IPOH: Kehangatan penyatuan ummah semakin terasa khususnya menjelang pelaksanaan Konvensyen Muafakat Nasional Peringkat Negeri Perak bertempat di Kompleks Umno Bagan Datuk bermula pagi esok.
Pengerusi Bersama Jawatankuasa Penyelaras, Ustaz Misbahul Munir Masduki dan Dato’ Hasbullah Osman menyeru seluruh rakyat yang cintakan penyatuan ummah untuk hadir khususnya Ceramah Perdana Muafakat Nasional pada sebelah malamnya.
“Ayuh seluruh pemimpin Umno dan PAS di Bahagian dan Kawasan untuk menggerakkan kehadiran ahli-ahli hadir dengan sokongan padu menjayakan peristiwa bersejarah ini sekali gus membuktikan persediaan untuk memerintah negeri Perak.
“Kita sudah pastinya menantikan ucapan Presiden PAS dan Presiden Umno yang akan menjadikan hala tuju kerjasama politik di negeri Perak ini,” ujar Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria.
Pengerusi Umno Perak, Dato’ Saarani Mohamad pula berharap ketika sesi raptai penuh agar segala perancangan dan persiapan akan berjalan lancar dan mencapai matlamatnya.
Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Perak, Ustaz Hafez Sabri berkata, Konvensyen Muafakat Nasional ini adalah kelangsungan kepada Himpunan Penyatuan Ummah (HPU914) di Kuala Lumpur tahun lalu.
Menurutnya lagi, Perak menjadi tumpuan kerana bermulanya detik Penyatuan Ummah khususnya PAS dan Umno adalah ketika himpunan terbesar di Pasir Salak dan kini bakal menyaksikan sejarah baru politik tercipta di Bagan Datuk.
Turut dijemput membentang kertas kerja dalam konvensyen kali ini, Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad dan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dato’ Seri Dr Zambry Abdul Kadir. – HARAKAHDAILY 24/1/2020