Siasat SIS mungkin bawa agenda pihak asing

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyifatkan pembunuhan aktivis dakwah, Yousuf Deedat di Afrika Selatan minggu lalu sebagai tindakan pengecut pihak yang telah kalah hujah berdepan sarjana Islam itu.

- Advertisement -

Yousuf yang merupakan anak pendebat dakwah Islam tersohor dunia, Syeikh Ahmad Deedat ditembak daripada belakang ketika keluar dari sebuah mahkamah dan dikejarkan ke hospital sebelum meninggal dunia tiga hari selepas itu.

Tuan Guru turut menyuarakan mengenai keputusan Mahkamah Antarabangsa (ICJ) bahawa Myanmar bersalah melakukan penghapusan etnik Rohingya dan amat mengalu-alukan perkara itu agar negara tersebut mematuhi resolusi telah ditetapkan.

“Orang bukan Islam di Malaysia juga kena itulah, fahamlah. Kita orang Islam sendiri tak macam begitu, tak macam dia buat kepada orang Islam di Rohingya itu. Kita letakkan mereka sama dengan masyarakat majmuk dengan kita. Beri kerakyatan,” ujarnya membangkitkan kesedaran.

Perkara-perkara tersebut diulasnya ketika bertemu media selepas Kuliah Jumaat di Masjid Rusila, Marang, pagi tadi.

Menjawab pertanyaan media mengenai isu Sister In Islam (SIS), beliau menegaskan bahawa perkara berkait dengan Islam perlu dirujuk kepada pihak yang bertanggungjawab mengenainya iaitu Majlis Agama Islam, Majlis Fatwa Kebangsaan dan Majlis Raja-raja.

Jelasnya, perkara tersebut telah menjadi ketetapan negara di mana semasa Tun Salleh Abbas menjadi Hakim Mahkamah Tinggi dam Ketua Hakim Negara pernah diputuskan mengenainya.

Bahkan, Tuan Guru turut menggesa supaya Sister In Islam disiasat kerana mungkin mempunyai hubungan dengan negara asing yang cuba membawa agenda luar ke negara ini

“Sebab di sana ada tuduhan-tuduhan melibatkan negara asing, yang menggerakkan mereka untuk menjadi masalah kepada umat Islam di sini. Itu perlu disiasat. Adapun buat hukum agama itu, kena tanyalah pihak berkuasa agamalah,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 24/1/2020


- Advertisement -