KKM wajar ambil peranan kempen bahaya arak

- Advertisement -

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) tidak wajar lepas tangan dalam isu pemandu mabuk yang melanggar orang awam sehingga menyebabkan kematian. Walaupun peraturan menguatkuasa larangan minum arak di lokasi tertentu adalah di bawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), namun Kementerian Kesihatan mesti bertindak agresif mengambil langkah preventif seperti yang dilakukan ke atas perokok dan penghisap vape

Persoalannya, adakah KKM mempunyai kehendak politik yang kuat untuk melaksanakan inisiatif tersebut? Minum arak dan memandu dalam keadaan berbahaya sehingga mengorbankan nyawa orang awam yang tidak bersalah bukan isu melibatkan kaum tertentu, tetapi ia adalah pembelaan hak manusia paling asas iaitu hak untuk hidup. Jika KKM boleh melakukan kempen larangan merokok dan mengenakan denda terhadap perokok, mengapa tidak melakukan perkara yang sama terhadap pemandu mabuk? 

Dewan Muslimat PAS Malaysia menuntut agar pihak KKM memobilisasi kempen besar-besaran bahaya arak di seluruh Malaysia. Kementerian juga boleh bekerjasama dengan PBT di setiap negeri untuk melarang penjualan arak secara berleluasa di kedai-kedai serbaneka. Kesan buruk arak sangat besar terhadap individu peminum dan juga institusi keluarga serta masyarakat. Kemalangan maut yang disebabkan oleh pemandu mabuk sangat banyak dan perlu dibanteras secara besar-besaran.

“Islam Memimpin Perpaduan”

YB SENATOR USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat
Ahli Dewan Negara – HARAKAHDAILY 24/1/2020

- Advertisement -
- Advertisement -