polis menjalan tugas dan semua rakyat payah untuk meneruskan hidup dan menyuburkan demokrasi.
   
Demokrasi itu adalah sebagai sistem politik dan kehidupan selepas Islam. Tetapi demokrasi telah digunakan bagi menyuburkan perkauman. Perkauman mungkin tidak hidup di Malaysia jika tidak ada demokrasi. Indahnya demokrasi itu ialah mahukan sama rata dan sama rasa. 

Ketika ia diperkenalkan oleh elemen Sosialis dulu, ia terhalang kerana ia adalah awalan kemahuan Komunis dan dalam Komunis tiada Raja dan tiada Datuk.
     
Demokrasi cara itu ditolak penjajah dan Melayu suka dengan cara penjajah masa itu. Selepas Komunis jadi abu seperti abu Chin Peng, semua taburan dan pekerjaan, olik dan soal mesti mengikut demokrasi sama rata.
      
Apa yang dahulunya bagi Melayu Islam saja, hari ini mesti diagih sama rata. Yang tinggal bagi Melayu sekarang hanya takhta, mufti, imam masjid dan surau. Sampai kiamat bukan Melayu dan DAP tidak minta jadi imam.
       
Tiada salah dan dosa bagi bukan Melayu mahu demokrasi sama rasa itu. Dosa pada sosialnya bila ia dihalang.
      
Melayu dan Islam tidak senang dengan sama rasa itu sekalipun mereka menerima demokrasi. Hak Islam menyamakan jangan pada demokrasi sama rasa itu menimbulkan perkauman. Bila hak-hak itu dipertahan ia suka membendung perkauman.
      
Bukan Islam tidak buat kerja dan tanggungjawab jika ia tidak tuntut hak sama rasa itu. Bila mereka mahu demokrasi sama rasa, mereka dikira memajukan perkauman. Jika tidak dimajukan, tidak mempromosikan demokrasi.
      
Apa polis dan politik boleh buat bagi menghalang perkauman. Menghalang perkauman seperti menghalang asap masuk ke rumah dari kawasan kebakaran. Menghalang perkauman ibarat menghalang jerebu dari kebakaran negara jiran.
      
Tiada perkauman tiada demokrasi. Jika demokrasi wajib, perkauman jadi harus.

SUBKY ABDUL LATIF- HARAKAHDAILY 25/1/2020

- Advertisement -