Kekalkan nama baik agensi, kerajaan negeri

- Advertisement -

KOTA BHARU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mahu Air Kelantan Sdn Bhd terus mengekalkan nama baik agensi kerajaan negeri itu daripada sebarang bentuk penyelewengan serta salah guna kuasa khususnya rasuah.

Penolong Kanan Pesuruhjaya (PKPj) SPRM Kelantan, Hairul Ilham Hamzah berkata, sejak empat tahun kebelakangan ini pihaknya menerima sebanyak 10 maklumat yang berkaitan dengan operasi syarikat terbabit.

“Alhamdulillah, saya rasa setakat hari ini kes tersebut telah selesai dan saya ucap tahniah dan syabas kepada AKSB, saya rasa tiada seorang pun lagi yang didakwa berkaitan kes rasuah dan ini menunjunkan AKSB melakukan tugas dengan baik.

“Saya harap prestasi ini dapat dikekalkan dengan seadanya supaya sifat integriti dan amanah dapat dilaksanakan dengan baik, jangan sekali ada kakitangan mencemarkan nama AKSB,” ujarnya.

Beliau menyuarakan demikian ketika berucap pada majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bersama kira-kira 50 pegawai AKSB di Dewan Seminar, Wisma Air Kelantan di sini baru-baru ini.

Pada majlis Pengurus Besar AKSB, Dato’ Dr Ir Azuhan Mohamed mengetuai bacaan IBR yang turut dihadiri oleh Penasihat Undang-undang AKSB, Nasrul Mohamed dan anggota SPRM yang lain.

Hairul Ilham juga menyebut, SPRM juga komited untuk memantau sekali gus membersihkan sektor kritikal yang membabitkan syarikat seperti Syarikat Milik Kerajaan (GLC) dari gejala rasuah.

Usaha itu tambahnya diterjemahkan melalui Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed bagi merealisasikan hasrat kerajaan bagi menjadikan Malaysia bebas rasuah dan berintegriti.

“Apa yang penting dalam NACP ini adalah syarikat atau agensi perlu melaksanakan pelan ini pada peringkat jabatan dan untuk NACP ini saya harap AKSB akan menjadi pelopor terhadap hasrat ini.

“Pada tahun ini bermula Jun depan satu seksyen baru iaitu 17A akan bermula walaupun ada pandangan mengatakan seksyen ini akan ditangguhkan tetapi kita perlu bersedia daripada sekarang,” terangnya.

Seksyen 17A Akta SPRM 2009 yang diluluskan di Parlimen pada 5 April 2018 digubal bagi membolehkan syarikat didakwa terlibat rasuah dikenakan tindakan sewajarnya berlandaskan sistem perundangan.

Menerusi seksyen tersebut organisasi komersil boleh didakwa jika orang bersekutu dengannya terlibat dengan rasuah berbanding peruntukan sebelum ini hanya tertumpu kepada individu yang terlibat dengan rasuah sahaja. – HARAKAHDAILY 24/1/2020

- Advertisement -
- Advertisement -