Tarbiyah mantap lahirkan individu istiqamah berjuang

- Advertisement -

MUAR: Pelaksanaan program tarbiyah secara serius dan bersistematik walaupun terpaksa menghadapi pelbagai cabaran akan melahirkan pimpinan dan ahli yang istiqamah serta sanggup mati demi menegakkan perjuangan Islam.

- Advertisement -

Perkara ini ditegaskan Timbalan Pesuruhjaya merangkap Pengerusi Lajnah Tarbiyah dan Perkaderan PAS Negeri Johor, Roslan Nikmat dalam program Tamrin Nuqaba’ PAS Kawasan Muar di Pusat Tarbiyah PAS Muar, Parit Pechah, di sini kelmarin.

Objektif program tahunan ini adalah untuk memantapkan lagi pentarbiyahan dalam kalangan pimpinan PAS melibatkan seluruh entiti iaitu Ahli-ahli Jawatankuasa dari PAS Kawasan, Dewan Muslimat, Dewan Pemuda serta semua Ketua dan Setiausaha Cawangan.

Menurutnya, perkataan ‘tarbiyyah’ itu sendiri berasal dari kata robba, yurobbi, tarbiyyatan yang maksudnya memperbaiki, mendidik, menjaga, menumbuh, mengurus dan mengembang iaitu proses penjagaan dan pemeliharaan fitrah manusia untuk mencapai tujuan hidup.

Tambah Roslan lagi, kelemahan dalam pentadbiran tarbiyah akan menyebabkan pengurusan pimpinan dan juga ahli bawahan hilang kredibiliti seorang pejuang sebenar.

“Ini adalah disebabkan sikap seperti culas dalam menunaikan tanggungjawab, tidak patuh arahan, tidak membantu gerakerja jemaah, tidak tahan ujian kesusahan, berbalah sesama sendiri, terlibat dalam perkara khurafat dan maksiat, tidak jujur, tidak hadir mesyuarat, kuliah, tamrin, liqa fikri dan sebagainya,” ujar beliau

Roslan merujuk kepada kata-kata Almarhum Tuan Guru Yahya Othman bahawa tarbiyah adalah sumber mata air dan urat nadi perjuangan Islam dan tidak mungkin sebuah gerakan Islam berjaya tanpa tarbiyah.

Terdahulu dari itu, Yang Dipertua PAS Muar, Abdul Aziz Talib menerangkan senarai aktiviti program tarbiyah yang telah diadakan oleh semua entiti PAS Muar.

Antaranya, kuliah haraki mingguan, usrah mingguan Dewan Pemuda, Dewan Muslimat, Gen 3, dan Ameerah Muar serta Usrah Nuqaba setiap awal bulan, usrah cawangan, usrah Zon Maharani/Sungai Balang dan Tamrin Qiadi.

“Pihak pimpinan harus terus memantau pengurusan setiap entiti-entitinya dengan mengutamakan program tarbiyah di samping aktiviti lain. Setiap program tarbiyah harus dipatuhi oleh semua peringkat pimpinan,” peringatnya.

Program Tamrin Nuqaba ini turut diisi dengan solat berjemaah, program qiamulail dan tazkirah Subuh dengan turut hadir sama ialah Timbalan dan Naib Yang Dipertua, Cheman Yusoh dan Dr Mohamad Taslim serta Ketua Muslimat, Norhayati Sulaiman. – HARAKAHDAILY 24/1/2020

- Advertisement -